Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aerotrain KLIA tergendala lagi, kali kelima sejak dibuka semula 1 Jul

Aug 5, 2025 | 10:55 AM
Penumpang tidak dapat menggunakan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 Ogos, berikutan masalah teknikal.
Penumpang tidak dapat menggunakan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 Ogos, berikutan masalah teknikal. - Foto tular MALAYSIAGAZETTE

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tergendala seketika pada pagi 4 Ogos, berikutan masalah teknikal.

Ia sekurang-kurangnya kali kelima perkhidmatan tren yang baru beroperasi semula pada 1 Julai lalu selepas 28 bulan dihentikan sementara untuk proses baik pulih, tergendala akibat masalah teknikal.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi hantaran di akaun X @KLIA_my memaklumkan, aerotrain yang baru saja menjalani projek baik pulih bernilai RM456 juta ($138.8 juta) itu mengalami masalah teknikal melibatkan pintunya yang tidak berfungsi.

Menurutnya kejadian berlaku pada 10.30 pagi, 4 Ogos.

“Kami memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat masalah teknikal yang menimpa aerotrain pagi tadi (4 Ogos).

“Pada 10.30 pagi, sebuah pintu tren mengalami masalah sehingga menyebabkan operasi terpaksa diberhentikan selama 15 minit,” kata MAHB, lapor MalaysiaGazette.

Setiausaha Agung Pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Saw Yee Fung, mencadangkan Kementerian Pengangkutan (MOT) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan meneliti punca sebenar gangguan perkhidmatan aerotrain di KLIA.

Sejak ia mula beroperasi semula katanya, sistem pengangkutan itu telah mengalami sekurang-kurangnya lima kali gangguan.

Menurutnya, gangguan berulang kali dalam tempoh sebulan amat mengecewakan dan tidak boleh diterima apatah lagi perkhidmatan tren tanpa pemandu itu kembali beroperasi selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta selepas penggantungan operasi selama 28 bulan.

“Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke dengan bangganya mengumumkan aerotrain telah kembali beroperasi pada 1 Julai lalu.

“Namun, tidak sampai sehari, sistem ini gagal berfungsi akibat halangan di pintu pagar penumpang.

“Pada 4 Julai, aerotrain mengalami gangguan sekali lagi dan Encik Loke mendakwa sistem tren tidak bermasalah, sebaliknya menjelaskan ia berpunca daripada kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di KLIA.

“Kemudian, pada 12 Julai dan 4 Ogos, ia rosak lagi. Adakah ini semuanya disebabkan oleh pam saliran? Adakah ini standard untuk projek yang bernilai RM456 juta?,” soal beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg