TOKYO: Pasaran kewangan Jepun melonjak dan dalam masa sama berdepan ketidaktentuan baru selepas kemenangan mengejut Cik Sanae Takaichi dalam pemilihan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), parti pemerintah yang telah lama berkuasa.
Kejayaan ini meletakkan Cik Takaichi di landasan untuk menjadi wanita pertama memegang jawatan perdana menteri Jepun.
Indeks utama Nikkei 225 melonjak kira-kira 4.5 peratus pada 6 Oktober menembusi paras 47,000 mata buat kali pertama.
Kenaikan mendadak ini berlaku sehari selepas LDP memilih Cik Takaichi, seorang konservatif berhaluan kanan yang pro-rangsangan ekonomi dan perniagaan, untuk mengetuai parti.
Cik Takaichi sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Menteri Keselamatan Ekonomi dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Beliau dikenali dengan pendirian menyokong perbelanjaan pemerintah yang tinggi serta kadar pinjaman rendah bagi merangsang ekonomi.
“Pelabur melihat peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi jangka pendek apabila dasar pro-rangsangan kembali menjadi fokus,” kata Encik Norihiro Fujito, penganalisis pasaran di Tokyo. “Kemenangan Takaichi memberi isyarat bahawa dasar fiskal longgar dan sokongan kepada eksport akan diteruskan.”
Spekulasi bahawa beliau akan menghidupkan kembali ‘Abenomics’ – pendekatan ekonomi yang diwarisi daripada mentor politiknya, bekas Perdana Menteri Shinzo Abe telah menyebabkan nilai yen jatuh mendadak berbanding dolar Amerika pada awal dagangan pada 6 Oktober.
Namun, kejatuhan yen ini juga meningkatkan daya saing produk Jepun di pasaran global, faktor yang disambut baik oleh pelabur.
Cik Takaichi, 63 tahun, telah lama mengagumi mantan Perdana Menteri Britain, mendiang Margaret Thatcher, dan menyokong pendekatan ekonomi berasaskan pasaran bebas.
“Saya percaya peranan pemerintah adalah memperkukuh daya tahan ekonomi negara sambil memberi ruang pasaran bergerak secara fleksibel,” katanya dalam ucapan kemenangan pada 4 Oktober.
Beliau juga terkenal dengan kritikan terhadap langkah Bank Pusat Jepun (BoJ) menaikkan kadar faedah. Pada 2024 Cik Takaichi menyifatkan kenaikan kadar sebagai “tidak masuk akal,” sekali gus bercanggah dengan mesej Gabenor BoJ, Encik Kazuo Ueda, yang berhasrat menaikkan kadar secara berperingkat bagi mengawal inflasi yang telah melepasi sasaran 2 peratus selama lebih tiga tahun.
Jika dilantik secara rasmi pertengahan Oktober ini, Cik Takaichi akan berdepan tugas berat memulihkan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat serta memastikan ekonomi domestik pulih daripada pertumbuhan lembap dan tekanan kos sara hidup.
Presiden Amerika Donald Trump dijangka melawat Jepun hujung bulan Oktober ini, menjadikan lawatan tersebut ujian diplomatik pertama buat Cik Takaichi. “Beliau pasti mahu memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan perjanjian baru yang boleh mengukuhkan yen dan mengurangkan beban import,” kata Encik Jesper Koll, penganalisis ekonomi yang berpangkalan di Tokyo.
Selain itu, Cik Takaichi perlu menangani sentimen rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barangan dan pertumbuhan gaji yang perlahan. “Kerajaan baru mesti fokus pada kesejahteraan isi rumah, bukan hanya pasaran saham,” ujar Profesor Haruko Sato, pakar dasar awam Universiti Osaka.
Secara tradisi, presiden LDP hampir pasti menjadi perdana menteri kerana parti itu menguasai majoriti dalam dewan rendah Parlimen. Walaupun gabungan LDP kehilangan majoriti di kedua-dua dewan dalam pilihan raya pada 2024, parti itu kekal terbesar di dewan rendah, menjadikan peluang Cik Takaichi untuk menjadi perdana menteri hampir pasti.
Parlimen dijadual mengundi pertengahan Oktober. Dewan rendah akan mengundi dahulu dan keputusannya mengatasi dewan perwakilan tinggi jika berlaku percanggahan. Selepas itu, Cik Takaichi akan membentuk kabinet baru dan secara rasmi menghadap Maharaja Jepun untuk mengesahkan kerajaan baru.
Peniaga dan pelabur tempatan menyambut baik pemilihan ini kerana ia menandakan kesinambungan dasar rangsangan. “Ini berita positif untuk eksport Jepun. Nilai yen yang lemah dan sokongan fiskal akan membantu syarikat besar kami,” kata Encik Hiroshi Tanaka, pengurus pelaburan di Tokyo.
Namun, ada juga yang berhati-hati. “Kerajaan baharu perlu memastikan hutang negara tidak melonjak terlalu tinggi akibat perbelanjaan besar,” kata Encik Yuko Matsumoto, pakar kewangan dari Osaka.
Jika dilantik Cik Takaichi dijangka menghadiri sidang kemuncak Asean di Malaysia sebagai lawatan luar negara pertamanya sebelum menyambut Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Tokyo. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg