Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta kebal Israel ceroboh pangkalan pasukan pengaman PBB di Lebanon

Hezbollah lancar serangan dron ke atas pangkalan tentera Israel, 60 cedera
Oct 14, 2024 | 12:35 PM
Jurucakap Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil), Encik Andrea Tenenti, menunjukkan pinggir selatan Beirut dari pejabatnya di Rumah Unifil di Baabda di timur ibu negara Lebanon pada 12 Oktober.
Jurucakap Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil), Encik Andrea Tenenti, menunjukkan pinggir selatan Beirut dari pejabatnya di Rumah Unifil di Baabda di timur ibu negara Lebanon pada 12 Oktober. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa dua kereta kebal Israel telah menceroboh masuk ke pangkalan Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil) di selatan Lebanon – sekali lagi mencetuskan tuduhan pelanggaran, pencabulan dan serangan oleh Israel.

Kejadian itu berlaku pada 13 Oktober dan meningkatkan ketegangan di kawasan sempadan yang sudah sedia bergolak.

Menurut kenyataan Unifil, dua kereta kebal Merkava Israel telah memecahkan pintu utama pangkalan tersebut dan masuk secara paksa pada awal pagi 13 Oktober.

Selepas kejadian itu, beberapa bom meletup kira-kira 100 meter dari pangkalan, mengeluarkan asap yang menyebabkan beberapa anggota pasukan pengaman mengalami masalah kesihatan.

Kejadian itu segera menarik perhatian dan kecaman masyarakat antarabangsa, termasuk sekutu Israel yang melihat insiden tersebut sebagai satu tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Tentera Israel memberikan versi mereka sendiri tentang kejadian itu.

Menurut mereka, kumpulan Hezbollah yang disokong Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu antikereta kebal ke arah pasukan tentera Israel, mencederakan anggota tenteranya.

Serangan itu berlaku berdekatan dengan pangkalan Unifil dan salah satu kereta kebal yang sedang membantu memindahkan mangsa serangan tersebut secara tidak sengaja berundur ke arah pangkalan Unifil.

Jurucakap tentera Israel, Encik Nadav Shoshani, menyatakan bahawa kejadian tersebut bukanlah satu tindakan untuk menyerang atau menceroboh pangkalan PBB.

“Ia bukan satu serangan ke atas pangkalan. Kereta kebal itu sedang cuba mengelak daripada tembakan musuh sambil berundur,” jelasnya.

Selain itu, tentera Israel turut mendakwa mereka menggunakan asap sebagai langkah perlindungan untuk memindahkan tentera yang cedera dan tindakan tersebut tidak menimbulkan ancaman kepada pasukan pengaman PBB.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menggesa Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, agar mengundurkan pasukan Unifil dari kawasan yang dikawal oleh Hezbollah.

Encik Netanyahu menekankan bahawa kehadiran pasukan pengaman di kawasan tersebut telah digunakan oleh Hezbollah sebagai perisai manusia, sesuatu yang telah dibangkitkan oleh Israel berulang kali tetapi ditolak oleh PBB.

Dalam kenyataan balasnya, Encik Guterres memuji pasukan Unifil yang terus menjalankan tugas mereka walaupun menghadapi cabaran besar.

Beliau juga mengingatkan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mungkin dikategorikan sebagai jenayah perang.

Sebelum ini, Unifil telah mengadu tentang serangan Israel terhadap menara pemerhati, peralatan komunikasi dan sistem pencahayaan mereka, yang telah menjejas keupayaan pengawasan pasukan pengaman.

Dalam keadaan yang semakin tegang itu, PBB menyuarakan kebimbangan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa di kawasan tersebut sukar dipantau dengan berkesan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, turut menghubungi Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, pada 13 Oktober untuk menekankan kepentingan menjaga keselamatan pasukan Unifil serta angkatan tentera Lebanon.

Encik Austin juga mendesak Israel agar menghentikan operasi ketenteraan dan mencari jalan diplomatik bagi menyelesaikan konflik demi keselamatan orang awam di kedua-dua belah sempadan.

Hezbollah, yang berperang dengan Israel di Lebanon selatan sejak pencerobohan Israel pada Oktober, menafikan dakwaan bahawa mereka menggunakan kedudukan pasukan pengaman sebagai perlindungan.

Kumpulan itu juga mengumumkan serangan terhadap kem Briged Golani tentera Israel di Binyamina, utara Israel, menggunakan sekumpulan dron.

Mereka mendakwa sebahagian daripada dron tersebut berjaya mengelak daripada dikesan oleh radar pertahanan udara Israel.

Kumpulan Hezbollah menyatakan telah melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera Israel berhampiran Haifa dengan pasukan penyelamat sukarelawan Israel melaporkan lebih 60 orang cedera, manakala empat anggota tentera Israel terbunuh dalam serangan tersebut.

Hezbollah mengancam melakukan serangan yang lebih besar terhadap Israel sekiranya Israel meneruskan tindakan ketenteraan di Lebanon.

“Dengan bantuan ambulans United Hatzalah, kami memberikan bantuan kepada lebih 60 orang yang cedera dalam serangan itu dengan pelbagai tahap kecederaan seperti genting, serius, sederhana dan ringan,’’ kata perkhidmatan penyelamat United Hatzalah dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Tentera Israel memaklumkan empat tenteranya terbunuh dalam serangan itu, sekali gus menjadi serangan paling dahsyat terhadap pangkalan Israel sejak 23 September, ketika Israel meningkatkan serangannya terhadap Hezbollah di Lebanon.

Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, yang selama ini merupakan penyokong tegar Israel, turut mengutuk serangan Israel terhadap pasukan pengaman PBB.

Italy mempunyai lebih 1,000 anggota dalam pasukan Unifil, menjadikannya salah satu penyumbang terbesar dalam operasi tersebut.

Negara lain seperti Perancis dan Sepanyol, yang juga mempunyai ratusan tentera dalam pasukan Unifil, turut mengecam tindakan Israel.

Keadaan di kawasan sempadan Lebanon-Israel kini dalam keadaan genting, dengan risiko konflik yang lebih meluas semakin meningkat.

Unifil, yang ditubuhkan pada 1978 untuk memantau gencatan senjata di kawasan tersebut, kini terdedah kepada bahaya yang semakin meningkat di tengah-tengah konflik yang terus memuncak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg