Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Canada rancang iktiraf negara Palestin di PBB pada Sep

Jul 31, 2025 | 10:22 AM
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, palestin, two state
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, dengan diperhatikan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Canada, Cik Anita Anand, berucap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet bagi membincangkan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat serta situasi di Asia Barat, bertempat di Teater Akhbar Nasional di Ottawa, Canada, pada 30 Julai. Menurut Encik Carney, Canada berhasrat mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September. - Foto AFP

OTTAWA: Canada merancang untuk mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, kata Perdana Menteri Mark Carney pada 30 Julai, satu perubahan dasar yang dramatik dan segera ditolak oleh Israel.

Encik Carney berkata langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan harapan terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin, satu matlamat lama Canada yang kini “semakin terhakis di depan mata kita”.

“Canada berhasrat mengiktiraf Negara Palestin pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2025,” kata Encik Carney.

Langkah itu menjadikan Canada negara ketiga, selepas pengumuman terbaru oleh Perancis dan Britain, yang berkemungkinan mengiktiraf negara Palestin pada September.

Israel mengecam pengumuman Canada itu sebagai sebahagian daripada “kempen tekanan antarabangsa yang songsang”.

Apabila ditanya oleh wartawan sama ada terdapat kemungkinan Canada akan mengubah pendiriannya sebelum mesyuarat PBB, Encik Carney menjawab: “Kemungkinannya ada (tetapi) mungkin dalam senario yang saya sendiri sukar bayangkan.”

Niat Canada “bergantung kepada komitmen Penguasa Palestin terhadap pembaharuan yang amat diperlukan,” kata Encik Carney, merujuk kepada badan pemerintah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas yang mempunyai kuasa sivil di sebahagian wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.

Encik Carney turut menambah bahawa pengiktirafan itu juga bergantung kepada janji Encik Abbas untuk “mengadakan pilihan raya umum pada 2026 tanpa penglibatan Hamas serta untuk melucutkan senjata negara Palestin”.

Dengan pengumuman itu, Encik Carney meletakkan Canada sebaris dengan Perancis, selepas Presiden Emmanuel Macron berkata negaranya akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa mesyuarat PBB menjadikannya negara Eropah paling berkuasa yang membuat pengumuman sedemikian.

Kedutaan Israel di Ottawa berkata bahawa “mengiktiraf negara Palestin tanpa pemerintah yang bertanggungjawab, institusi yang berfungsi atau kepimpinan yang berhemah adalah sama seperti memberi ganjaran dan pengiktirafan terhadap kekejaman kejam oleh Hamas pada 7 Oktober 2023”.

Encik Abbas menyambut baik pengumuman tersebut sebagai satu keputusan “bersejarah”, manakala Perancis berkata negara-negara berkenaan akan bekerjasama “untuk menghidupkan semula harapan keamanan di rantau ini”.

Rancangan Canada dilihat lebih tegas berbanding pengumuman oleh Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, pada 29 Julai.

Encik Starmer berkata Britain akan secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin pada September melainkan Israel mengambil beberapa “langkah berkesan”, termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Encik Carney menegaskan bahawa Canada selama ini merupakan anggota tetap dalam kalangan negara yang berharap penyelesaian dua negara “akan tercapai melalui proses damai yang berpaksikan rundingan antara pemerintah Israel dan Penguasa Palestin”.

“Malangnya, pendekatan ini tidak lagi boleh dipertahankan,” katanya, sambil merujuk kepada “keganasan Hamas” dan “penolakan bersenjata terhadap hak Israel untuk wujud” yang telah lama dilakukan kumpulan tersebut.

Proses damai turut terhakis akibat peluasan penempatan Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmakdis Timur, kata Encik Carney.

Perdana Menteri itu menambah bahawa penyelesaian dua negara kini semakin sukar dicapai, dengan pengundian di Parlimen Israel yang “menyeru supaya Tebing Barat dijadikan sebahagian daripada wilayah Israel”, serta “kegagalan berterusan” Israel dalam mencegah bencana kemanusiaan di Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg