LOS ANGELES: Gabenor California, Encik Gavin Newsom, pada 10 September menandatangani undang-undang baharu yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada didedahkan kepada ciri media sosial yang boleh menyebabkan ketagihan serta melarang mainan yang dilengkapi bot sembang kecerdasan buatan (AI), atau chatbot.

Kedua-dua langkah itu antara 13 rang undang-undang yang diluluskan Newsom untuk melindungi golongan muda daripada risiko teknologi, termasuk meningkatkan perlindungan privasi dalam talian bagi golongan bawah umur.

Satu lagi langkah memperluaskan hukuman jenayah berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak kepada kandungan yang diubah secara digital atau dijana AI yang menggambarkan individu bawah 18 tahun terlibat dalam perlakuan seksual.

Langkah lain melarang perkilangan dan penjualan mainan yang dilengkapi chatbot pendamping selama empat tahun, manakala langkah berkaitan mewajibkan kawalan ibu bapa serta penilaian keselamatan dan risiko bagi program chatbot.

Newsom menyifatkan peraturan itu sebagai yang paling menyeluruh di Amerika Syarikat. Digelar ‘Undang-undang Adam’, ia memperingati Adam Raine, 16 tahun, yang membunuh diri pada April 2025 selepas, menurut ibu bapanya, bertindak atas hasrat membunuh diri yang disahkan menerusi perbualan berbulan-bulan dengan ChatGPT milik OpenAI.

OpenAI berkata ia bertujuan meningkatkan perlindungan ChatGPT yang diakui menjadi “kurang dipercayai” dalam perbualan yang berpanjangan.

“Kami ingin anak-anak kami dan setiap kanak-kanak di California membesar dalam dunia yang teknologinya menyokong kesejahteraan mereka, bukan mengambil kesempatan atas kelemahan mereka,” kata Encik Newsom, anggota Parti Demokrat.

California, yang menempatkan firma internet terkemuka seperti Google, Meta Platforms dan Snap, menyertai beberapa negeri Amerika yang membanteras strategi perniagaan yang sengaja direka untuk menyebabkan remaja ketagih media sosial meskipun penggunaannya secara berlebihan terbukti menjejaskan kesihatan mental mereka.

Walaupun mendapat sokongan kedua-dua parti, pengkritik termasuk Electronic Frontier Foundation membantah sekatan internet terhadap golongan muda itu sebagai ‘ancaman besar terhadap privasi dan kebebasan bersuara’.

Utah menjadi negeri pertama mengawal penggunaan media sosial kanak-kanak, diikuti Arkansas, Louisiana, Ohio, Texas, Florida dan New York, dengan pendekatan yang berbeza-beza.

Negara lain turut membatasi pendedahan kanak-kanak kepada kandungan internet berbahaya, termasuk Australia yang melarang media sosial bagi mereka yang bawah 16 tahun.

Rang Undang-undang Dewan Undangan California 1709 melarang kelemahan psikologi kanak-kanak bawah 16 tahun dipergunakan oleh ciri yang meningkatkan penglibatan hingga penggunaan menjadi tidak terkawal.

Ini termasuk paparan tatal tanpa henti dan ciri main automatik berasaskan algoritma dan ciri lain yang bakal ditetapkan.

Undang-undang itu diluluskan ketika syarikat teknologi gergasi semakin bersedia menerima sekatan baharu berikutan cabaran undang-undang.

Tiga minggu lalu, Meta bersetuju membayar sehingga AS$18 bilion ($22.82 bilion) sepanjang dekad akan datang dan membataskan penggunaan Facebook serta Instagram oleh remaja menerusi perjanjian dengan hampir semua negeri Amerika bagi menyelesaikan tuntutan bahawa platformnya direka untuk menyebabkan kanak-kanak ketagih. – Agensi berita.