OAKLAND: Meta Platforms menolak tuduhan negeri Amerika Syarikat bahawa syarikat itu sengaja menyebabkan kanak-kanak ketagih menggunakan Facebook dan Instagram demi keuntungan, ketika bermulanya perbicaraan yang boleh mengubah beberapa aplikasi paling popular di dunia.

Sekumpulan 29 negeri daripada kedua-dua parti menyaman Meta, menuntut penalti yang boleh mencecah puluhan atau ratusan bilion dolar serta perubahan terhadap cara syarikat itu beroperasi.

Empat negeri utama, California, Colorado, Kentucky dan New Jersey, menuduh Meta mereka bentuk Facebook dan Instagram untuk membuat pengguna muda ketagih, mencetuskan keresahan, kemurungan dan malah bunuh diri, serta mengelirukan pengguna mengenai keselamatan platformnya.

Para juri akan mendengar dakwaan kesemua 29 negeri bahawa Meta melanggar undang-undang persekutuan dengan mengumpul dan menggunakan data peribadi kanak-kanak secara tidak wajar.

Pakar berkata perbicaraan di mahkamah persekutuan Oakland, California, yang bermula pada 18 Ogos, adalah ujian perundangan terbesar setakat ini mengenai kesan media sosial terhadap pengguna muda.

Meta dan syarikat media sosial lain termasuk Snap (Snapchat), ByteDance (TikTok) dan Alphabet (YouTube) menghadapi ribuan saman berhubung dakwaan produk mereka memberi kesan buruk kepada pengguna muda.

Timbalan Peguam Negara California, Cik Megan O’Neill memberitahu juri bahawa model perniagaan Meta adalah untuk “membuat pengguna ketagih, mengekalkan mereka selama mungkin dalam talian, mengumpul data mereka, kemudian menyembunyikan kebenaran daripada orang ramai”.

“Ia amat berkesan terhadap kanak-kanak,” katanya.

“Meta memerlukan kanak-kanak dan perlu meyakinkan mereka yang mengambil berat bahawa kanak-kanak itu selamat,” tambahnya.

Peguam Meta, Encik Paul Schmidt, mengakui sesetengah individu menghadapi masalah akibat penggunaan media sosial, tetapi menegaskan ia tidak sampai ke tahap ketagihan.

Menurutnya, kajian tidak menunjukkan kaitan jelas antara penggunaan media sosial dalam kalangan remaja dengan tahap kesejahteraan yang rendah.

Encik Schmidt juga berkata Meta serta pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Encik Mark Zuckerberg, mahu mempertingkatkan perkhidmatan mereka, bukan menjadikannya berbahaya.

“Mereka percaya mereka tidak akan berjaya jika orang ramai tidak menyukai perkhidmatan mereka,” kata Encik Schmidt.

Juri dijangka mengeluarkan keputusan berbentuk nasihat, tetapi Hakim Daerah Amerika, Cik Yvonne Gonzalez Rogers akan menentukan liabiliti Meta.

Jika Meta didapati bertanggungjawab, Cik Rogers boleh mengenakan penalti sivil dan mengarahkan perubahan pada Facebook dan Instagram. Meta berkata penalti boleh mencecah AS$1.4 trilion ($1.8 trilion), manakala peguam negara berkata jumlahnya lebih hampir kepada AS$200 bilion.

Empat negeri utama itu turut mahu Meta menghapuskan ciri tanda suka dan tatal tanpa henti yang mendorong pengguna melihat hantaran baharu, menetapkan had masa bagi pengguna muda serta melaksanakan sekatan terhadap kanak-kanak bawah umur 13 tahun.

Mantan jurutera keselamatan Meta, Encik Arturo Bejar, kemudian memberi keterangan sebagai saksi pertama pihak negeri.

Beliau sejak sekian lama mendakwa Meta mengetahui alat keselamatan kanak-kanaknya tidak berfungsi dan telah memberi keterangan terhadap syarikat itu dalam empat perbicaraan.

Meta cuba menghalang keterangannya atas dakwaan beliau memadam mesej Signal dengan bekas pekerja, tetapi Cik Rogers menolak usaha itu kerana menganggap percubaan menyingkirkan saksi utama berkenaan sukar berjaya.

Encik Bejar memberitahu juri bahawa Meta berpegang pada prinsip bergerak pantas meskipun berisiko menimbulkan masalah, sehinggakan tidak mahu mengambil tahu sama ada kanak-kanak bawah 13 tahun berada dalam talian.

“Banyak produk dilancarkan kepada orang ramai,” seperti video pendek Reels, “tanpa mengambil kira aspek keselamatan pada peringkat awal,” kata Encik Bejar.

Pengasas bersama Meta dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Encik Mark Zuckerberg dan Ketua Instagram Encik Adam Mosseri, juga dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan selama enam minggu.

Saham Meta kebanyakannya diniagakan lebih rendah pada 18 Ogos dan ditutup susut 4.4 peratus kepada AS$543.67.

Cik O’Neill berkata negeri-negeri itu tidak berniat membuat Meta atau industri media sosial gulung tikar.

“Kes ini bukan mengenai sama ada media sosial memberi manfaat kepada sesetengah orang. Memang ada,” katanya.

Namun, beliau mendakwa Meta memanfaatkan kanak-kanak demi kepentingannya sendiri dengan mengkaji cara otak mereka berfungsi dan bertindak balas terhadap rangsangan dalam talian, dan menjejaki setiap kegiatan mereka dalam aplikasinya.

Beliau menunjukkan e-mel dalaman kepada Encik Mosseri yang menyatakan “masa yang diluangkan remaja” sebagai matlamat, selain berkata pekerja Meta menganggap Instagram sebagai “dadah” dan diri mereka sebagai “pengedar”.

“Meta mendapati semakin muda kanak-kanak mula menggunakan aplikasi itu, semakin baik,” kata Cik O’Neill.

Encik Schmidt berkata pekerja mungkin menggunakan ungkapan “bebas” secara peribadi, tetapi Meta membangunkan alat untuk membantu pengguna yang ada masalah dan mengesan 1.4 juta akaun dalam tempoh empat tahun yang dipercayai digunakan individu bawah umur 13 tahun.

Di luar mahkamah, Cik Mary Rodee berkata anaknya yang berusia 15 tahun, Riley Basford, menjadi mangsa di Facebook sebelum meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2021.

“Mereka menyebutnya kes bunuh diri spontan,” katanya.

“Bagi saya, kejadian itu adalah kesan yang sudah boleh dijangka daripada sistem yang melindungi syarikat, bukan kanak-kanak,” jelas beliau.

Saman itu bermula pada 2023, dua tahun selepas pemberi maklumat Cik Frances Haugen memberitahu Senat Amerika bahawa Meta mengetahui produknya tidak selamat untuk kanak-kanak dan tahu mengatasinya, tetapi mengutamakan keuntungan.

Pada Mac, juri Los Angeles mengarahkan Meta dan Google membayar AS$6 juta kepada seorang wanita berusia 20 tahun yang berkata beliau ketagih Instagram dan YouTube ketika kecil.

Pada awal Ogos, hakim New Mexico mengarahkan Meta membayar AS$567 juta bagi menangani kesihatan mental remaja selepas peguam negara negeri itu menyifatkan platform Meta sebagai gangguan awam.

Tennessee juga sedang membicarakan Meta atas dakwaan syarikat itu mengabaikan penyelidikan dalaman mengenai kesan negatif Instagram terhadap remaja. – Agensi berita.