Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran pasukan pengaman PBB dalam konflik di Lebanon

Serangan Israel ke atas Unifil cabar tugas pengaman PBB
Oct 21, 2024 | 5:30 AM
Kenderaan dari Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) terus menjalankan rondaan dan pemantauan di Marjayoun di selatan Lebanon pada 12 Oktober meskipun keadaan semakin tegang di kawasan tersebut.
Kenderaan dari Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) terus menjalankan rondaan dan pemantauan di Marjayoun di selatan Lebanon pada 12 Oktober meskipun keadaan semakin tegang di kawasan tersebut. - Foto AFP

Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) di Lebanon menyaksikan lima anggotanya cedera semasa berlaku pertempuran di selatan Lebanon dalam masa dua hari – pada 10 Oktober dan malam 11 Oktober. Pada 13 Oktober, kereta kebal Israel pula menceroboh masuk ke pangkalan Unifil. Serangan seperti itu hampir tidak pernah didengari bagi misi pengaman PBB dan kejadian itu mencabar kewibawaan misi PBB.

BEIRUT: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan penting dalam usaha memastikan kestabilan di kawasan yang sering bergolak.

Di Lebanon, Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil) terus beroperasi di sepanjang ‘Garisan Biru’, kawasan sempadan yang memisahkan Lebanon dan Israel sejak 1970-an.

Mandat Unifil itu diperbaharui oleh Majlis Keselamatan PBB setiap tahun dan dalam keadaan terkini, dengan ketegangan yang semakin meningkat antara Hezbollah dengan Tentera Pertahanan Israel (IDF), Unifil sekali lagi berdepan cabaran besar dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman di rantau tersebut.

Sejarah dan Mandat Unifil

Unifil ditubuhkan pada Mac 1978 oleh Majlis Keselamatan PBB berikutan pencerobohan Israel ke atas wilayah Lebanon.

Pada peringkat awal, mandat Unifil adalah untuk mengesahkan pengunduran tentera Israel dari Lebanon dan membantu pemerintah Lebanon dalam mengembalikan kawalan ke atas wilayahnya.

Namun, hanya pada 2000 Israel akhirnya mengundurkan tenteranya dari Lebanon.

Bagi memastikan pengawasan berterusan di kawasan itu, PBB mengenal pasti satu garis pemisah sepanjang 120 kilometer, yang dinamakan sebagai ‘Garisan Biru’ untuk menandakan sempadan penarikan tentera Israel.

Sejak itu, Unifil telah menjalankan rondaan dan pemantauan di sepanjang ‘Garisan Biru’ itu, walaupun ketiadaan sempadan yang dipersetujui secara rasmi.

Selepas konflik 30 hari yang membawa maut antara Israel dengan Hezbollah pada 2006, Majlis Keselamatan memperkukuhkan misi Unifil dengan mandat baru melalui Ketetapan 1701.

Ketetapan itu menambahkan peranan Unifil untuk memantau menghentikan permusuhan serta menyokong angkatan tentera Lebanon dalam mengawal kawasan di selatan negara itu.

Konflik Terkini dan Peranan Unifil

Bermula pada 23 September, ketegangan antara Hezbollah dengan IDF semakin memuncak, dengan laporan serangan udara dan serangan darat oleh IDF di wilayah Lebanon.

Pada 6 Oktober 2024, Unifil menyatakan keprihatinan mendalam terhadap tindakan IDF yang beroperasi berhampiran pos pengaman mereka di dalam wilayah Lebanon.

PBB melaporkan bahawa serangan itu, serta tindak balas Hezbollah, termasuk serangan terhadap utara Israel telah mencetuskan keadaan amat berbahaya di kawasan tersebut.

Misi Unifil bertindak sebagai perantara untuk mengelakkan sebarang salah faham yang tidak disengajakan di antara kedua-dua pihak.

Pasukan pengaman PBB menjalankan rondaan dan memantau keadaan di lapangan, serta melaporkan pelanggaran terhadap Ketetapan 1701 yang melarang sebarang tindakan permusuhan di kawasan tersebut.

