Topik diikuti
Pergi ke BHkuStarmer umum letak jawatan sebagai PM Britain
Starmer umum letak jawatan sebagai PM Britain
Pemimpin baru akan dilantik sebelum Sep dengan pencalonan dibuka pada 9 Jul
Starmer umum letak jawatan sebagai PM Britain
LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengumumkan peletakan jawatannya pada 22 Jun.
Pemimpin baharu dijangka akan dilantik sebelum Parlimen bersidang semula pada September, menjadikan beliau pemimpin ketujuh Britain dalam tempoh satu dekad.
Kurang dua tahun selepas kemenangan besar beliau pada Julai 2024, Encik Starmer mengakui partinya mahukan kepimpinan baharu.
Pencalonan bagi jawatan tersebut akan dibuka pada 9 Julai.
Encik Andy Burnham kini dilihat sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan beliau.
“Persoalan yang ditanya parti saya sekarang adalah sama ada saya masih individu yang paling sesuai untuk memimpin (parti) menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya telah mendengar jawapan daripada anggota Parlimen parti saya terhadap persoalan itu, dan saya menerimanya dengan hati terbuka,” katanya dalam ucapan khas kepada negara di kediaman rasminya di 10 Downing Street.
Encik Starmer turut mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai pemimpin Parti Buruh, kurang dua tahun selepas membawa kemenangan besar yang menjanjikan kestabilan politik di Britain.
Tekanan memuncak apabila Datuk Bandar Greater Manchester, Encik Andy Burnham, meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen pada 19 Jun lalu.
Kemenangan itu menewaskan calon Reform UK pimpinan Encik Nigel Farage, sebuah parti yang mendahului tinjauan nasional selama lebih setahun.
Harapan kini tertumpu kepada Encik Burnham untuk “mengubah nasib parti” yang kian hilang arah.
Populariti Encik Starmer merosot ke paras terendah, mencerminkan hilangnya sokongan awam terhadap Parti Buruh.
Dengan suara yang bergetar penuh emosi, Encik Starmer menzahirkan terima kasih kepada rakan seperjuangan serta memberikan penghormatan kepada “keluarga tersayang”.
Dalam pada itu, nilai pound dan bon Britain kekal stabil, satu reaksi yang “sudah dijangkakan” oleh pelabur.
Namun, peralihan kepimpinan ini membawa risiko sendiri.
Selain menyatakan bahawa negara memerlukan perubahan asas serta usaha untuk menurunkan kos sara hidup, Encik Burnham masih belum menjelaskan pendekatannya terhadap dasar luar, ekonomi dan pertahanan.
Encik Starmer pada 19 Jun berkata beliau akan bertanding dalam mana-mana pemilihan kepimpinan rasmi Parti Buruh yang diadakan untuk menggantikannya.
Namun, pendirian itu dilihat berubah pada hujung minggu lalu.
Sekiranya Encik Burnham berjaya, beliau bakal menjadi perdana menteri ketujuh Britain sejak keputusan Brexit sedekad lalu.
Kekerapan pertukaran kepimpinan yang tertinggi dalam tempoh dua abad ini jelas mencerminkan krisis keyakinan rakyat yang mendalam.
Ketidakpuasan hati pengundi terhadap kegagalan meningkatkan taraf hidup, kualiti perkhidmatan awam, serta isu imigresen menjadi punca utama ketidaktentuan ini. – Reuters.
“
“Persoalan yang ditanya parti saya sekarang adalah sama ada saya masih individu yang paling sesuai untuk memimpin (parti) menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya telah mendengar jawapan daripada anggota Parlimen parti saya terhadap persoalan itu, dan saya menerimanya dengan hati terbuka.”