Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bumbung KLIA bocor akibat kesilapan kontraktor kerja baik pulih

Nov 15, 2025 | 9:58 PM
Video dan gambar tular memaparkan siling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kebocoran susulan hujan lebat pada 14 November 2025.
Video dan gambar tular memaparkan siling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kebocoran susulan hujan lebat pada 14 November 2025. - Foto: BHM

SEPANG: Kebocoran bumbung akibat ribut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dekat sini, berpunca daripada kesilapan dan kecuaian kontraktor mematuhi prosedur ketika kerja pemulihan dilakukan di kawasan terbabit.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), semakan mendapati kontraktor gagal menanggalkan penutup papan lapis yang menjadi sebahagian daripada prosedur kerja, sehingga menyumbang kepada punca kebocoran serius.

Kejadian itu berlaku ketika kerja melibatkan prasarana kalis air dan pemulihan bumbung sedang dijalankan pada bangunan terminal utama, yang menjadi sebahagian penyelenggaraan berterusan untuk menangani isu prasarana semakin uzur.

“KLIA sedang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor. Ia adalah kecuaian tidak boleh diterima dalam prosedur kerja asas dan ia tidak menepati standard yang dijangkakan daripada kontraktor yang bekerja pada prasarana kritikal lapangan terbang.

“Ketika kejadian, kontraktor menjalankan kerja penutupan pada titik saliran, semasa kejadian kilat di kawasan KLIA. Selaras dengan protokol keselamatan, kerja dihentikan serta-merta akibat cuaca buruk dan pasukan terbabit diarahkan meninggalkan kawasan bumbung.

“Dalam keadaan tergesa-gesa untuk beredar, kontraktor gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan untuk menutup titik saliran bagi tujuan keselamatan, menyebabkan salah satu sistem saliran bumbung tersumbat,” katanya melalui kenyataan pada 15 November.

Pada 14 November, MAHB mengesahkan berlaku kebocoran air akibat ribut yang menjejas beberapa bahagian Terminal 1 KLIA.

Maklum balas itu diberikan MAHB selepas tular satu klip video sepanjang 26 saat, yang memaparkan kejadian kebocoran air dipercayai berlaku di balai pelepasan di termiunal berkenaan.

MAHB menjelaskan apabila hujan lebat luar biasa turun selepas itu, saliran yang tersumbat menghalang air daripada mengalir keluar.

Ia menyebabkan sejumlah besar air bertakung atas bumbung, yang kemudian bocor melalui siling terminal ke ruang balai berlepas.

“Pasukan maklum balas kami berjaya membersihkan kawasan terjejas dalam masa sejam setengah dan semua sistem kembali beroperasi seperti biasa dengan selamat.

“Kami juga bekerjasama dengan kontraktor untuk melaksanakan penambahbaikan segera terhadap prosedur kerja mereka, termasuk rundingan wajib ramalan kaji cuaca sebelum memulakan kerja di bahagian bumbung.

“Ia juga membabitkan aspek pengukuhan protokol tindakan kecemasan untuk penggantungan kerja serta-merta semasa cuaca buruk,” katanya.

Menurut MAHB, kerja di bahagian bumbung terminal utama bermula sejak April lalu, sekali gus menjadi komponen penting dalam program pembaharuan prasarana lapangan terbang tersebut. - BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg