SEPANG (Selangor): Bayangkan berada di tengah ribuan penumpang di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), tiba-tiba seorang pengembara rebah kerana serangan jantung.
Dalam beberapa saat, pasukan paramedik berbasikal elektrik (e-scooter) meluru ke lokasi dengan dilengkapi kit trauma, tangki oksigen dan mesin defibrilator luaran automatik (AED) di tangan. Degupan jantung berjaya dipulihkan dan nyawa penumpang terselamat.
Itu bukan sekadar simulasi, sebaliknya gambaran bagaimana KLIA memperkukuh kesiapsiagaan melalui Kempen Tindak Balas Kecemasan Kesihatan Awam 2025, demi memastikan setiap individu yang menjejakkan kaki ke lapangan terbang boleh bernafas lega.
Pada 2025, KLIA menyantuni lebih 41 juta penumpang sehingga Ogos 2025. Angka ini merekodkan peningkatan 8 peratus berbanding 2024. Sejak awal 2025 juga, KLIA telah menangani lebih 1,700 kes kecemasan termasuk 45 kes serangan jantung.
Bertemakan Rapid Response. Resilient Communities, inisiatif itu bukan sahaja memperkenalkan peralatan canggih seperti 62 unit AED di Terminal 1 dan Terminal 2 serta Paramedic-on-Wheels menggunakan e-scooter, bahkan melatih masyarakat lapangan terbang daripada kakitangan operasi sehinggalah ke pihak keselamatan untuk bertindak pantas ketika saat genting.
Keberkesanan usaha itu turut disokong pakar dan menurut Dr Rasheed Ahamed, pakar penjagaan kesihatan hemodialisis dan perkhidmatan Medical Evacuation (Medevac), keupayaan lapangan terbang membina sistem tindak balas pantas adalah keperluan semasa.
“Lapangan terbang adalah kawasan berisiko tinggi kerana jumlah orang yang ramai dan kesiapsiagaan seperti ini amat penting terutama jumlah pengunjung ke KLIA yang mencecah puluhan juta setiap tahun.
“Oleh itu, usaha memperkasakan paramedik dengan peralatan moden dan latihan segera boleh jadi faktor penentu antara hidup dengan mati mereka yang berada di sekitar kita,” katanya, lapor Harian Metro.
KLIA turut menggerakkan latihan Heartsaver dan Basic Life Support (BLS) buat kakitangan barisan hadapan, pekerja dan masyarakat lapangan terbang.
Encik Solehin Redzuan, 29 tahun, kakitangan Ground Team Red (GTR) yang mengikuti latihan itu berkata pengalaman terbabit memberi keyakinan.
“Sebelum ini, jika berlaku kecemasan saya rasa cemas, tetapi dengan latihan BLS (Basic Life Support), saya lebih yakin nak membantu orang lain kerana tahu apa langkah pertama perlu dibuat,” katanya.
Bagi penumpang pula, inisiatif itu memberi ketenangan tambahan ketika mereka melancong atau pulang ke tanah air.
“Sebagai penumpang, kita rasa lebih yakin untuk mengembara apabila tahu bantuan boleh sampai cepat dan paling penting kalau apa-apa berlaku, kita dilindungi,” kata Cik Nur Khairunnisa Nazri, 29 tahun, pekerja swasta dari Selangor.
Bagi anggota keselamatan penerbangan di lapangan terbang, persediaan ini memberi makna besar kerana mereka barisan pertama yang berhadapan dengan situasi cemas.
Pengalaman kali pertama menyelamatkan penumpang lelaki berusia 70-an tahun di KLIA meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan oleh Encik Muhammad Haiqal Juan, seorang anggota keselamatan penerbangan (AVSEC).
“Tugas kami bukan sekadar menjaga keselamatan penerbangan, tapi juga jadi sebahagian daripada masyarakat yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Latihan dan kemudahan ini menjadikan kami lebih bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan kecemasan,” katanya.
Dengan sokongan rakan strategik, kerajaan dan industri, KLIA bukan sahaja memperkukuh infrastruktur kesihatan, malah membina komuniti lapangan terbang yang cekal dan berdaya tahan.
Kempen ini menjadikan KLIA bukan sekadar pintu masuk antarabangsa, tetapi juga lapangan terbang yang selamat, bersedia dan memberi keyakinan penuh kepada setiap penumpang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg