Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon presiden, naib presiden Demokrat kempen bersama buat kali pertama

Aug 7, 2024 | 12:41 PM
Calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dan calon naib presidennya, Gabenor Minnesota, Encik Tim Walz, pada satu perhimpunan kempen di Philadelphia, Pennsylvania, pada 6 Ogos.
Calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dan calon naib presidennya, Gabenor Minnesota, Encik Tim Walz, pada satu perhimpunan kempen di Philadelphia, Pennsylvania, pada 6 Ogos. - Foto REUTERS

PHILADELPHIA: Calon presiden daripada parti Demokrat, Cik Kamala Harris, dan pasangan naib presidennya yang baru dipilih, Gabenor Minnesota, Encik Tim Walz, berkempen bersama buat kali pertama pada 6 Ogos di Philadelphia.

Ia memulakan lawatan berbilang hari ke negeri-negeri yang menjadi medan pertempuran dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November untuk memperkenalkan Encik Walz di peringkat kebangsaan.

Dalam ucapannya kepada lebih 10,000 orang di Universiti Temple, Encik Walz memberi gambaran kepada pengundi mengenai kisah peribadinya, menggambarkan perkhidmatan tenteranya, pengalamannya sebagai guru sekolah awam serta jurulatih bola sepak, dan rekodnya dalam politik.

“Pelajar sayalah yang mendorong saya bertanding. Mereka melihat dalam diri saya apa yang saya ingin terapkan dalam diri mereka: komitmen kebaikan bersama, kepercayaan bahawa seseorang boleh membuat perubahan,” ujar Encik Walz, 60 tahun.

Bercakap tentang diri Encik Donald Trump, calon presiden daripada parti Republikan, Encik Walz berkata “beliau mempersendakan undang-undang kita, beliau menyemai huru-hara dan perpecahan, dan itu bermakna rekodnya sebagai presiden tidak bagus”.

“Beliau tidak dapat berbuat apa-apa semasa menghadapi krisis Covid, beliau memacu ekonomi kita ke tanah, dan sudah tidak silap, jenayah kekerasan bertambah di bawah Donald Trump. Itu belum kira lagi jenayah yang beliau sendiri lakukan,” tambah Encik Walz.

Cik Harris, 59 tahun, semasa memperkenalkan Encik Walz menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang akan membantu menyatukan dan memajukan negara, serta pejuang untuk kelas pertengahan, dan taat pada negara.

Encik Walz mengkritik Republikan kerana mengejar sekatan ke atas hak reproduktif wanita, satu isu yang melanda Republikan sejak Mahkamah Agung Amerika pada 2022 menamatkan hak perlembagaan wanita untuk pengguguran.

Ia juga adalah penampilan bersama pertama calon presiden dan naib presiden Demokrat itu sebelum konvensyen parti Demokrat di Chicago pada 19 Ogos. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg