Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persaingan pilihan raya daerah Indonesia mula jelang Nov

Sep 24, 2024 | 1:40 PM
Calon gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (atas kenderaan, kanan), dan calon timbalan gabenor, Encik Rano Karno, melambai kepada penyokong ketika mereka tiba untuk menghadiri pengundian nombor undi bagi calon gabenor dan timbalan gabenor Jakarta di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) di Jakarta pada 23 September.
Calon gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (atas kenderaan, kanan), dan calon timbalan gabenor, Encik Rano Karno, melambai kepada penyokong ketika mereka tiba untuk menghadiri pengundian nombor undi bagi calon gabenor dan timbalan gabenor Jakarta di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) di Jakarta pada 23 September. - Foto AFP

JAKARTA: Persaingan untuk pilihan raya tempatan terbesar dalam sehari bagi Indonesia secara rasmi bermula pada 25 September.

Ratusan calon kini bersedia untuk bertanding merebut jawatan ketua daerah di seluruh negara.

Pada 23 September, calon bagi pilihan raya ketua daerah menerima nombor undian masing-masing di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), sehari selepas nama-nama yang akan disenaraikan dalam kertas undi diumumkan oleh agensi tersebut.

Ini menandakan permulaan persaingan untuk pilihan raya serentak yang akan diadakan pada 27 November.

Pilihan raya serentak kali ini merupakan kali pertama rakyat Indonesia akan mengundi sekali gus untuk memilih gabenor, datuk bandar dan bupati (kepala daerah bahagian dari provinsi) di 37 provinsi (daerah bawah jagaan gabenor wilayah); 415 kabupaten (daerah diketuai bupati); dan 93 bandar di seluruh negara.

Jumlah kawasan yang terlibat menjadikan ia pilihan raya ini yang terbesar dalam sejarah Indonesia.

Tempoh kempen rasmi selama dua bulan bermula pada 25 September, walaupun ramai calon sudah memulakan kempen tidak rasmi mereka sejak mendaftarkan pencalonan di KPU awal September.

Pilihan raya tempatan kali ini turut menarik perhatian kerana ia diadakan selepas pilihan raya presiden dan perundangan serentak yang berlangsung pada Februari lalu.

Encik Prabowo Subianto bersama pasangan calonnya, Encik Gibran Rakabuming Raka, memenangi pilihan raya presiden tersebut.

Kini, gabungan parti yang menyokong mereka, Koalisi Indonesia Maju (KIM), sedang berusaha untuk meraih kemenangan di beberapa provinsi utama, seperti Jakarta.

Di Jakarta, calon gabenor KIM, Encik Ridwan Kamil, mantan gabenor Jawa Barat yang popular, akan berhadapan dengan Setiausaha Kabinet, Encik Pramono Anung, yang bertanding menggunakan tiket Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), lapor The Jakarta Post.

Selain itu, seorang lagi calon, mantan jeneral polis, Encik Dharma Pongrekun, akan bertanding sebagai calon bebas.

Mengikut tinjauan pendapat awam terkini, Encik Ridwan bersama pasangannya, Encik Suswono (menggunakan satu nama), daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS), merupakan calon pilihan utama untuk jawatan gabenor Jakarta.

Pilihan raya di Jakarta dilihat sebagai batu loncatan penting ke arah kerjaya politik yang lebih tinggi, walaupun Jakarta bakal kehilangan statusnya sebagai ibu kota negara tidak lama lagi.

Di provinsi strategik lain seperti Jawa Tengah, Sumatera Utar, dan Banten, calon-calon yang disokong oleh KIM akan bertanding melawan calon daripada parti lain.

Sementara itu, di Jawa Timur, tiga calon wanita sedang bersaing merebut jawatan gabenor.

Salah satu isu utama yang menjadi perhatian dalam pilihan raya kali ini adalah pendirian ‘tidak berpihak’ dalam kalangan pegawai pemerintah.

Menurut anggota Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu), Encik Lolly Suhenty, pendirian tidak berpihak atau berat sebelah pegawai pemerintah merupakan pelanggaran etika ketiga terbesar dalam pilihan raya daerah yang lalu.

Beliau menegaskan bahawa pihak Bawaslu akan menyiasat setiap dakwaan berat sebelah pegawai pemerintah dan akan menyerahkan penemuan mereka kepada Badan Kepegawaian Negara (BKN).

Dalam pilihan raya presiden Februari lalu, terdapat kebimbangan awam terhadap tidak berpihak pegawai awam terutamanya dengan dakwaan bahawa Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang akan tamat tempoh turut berperanan dalam membantu kemenangan anaknya, Encik Gibran, sebagai naib presiden terpilih.

Firma undang-undang, Themis Indonesia, mengeluarkan laporan pada 21 September yang mengenal pasti 10 provinsi yang berisiko tinggi mengalami penipuan pilihan raya akibat penglibatan pegawai pemerintah.

Antaranya adalah Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Banten, Jakarta dan Sumatera Utara.

Sebanyak 34 kabupaten dan satu provinsi akan melihat calon tunggal bertanding tanpa saingan dalam pilihan raya kali ini.

Menurut pakar pilihan raya, Cik Titi Anggraini, salah satu faktor utama yang menyebabkan perlumbaan tanpa saingan itu adalah keputusan KIM untuk mengekalkan gabungan yang berjaya dalam pilihan raya presiden Februari lalu.

Gabungan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara pemerintah pusat dan pentadbiran daerah yang akan membantu mempercepat pelaksanaan dasar-dasar baru di peringkat provinsi dan daerah.

Walaupun tempoh pendaftaran calon dilanjutkan oleh KPU bagi menggalakkan lebih ramai calon mendaftar, masalah kekurangan calon dalam beberapa kawasan tetap tidak dapat diselesaikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg