Topik diikuti
Pergi ke BHkuBurnham buka pintu Britain kembali ke EU, Macron: ‘Selamat kembali’
Burnham buka pintu Britain kembali ke EU, Macron: ‘Selamat kembali’
LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham, membuka kemungkinan negaranya menyertai semula Kesatuan Eropah (EU), sekali gus menghidupkan kembali perdebatan Brexit hampir sedekad selepas rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan blok itu.
Cadangan tersebut mendapat sambutan segera daripada Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, yang berkata dalam bahasa Inggeris: “Welcome back” atau “Selamat kembali”.
Encik Burnham berkata pemerintah Parti Buruh akan mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi menentukan hubungan jangka panjang Britain dengan EU, termasuk menyertai semula pasaran tunggal Eropah, membentuk kesatuan kastam atau mengambil langkah lebih jauh dengan kembali menjadi anggota penuh blok 27 negara itu.
“Kita boleh kekal seperti sekarang. Itu sememangnya satu pilihan jika orang ramai berpendapat ini kedudukan yang tepat,” katanya kepada BBC pada 30 September.
“Kita boleh melihat pilihan kesatuan kastam, kita boleh mempertimbangkan pasaran tunggal atau kita boleh pergi sepenuhnya,” katanya, merujuk kepada kemungkinan Britain menyertai semula EU.
Encik Burnham menegaskan bahawa kerajaan perlu meneliti pilihan yang boleh dilaksanakan serta kebaikan dan keburukan setiap langkah sebelum membuat keputusan.
Kenyataan itu merupakan perubahan besar dalam pendirian pemerintah Britain mengenai Brexit.
Manifesto Parti Buruh pada pilihan raya 2024 di bawah mantan Perdana Menteri, Encik Keir Starmer, menolak kemungkinan Britain menyertai semula EU, pasaran tunggal atau kesatuan kastam serta mengembalikan kebebasan pergerakan antara Britain dengan negara anggota blok itu.
Encik Burnham mengambil alih sebagai Perdana Menteri pada Julai selepas Encik Starmer meletak jawatan.
Ketika berkempen untuk kembali ke Parlimen dan menggantikan Encik Starmer, Encik Burnham sebelum ini berkata beliau tidak mahu mengulangi perdebatan Brexit yang memecahbelahkan Britain.
Namun, dalam ucapan pada persidangan tahunan Parti Buruh, beliau berkata Britain tidak lagi boleh mengelak daripada menentukan bentuk hubungan jangka panjangnya dengan EU, yang kekal sebagai pasaran perdagangan terbesarnya.
Beliau menyifatkan Brexit sebagai langkah yang membawa “lebih banyak keburukan daripada kebaikan” dan mengaitkannya dengan pertumbuhan ekonomi Britain yang lemah.
Britain mengundi untuk keluar daripada EU dalam referendum pada 2016, dengan 52 peratus menyokong Brexit berbanding 48 peratus yang mahu kekal.
Negara itu secara rasmi meninggalkan EU pada 2020, sekali gus menamatkan keanggotaannya selama hampir lima dekad.
Namun, hubungan Britain dengan EU terus menjadi isu politik utama, terutama berhubung kesan Brexit terhadap perdagangan, pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan pergerakan pekerja.
Encik Burnham berjanji akan mengemukakan beberapa pilihan mengenai hubungan masa depan Britain dengan EU menjelang sidang puncak Britain-EU yang dijangka berlangsung pada November.
Encik Macron menyambut baik perubahan nada London itu.
Bercakap di Madrid selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, beliau berkata kemungkinan Britain kembali ke EU merupakan perkembangan positif.
“Jika rakyat Britain mahu kembali dan jika Perdana Menteri bergerak ke arah itu, saya fikir ia berita yang sangat baik untuk negaranya dan juga rakyat Eropah,” kata Encik Macron.
“Selamat kembali,” tambahnya dalam bahasa Inggeris.
Encik Sanchez turut menyatakan sokongan dan berkata Sepanyol akan mengalu-alukan Britain sekiranya negara itu memohon untuk menyertai semula EU.
Suruhanjaya Eropah pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menegaskan bahawa terpulang kepada London untuk menentukan bentuk hubungan yang dikehendakinya sebelum rundingan boleh dilakukan.
Sebarang usaha menyertai semula EU juga bukan proses mudah kerana Britain perlu memohon keanggotaan dan memenuhi syarat blok itu.
Pendirian baru Encik Burnham segera mendapat tentangan daripada penyokong Brexit.
Timbalan pemimpin Reform UK, Encik Richard Tice, menuduh Perdana Menteri cuba membawa Britain kembali ke dalam EU menerusi “pintu belakang”.
Sebaliknya, penyokong hubungan lebih rapat dengan Eropah melihat kenyataan Encik Burnham sebagai pengiktirafan terhadap perubahan pandangan masyarakat Britain sejak referendum 2016.
Tinjauan pendapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan sokongan terhadap penyertaan semula semakin meningkat.
Tinjauan YouGov yang dipetik Reuters baru-baru ini menunjukkan 55 peratus responden menyokong Britain kembali menjadi anggota EU.
Namun, sokongan untuk hubungan lebih rapat dengan Brussels tidak semestinya bermakna terdapat persetujuan mengenai bagaimana ia harus dilakukan.
Pilihan menyertai kesatuan kastam, misalnya, boleh mengurangkan sebahagian halangan perdagangan dengan EU, manakala kembali ke pasaran tunggal akan memerlukan Britain menerima penyelarasan lebih rapat dengan peraturan Eropah dan beberapa kewajipan berkaitan.
Encik Burnham turut membuka kemungkinan satu lagi referendum sekiranya sokongan masyarakat akhirnya jelas memihak kepada penyertaan semula EU, walaupun beliau belum membuat komitmen untuk mengadakannya.
Pilihan raya umum Britain seterusnya tidak dijangka sebelum 2029.
Pengarah badan pemikir UK in a Changing Europe, Profesor Anand Menon, bagaimanapun mengingatkan bahawa kenyataan Encik Burnham buat masa ini sekadar membuka perbincangan dan belum menjadi dasar rasmi untuk membawa Britain kembali ke EU.
Justeru, persoalan utama kini bukan sama ada Brexit akan dibatalkan dalam masa terdekat, tetapi sejauh mana pemerintah Encik Burnham bersedia mengubah hubungan Britain dengan Eropah.
Sidang puncak Britain-EU yang dijangka diadakan pada November akan menjadi tumpuan bagi melihat langkah seterusnya pemerintah Encik Burnham, termasuk sama ada Britain hanya mahu mempererat hubungan perdagangan dengan EU atau mula membuka jalan untuk menyertai semula blok itu. - Agensi berita