LONDON: Encik Andy Burnham dijangka dipilih secara rasmi sebagai pemimpin baharu Parti Buruh Britain hari ini, sekali gus membuka laluan untuk beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Britain pada 20 Julai, menggantikan Encik Keir Starmer.

Pemilihan itu dijangka berlangsung tanpa sebarang halangan pada persidangan khas parti selepas Burnham memperoleh sokongan besar daripada Ahli Parlimen Parti Buruh.

Tokoh berusia 56 tahun yang digelar “King of the North” kerana ketegasannya mempertahankan kepentingan Greater Manchester ketika menjadi Datuk Bandar wilayah itu bakal menjadi Perdana Menteri ketujuh Britain dalam tempoh sedekad.

Pelantikan Burnham menandakan berakhirnya kepimpinan Encik Starmer yang semakin tidak popular sehingga menyebabkan ramai Ahli Parlimen Parti Buruh hilang keyakinan terhadap beliau.

Encik Burnham kembali ke Parlimen bulan lalu selepas memenangi kerusi Makerfield, sekali gus memulakan proses selama empat minggu untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Dalam ucapan sulungnya selepas kembali ke Parlimen, Encik Burnham memberi bayangan mengenai keutamaan pentadbirannya, termasuk melaksanakan pengagihan kuasa terbesar daripada London kepada wilayah-wilayah lain di Britain.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, selain menangani rasa terpinggir dalam kalangan komuniti luar bandar dan bandar kecil yang semakin cenderung menyokong parti populis Reform UK.

“Saya mahu melihat pengagihan semula kuasa terbesar daripada London kepada wilayah-wilayah di seluruh negara,” katanya.

Pendekatan itu menjadi faktor utama yang meyakinkan Ahli Parlimen Parti Buruh untuk menyokong beliau, ketika kebimbangan semakin memuncak bahawa mereka berisiko kehilangan kerusi kepada Reform UK pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada 2029.

Reform UK yang dipimpin tokoh Brexit, Encik Nigel Farage, terus mendahului beberapa tinjauan pendapat sejak beberapa bulan lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Parti Buruh.

Bagaimanapun, momentum Reform UK sedikit terjejas kebelakangan ini susulan kritikan terhadap penerimaan dana daripada penderma kaya, perkembangan yang dilihat membuka peluang kepada Encik Burnham untuk mengembalikan sokongan terhadap Parti Buruh.

Walaupun begitu, penganalisis berpendapat Encik Burnham tidak mempunyai banyak masa untuk membuktikan keberkesanan pentadbirannya.

Dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung dalam tempoh tidak lebih tiga tahun, beliau perlu segera melaksanakan dasar-dasar utama yang dijanjikan walaupun sebahagian besarnya memerlukan perancangan jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Ekonomi, Encik Nigel Wilcock, berkata Encik Burnham sejak sekian lama memperjuangkan pendekatan baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di Britain.

“Cabaran sebenar kini ialah menterjemahkan visi itu menjadi kenyataan,” katanya.

Selain mengumumkan barisan kabinet baharu minggu depan, Encik Burnham juga dijangka memperincikan strategi ekonomi, pembangunan wilayah dan langkah membendung kebangkitan Reform UK yang kini menjadi pencabar utama Parti Buruh menjelang pilihan raya akan datang. - Agensi berita