TOKYO: Calon bakal perdana menteri pertama wanita Jepun, Cik Sanae Takaichi, memilih untuk tidak mengunjungi kuil kontroversi Yasukuni di Tokyo, satu langkah berhati-hati untuk mengelakkan ketegangan dengan jiran serantau seperti China dan Korea Selatan.
Langkah itu dibuat ketika Parlimen Jepun mengesahkan akan mengadakan undian pemilihan perdana menteri baru pada 21 Oktober, menurut seorang ahli jawatankuasa kanan Parlimen yang dipetik oleh Reuters pada 17 Oktober.
Cik Takaichi, 64 tahun, yang mengambil alih kepimpinan Parti Demokratik Liberal (LDP) pada 4 Oktober, kini berdepan tekanan politik besar selepas gabungan pemerintah yang diketuainya runtuh minggu lalu, sekali gus menggagalkan peluang awal beliau untuk mencatat sejarah sebagai wanita pertama menduduki jawatan tertinggi negara itu.
Pada hari pembukaan festival musim luruh di kuil Yasukuni pada 17 Oktober, Cik Takaichi dilaporkan hanya menghantar sumbangan berbentuk persembahan simbolik dan memilih untuk tidak hadir secara fizikal.
Kuil tersebut memperingati 2.5 juta tentera Jepun yang gugur, termasuk 14 penjenayah perang Kelas A, menjadikannya isu sensitif yang sering mencetuskan kemarahan Beijing dan Seoul.
“Perdana menteri Jepun terakhir yang melawat secara rasmi ialah mendiang Shinzo Abe pada 2013, dan tiada pengganti selepasnya termasuk Shigeru Ishiba yang kini melepaskan jawatan, berani mengulanginya,” lapor NHK.
Sebagai tokoh konservatif tegar dan dianggap “pendukung garis keras terhadap China”, Cik Takaichi pernah beberapa kali mengunjungi kuil itu ketika menjadi menteri dalam kabinet Encik Abe. Namun kali ini, beliau memilih pendekatan pragmatik.
“Fokus saya adalah menjaga keharmonian serantau dan kestabilan politik dalam negara. Ini bukan masa untuk menimbulkan ketegangan baru,” katanya ringkas kepada wartawan di Tokyo.
Dalam satu perkembangan penting, jawatankuasa penyelarasan Dewan Rendah Parlimen Jepun telah bersetuju untuk mengadakan pengundian memilih perdana menteri baru pada Selasa, 21 Oktober.
Parti pemerintah LDP mencadangkan tarikh itu, namun parti pembangkang membantah, dengan alasan rundingan pembentukan gabungan baharu masih belum selesai.
Selepas parti Komeito menarik diri daripada gabungan 26 tahun mereka pada 10 Oktober, LDP kini sedang berbincang untuk membentuk pakatan baru dengan Parti Inovasi Jepun (JIP).
“Kami telah mencapai kemajuan dalam membina kepercayaan bersama. Presiden Takaichi dan saya sehaluan dalam banyak perkara, termasuk pandangan terhadap hal semasa dan falsafah politik negara,” kata Encik Fumitake Fujita, ketua bersama JIP, pada 16 Oktober.
Namun, Encik Fujita turut mengakui wujud perbezaan dasar ketara, termasuk cadangan JIP untuk mengharamkan sumbangan politik daripada syarikat korporat.
Perbincangan lanjut antara kedua-dua parti dijadualkan diteruskan 17 Oktiber. Gabungan baru itu dijangka masih kekurangan dua kerusi untuk majoriti, namun pakatan itu cukup untuk memastikan Cik Takaichi menang dalam pusingan kedua undian Parlimen, di mana hanya majoriti mudah diperlukan.
Cik Takaichi kini berlumba dengan masa untuk mengukuhkan kedudukannya sebelum lawatan rasmi Presiden Amerika Donald Trump ke Jepun hujung Oktober ini, selain beberapa sidang puncak serantau di Malaysia dan Korea Selatan.
Perincian perjanjian perdagangan antara Washington dan Tokyo masih belum dimuktamadkan, sementara Encik Trump dilaporkan akan mendesak Jepun menghentikan import tenaga dari Russia dan meningkatkan perbelanjaan pertahanan.
Penganalisis melihat langkah Cik Takaichi menjauhi Yasukuni sebagai strategi diplomatik berhati-hati untuk mengelak konflik dengan China dan Korea Selatan dua negara yang turut menjadi pemain penting dalam rundingan perdagangan dan keselamatan rantau ini.
“Takaichi cuba menyeimbangkan imej konservatifnya dengan keperluan diplomatik,” kata penganalisis politik Universiti Waseda, Encik Kenji Nakamura. “Beliau tahu langkah provokatif di awal kepimpinan boleh menjejaskan hubungan luar dan peluangnya untuk menjadi perdana menteri.”
Jika rundingan LDP dan JIP berjaya diselesaikan sebelum 21 Oktober, Cik Takaichi dijangka akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun, menandakan detik bersejarah dalam politik negara yang selama ini didominasi lelaki. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg