Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon Gabenor Jakarta lakar visi jelang pilihan raya pada Nov

Sep 30, 2024 | 4:55 PM
Calon gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, yang berpasangan dengan bekas pelakon, Encik Rano Karno, dalam pilihan raya Gabenor berkongsi visi dengan media luar negara pada 30 September.
Calon gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, yang berpasangan dengan bekas pelakon, Encik Rano Karno, dalam pilihan raya Gabenor berkongsi visi dengan media luar negara pada 30 September. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Calon gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, menegaskan keazaman untuk memenangi pilihan raya daerah yang akan datang, walaupun kini berada di tempat kedua dalam tinjauan populariti.

Setelah meluangkan masa di lapangan, beliau mendapati beberapa isu lama yang masih tidak terurus di kota Jakarta dan belum diselesaikan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Jakarta nampak baik jika dilihat dari sudut pandang tertentu. Namun, setelah menjalani kempen, saya menyedari banyak masalah yang wujud,” kata Encik Pramono dalam taklimat media dengan wartawan dari luar negara pada 30 September.

Beliau mengimbau kunjungannya ke sebuah pangsapuri subsidi pemerintah di Tanah Tinggi, Jakarta Pusat. Beliau mendapati pangsapuri tersebut tidak pernah diubah elok selama 30 tahun dan mempunyai akses air yang terhad.

“Saya menyertai pertandingan pilihan raya ini kerana diminta, tetapi setelah melihat realiti ini, saya akan berjuang untuk menang,” jelas Encik Pramono.

Beliau mengakui bahawa walaupun kedudukannya masih di tempat kedua, angka penyelidikan telah meningkat kepada sekitar 30 peratus dalam tinjauan populariti rakan calonnya, bekas pelakon, Encik Rano Karno.

Encik Rano terkenal dengan wataknya sebagai Doel, seorang pemuda daripada keluarga etnik Betawi dalam siri televisyen, Si Doel Anak Sekolahan, pada 1990-an dan beberapa buah filem.

Encik Pramono, yang merupakan bekas Setiausaha Kabinet dan ahli politik kanan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), berpasangan dengan Encik Rano dalam pilihan raya itu.

Mereka bersaing dengan mantan Gabenor Jawa Barat, Encik Ridwan Kamil, dan pasangannya, Encik Suswono, dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Encik Ridwan dan Encik Suswono kini menjadi calon terdepan dalam tinjauan populariti, disebabkan oleh sokongan daripada pakatan besar parti politik yang propresiden terpilih Encik Prabowo Subianto dan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menerusi Koalisi Indonesia Maju (KIM).

Pasangan ketiga ialah mantan jeneral polis, Encik Dharma Pongrekun, dan pasangannya, ahli akademik Encik Kun Wardhana, yang bertanding sebagai calon bebas.

Para calon yang bersaing untuk jawatan ketua daerah sebagai gabenor, datuk bandar dan bupati (kepala daerah provinsi) di 37 provinsi (daerah bawah jagaan gabenor wilayah); 415 kabupaten (daerah diketuai bupati); dan 93 kota di seluruh Indonesia telah memulakan kempen mereka sejak 24 September, menjelang pilihan raya serentak yang dijadualkan pada 24 November.

Encik Pramono juga menggariskan rancangan untuk menjadikan Jakarta sebagai destinasi utama bagi pelancong antarabangsa dan menghidupkan kembali projek pembinaan tembok raksasa di teluk utara kota.

Tembok itu bertujuan untuk melindungi Jakarta daripada banjir besar yang semakin meningkat akibat perubahan iklim dan penurunan permukaan tanah di pantai utara.

Rancangan untuk menghidupkan kembali projek tembok raksasa itu juga telah dibincangkan oleh Encik Prabowo dalam kempen pilihan rayanya pada Januari.

Walaupun pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur sedang berjalan dan undang-undang nasional tentang Nusantara sebagai ibu kota negara telah dikuatkuasakan, namun ia masih jauh daripada bersedia untuk berfungsi sepenuhnya sebagai pusat kerajaan.

Oleh itu, Jakarta, yang menurut undang-undang baru akan ditetapkan sebagai daerah istimewa setelah statusnya sebagai ibu kota negara diangkat, akan terus menjadi pusat politik dan ekonomi Indonesia.

“Saya rasa Jakarta tidak akan banyak berubah walaupun tidak lagi menjadi ibu kota. Peristiwa politik masih akan berlaku di sini, kerana Nusantara belum bersedia,” kata Encik Pramono.

Bagi memastikan perpindahan ibu kota, presiden perlu menandatangani perintah presiden yang khusus mengatur pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara.

Namun, Encik Jokowi belum menandatangani perintah tersebut dan pada 18 September menyatakan bahawa ibu kota baru perlu benar-benar bersedia untuk berfungsi.

“Sememangnya sangat mudah jika hanya sekadar menandatangani dekri tersebut, tetapi kita perlu memastikan semuanya sudah siap,” tegas Encik Pramono.

Beliau menambah bahawa jika dekri tersebut tidak ditandatangani oleh Encik Jokowi, ia akan menjadi tugas penerusnya, Encik Prabowo, yang akan dilantik pada 20 Oktober.

Namun, penganalisis dan pengkritik menyatakan bahawa adalah sangat tidak mungkin Encik Prabowo akan menandatangani dekri tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg