LONDON: Kemungkinan kebangkitan Encik Andy Burnham ke jawatan politik tertinggi Britain mencerminkan kebolehannya sebagai seorang ahli politik, pemidato, dan penganjur.

Ia merupakan ciri-ciri yang menurut ramai Anggota Parlimen (AP) agak kekurangan dalam perdana menteri Britain yang baru meletak jawatan, Encik Keir Starmer.

Encik Burnham, 56 tahun, seorang ahli politik Parti Buruh dan mantan mayor Greater Manchester, kelihatan bersedia menggantikan Encik Starmer sebagai perdana menteri, selepas penyandang itu mengumumkan peletakan jawatannya pada 22 Jun.

Siapakah Encik Burnham, dan apakah yang beliau boleh lakukan untuk mengubah hala tuju sebuah negara yang kini terbeban dengan kemelut ekonomi, serta bakal menyaksikan pertukaran lima perdana menteri dalam tempoh empat tahun?

Encik Burnham dilahirkan di kawasan Liverpool, bapanya merupakan jurutera telefon manakala ibunya bekerja sebagai penyambut tetamu.

Beliau menyertai Parti Buruh pada usia muda 15 tahun.

Encik Burnham melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa Inggeris di Universiti Cambridge, dan selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai penyelidik di Parlimen.

Pada 2001, beliau kali pertama dipilih menganggotai Dewan Rakyat dan pernah berkhidmat sebagai penasihat, sebelum dilantik menjadi menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Encik Tony Blair. 

Beliau turut mengundi bagi menyokong campur tangan tentera Britain di Iraq bersama Amerika Syarikat pada 2003.

Jawatan paling senior yang pernah disandangnya adalah sebagai setiausaha kesihatan di bawah pengganti Encik Blair, Encik Gordon Brown. 

Encik Burnham pernah cuba mendapatkan jawatan ketua parti sebanyak dua kali, namun sokongan beliau terhadap pencerobohan Iraq sebelum ini menjejas usahanya itu.

Beliau menduduki tempat kedua dengan jurang undi besar di belakang Encik Jeremy Corbyn, dalam pertandingan kedua pada 2015, sebelum meletak jawatan Parlimen pada 2017.

Kemudian, beliau membina semula imejnya sebagai pembela penduduk golongan pekerja di utara England sepanjang tempoh berkhidmat selama lebih dua penggal sebagai Mayor Manchester, salah sebuah bandar terbesar di Britain.

Di bawah pentadbirannya, wilayah Greater Manchester berkembang pesat dengan pertumbuhan ekonominya mencatat kadar dua kali ganda berbanding paras nasional.

Encik Burnham berjaya meningkatkan profil daerah tersebut dan menjadi penggerak utama bagi kawasan yang kini mempamerkan pertumbuhan hebat berbanding keadaan suram di peringkat nasional.

Beliau malah mendapat gelaran ‘King of the North’ (Raja Kawasan Utara) selepas menyampaikan ucapan bersemangat yang mengkritik layanan kerajaan terhadap Manchester semasa pandemik Covid-19.

Encik Burnham telah berusaha sepanjang 2025 untuk mengubah rekod pencapaiannya sebagai mayor menjadi satu pelan tindakan bagi pembaharuan nasional.

Hasilnya adalah sesuatu yang beliau gelar sebagai ‘Manchesterism’ – satu strategi politik berasaskan kawalan tempatan terhadap perkhidmatan penting, di samping sikap optimis yang dipamerkannya di daerah asalnya.

Imej yang beliau pamerkan sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, menjadi antara sebab Encik Burnham popular dalam kalangan AP Parti Buruh.

Di bandar-bandar utara England, ramai pengundi telah beralih kesetiaan daripada Parti Buruh kepada parti antiimigran, Reform UK, iaitu satu gerakan yang diasaskan oleh pendorong utama Brexit, Encik Nigel Farage.

Reform UK dilihat sebagai ancaman terbesar kepada Parti Buruh dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijadual berlangsung selewat-lewatnya pada 2029.

Rakan sejawat Encik Burnham dalam parti Buruh secara umum menyifatkan beliau sebagai harapan terbaik mereka untuk menghalang Reform UK daripada memegang kuasa. – Agensi berita.