Walaupun keadaan keselamatan semakin mencabar, Unifil terus melaksanakan tugasnya yang diamanahkan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Dalam beberapa keadaan, apabila terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka, pasukan pengaman mungkin terpaksa kembali ke pangkalan atau berlindung buat sementara.

Selain operasi ketenteraan, Unifil turut memberikan bantuan kepada anggota masyarakat tempatan di selatan Lebanon melalui pelbagai projek komuniti melibatkan sektor kesihatan, pendidikan, dan prasarana.

Pasukan pengaman itu juga membantu pelbagai aksi kemanusiaan dalam menyokong populasi awam di kawasan tersebut, khususnya apabila pemerintah Lebanon tidak mampu memenuhi keperluan rakyat akibat ketidakstabilan politik atau serangan tentera.

Cabaran dan Risiko Pasukan Pengaman

Tugas yang dihadapi oleh Unifil bukanlah tanpa risiko. Pasukan pengaman seringkali menjadi sasaran serangan atau terperangkap di tengah-tengah konflik antara pihak-pihak yang bertelagah.

Sejak bertambahnya konflik baru-baru ini, keadaan menjadi lebih berbahaya. Pergerakan logistik dan rondaan menjadi lebih sukar.

Mandat Unifil menekankan keperluan menjaga keamanan dan kestabilan di sepanjang ‘Garis Biru’.

Apabila berlakunya pelanggaran atau serangan, Unifil dikehendaki melaporkan kejadian tersebut kepada Majlis Keselamatan PBB.

Setiap empat bulan, Setiausaha Agung PBB menghantar laporan kepada Majlis mengenai pelaksanaan Ketetapan 1701, atau pada bila-bila masa apabila dianggap perlu.

Angka dan Fakta tentang Unifil

Pada masa ini, hampir 11,000 individu terlibat dalam misi Unifil, termasuk kira-kira 10,000 anggota tentera dan lebih 800 kakitangan awam.

Misi itu mendapat sokongan dari 50 negara yang menyumbang tentera, dan Indonesia menjadi penyumbang terbesar dengan lebih daripada 1,200 anggota.

Salah satu ciri unik Unifil adalah dengan pembentukan Pasukan Tugas Maritim (MTF), satu-satunya pasukan maritim dalam misi pengaman PBB.

MTF ditubuhkan pada 2006 bagi menyokong tentera laut Lebanon dalam memantau perairan wilayah dan mencegah kemasukan senjata yang tidak dibenarkan ke kawasan operasi.

Ia memainkan peranan penting dalam mengakhiri sekatan laut oleh Israel terhadap Lebanon.

MTF Unifil terdiri daripada lima kapal dan misi itu juga dibantu oleh enam helikopter untuk menyokong operasi di kawasan perairan dan darat.

Dari segi peruntukan kewangan, misi itu dianggarkan menelan belanja sekitar setengah bilion dolar setahun.

Kepentingan Misi Unifil Tangani Konflik

Dalam situasi apabila konflik antara Israel dengan Hezbollah sentiasa berpotensi untuk meletus, kehadiran Unifil di selatan Lebanon adalah penting dalam mengurangkan risiko perang besar.

Peranan mereka sebagai pemerhati neutral membantu mencegah sebarang tindakan provokatif yang boleh mencetuskan konfrontasi lebih luas.

Dalam keadaan apabila pertempuran antara Hezbollah dengan IDF semakin kerap, Unifil akan terus memainkan peranan penting sebagai perantara dan penyelia keadaan di lapangan.

Dalam masa yang sama, sokongan mereka kepada tentera Lebanon melalui latihan dan kerjasama adalah penting bagi memperkuatkan keupayaan pasukan tempatan dalam menjaga keselamatan di selatan negara itu.

Keseluruhan misi Unifil menunjukkan betapa pentingnya peranan pasukan pengaman PBB dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan di kawasan yang berisiko tinggi seperti Lebanon.

Namun begitu, dengan konflik yang semakin meningkat, cabaran dan risiko yang dihadapi oleh pasukan pengaman itu akan terus berkembang, menjadikan usaha mereka lebih mencabar dari sebelumnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg