LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Encik Andy Burnham, memulakan pentadbirannya dengan rombakan besar Kabinet, menyingkirkan beberapa penyokong rapat mantan Perdana Menteri Keir Starmer sambil mengumumkan rancangan pembangunan negara selama 10 tahun bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dan memulihkan ekonomi.

Encik Burnham, 56 tahun, secara rasmi mengangkat sumpah selepas menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham pada 20 Julai, sekali gus menjadi Perdana Menteri ketujuh Britain sejak 2016 dan Perdana Menteri keempat di bawah pemerintahan Raja Charles.

Dalam ucapan sulungnya di hadapan kediaman rasmi di 10 Downing Street, Encik Burnham berjanji membina semula ekonomi Britain menerusi dasar yang lebih berpihak kepada rakyat, menghidupkan semula sektor perindustrian, membina lebih banyak perumahan awam dan menamatkan masalah gelandangan yang tidur di jalanan.

“Britain perlu menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu mengembalikan kestabilan. Kita akan membina model politik baharu dan ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan membentangkan pelan pembangunan nasional selama sedekad, namun belum memperincikan langkah yang akan dilaksanakan.

Encik Burnham turut berjanji mengumumkan bantuan segera bagi mengurangkan beban kos sara hidup seawal 21 Julai.

“Saya mahu memberi sedikit ruang bernafas kepada rakyat dan membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Langkah pertama beliau sebagai Perdana Menteri ialah melakukan rombakan besar Kabinet bagi membentuk pasukan yang selari dengan agenda pentadbirannya.

Mantan Menteri Pertahanan, Encik John Healey, dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Cik Rachel Reeves, manakala Encik Ed Miliband dipindahkan daripada portfolio tenaga untuk mengambil alih jawatan Menteri Luar.

Tokoh berhaluan kiri Parti Buruh, Cik Angela Rayner, kembali menyertai Kabinet, sementara Encik Wes Streeting dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Menteri Dalam Negeri, Cik Shabana Mahmood, dikekalkan bagi meneruskan reformasi sistem suaka Britain yang lebih tegas.

Sebaliknya, Encik David Lammy digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Rombakan itu dilihat sebagai usaha Encik Burnham mengukuhkan pengaruhnya selepas mengambil alih kepimpinan Parti Buruh susulan peletakan jawatan Encik Starmer Jun lalu.

Sejurus mengambil alih jawatan, Encik Burnham turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy.

Menurut jurucakap kerajaan Britain, Encik Burnham menegaskan komitmennya terhadap kerjasama pertahanan dan keselamatan dalam perbualan dengan Encik Trump.

Encik Trump kemudian menyifatkan perbualan itu sebagai “sangat baik” dan berkata kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri mempunyai tugas besar di hadapannya, tetapi beliau mampu melaksanakannya dan Amerika Syarikat akan sentiasa bersedia membantu,” kata Encik Trump menerusi Truth Social.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu termasuk perdagangan, kerjasama ketenteraan, operasi membersihkan periuk api di Selat Hormuz dan pembangunan sumber minyak Laut Utara.

Encik Trump turut memuji hubungan Amerika-Britain sebagai “amat kukuh”.

Sebelum itu, Encik Trump menyambut baik laporan bahawa Encik Burnham mungkin membuka semula penerokaan minyak di Laut Utara dan mendakwa penduduk Aberdeen di Scotland “sedang menari kegembiraan”.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Parti Buruh segera menjelaskan bahawa kerajaan Burnham akan mengekalkan larangan mengeluarkan lesen baharu bagi penerokaan minyak dan gas di kawasan itu, sekali gus mengekalkan dasar tenaga sedia ada.

Dalam perbualan dengan Encik Zelenskyy pula, Encik Burnham mengulangi sokongan penuh Britain terhadap Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Russia.

Menurut Downing Street, beliau menegaskan komitmen kerajaan Britain untuk terus membantu Ukraine dari segi keselamatan dan pertahanan.

Encik Burnham, yang sebelum ini dikenali sebagai Datuk Bandar Greater Manchester dan digelar “Raja Utara”, mengambil alih pentadbiran ketika Britain berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan politik.

Antara isu utama ialah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, hutang kerajaan yang tinggi, peningkatan perbelanjaan kebajikan serta kemasukan pendatang tanpa izin menggunakan bot kecil merentasi Selat Inggeris.

Kenaikan harga tenaga akibat konflik antara Amerika Syarikat dan Iran serta hubungan yang tidak menentu dengan Washington juga dijangka memberi tekanan kepada pentadbiran baharu itu.

Penganalisis berpendapat ruang Encik Burnham untuk melaksanakan dasar baharu agak terhad kerana kerajaan perlu mematuhi peraturan fiskal yang mewajibkan perbelanjaan awam diseimbangkan dengan hasil cukai.

Dalam ucapannya, Encik Burnham turut berjanji mengembalikan kekuatan sektor pembuatan Britain melalui dasar perolehan kerajaan dan mempercepat pembinaan rumah mampu milik.

Beliau juga mahu mengurangkan tumpuan kuasa di Westminster dengan memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan tempatan.

“Saya percaya Britain membuat beberapa keputusan yang silap pada era 1980-an. Sudah tiba masanya kita meletakkan semula keperluan asas rakyat di bawah kawalan awam yang lebih kukuh supaya kosnya lebih mampu ditanggung,” katanya.

Sementara itu, Encik Starmer meninggalkan Downing Street bersama isterinya sambil mempertahankan rekod pentadbirannya.

“Saya meninggalkan sebuah negara yang lebih kukuh dan lebih adil berbanding ketika saya mula memegang jawatan,” katanya.

Encik Burnham menjadi Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya kepimpinan parti selepas Ahli Parlimen Parti Buruh memilihnya sebagai pengganti Encik Starmer, yang meletakkan jawatan pada 22 Jun.

Pelantikannya bagaimanapun mengundang kritikan pembangkang yang mempersoalkan mandat beliau dan menggesa pilihan raya umum diadakan lebih awal.

Di peringkat antarabangsa, Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama Kesatuan Eropah dengan Britain di bawah kepimpinan Encik Burnham.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, turut mengucapkan tahniah dan berharap pentadbiran baharu itu dapat “memberi nafas baharu” kepada hubungan Britain dengan Kesatuan Eropah, manakala Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, menjemput Encik Burnham melawat Berlin sebagai tanda hubungan erat antara kedua-dua negara. – Agensi berita.