BERLIN: Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman yang semakin meningkat daripada kumpulan sayap kanan di Britain dan menyeru parti politik progresif di seluruh Eropah untuk bekerjasama menangani cabaran bersama ini.
Britain dilanda rusuhan antipendatang awal Ogos, selepas serangan menikam kanak-kanak di kelas tarian.
Ini diikuti dengan dakwaan palsu yang diapi-apikan oleh mereka yang berhaluan kanan bahawa penyerang itu adalah seorang Islam yang mencari suaka.
Bercakap pada 28 Ogos dalam lawatan ke Jerman, yang turut menyaksikan sebuah kumpulan penentang migran, Alternative for Germany, melaporkan peningkatan anggotanya, Encik Starmer berkata populisme akan dikalahkan dengan membuat orang berasa lebih aman.
Beliau berjanji bahawa kehidupan di Britain akan bertambah baik sebelum tamat tempoh penggal pertama beliau berkuasa.
“Kita harus hidup di Britain untuk menghadapi cabaran kumpulan sayap kanan dan populisme dan nasionalisme,” katanya kepada pemberita.
“Terdapat beberapa sebab saya berasa bimbang, sebahagiannya apa yang berlaku di Britain, sebahagian lagi apa yang anda boleh lihat berlaku di negara Eropah lain, termasuk di Perancis dan di Jerman.”
Parti Buruh pimpinan Encik Starmer – yang berhaluan sederhana – mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya pada awal Julai, berbeza dengan apa yang diperolehi baru-baru ini oleh kumpulan sayap kanan di Eropah.
Tetapi rusuhan antipendatang telah mencetuskan krisis besar pertamanya.
Polis Britain telah menahan lebih 1,160 orang berhubung rusuhan yang melibatkan keganasan, pembakaran dan rompakan, serta serangan perkauman yang menyasarkan orang Islam dan pendatang.
Encik Starmer berikrar untuk menangani kumpulan sayap kanan dan berkata beliau akan bersikap terbuka dalam menghadapi masalah negara dan cara menyelesaikannya.
Tetapi tugas itu telah menjadi lebih mencabar kerana ia datang dengan latar belakang krisis kos sara hidup dan perkhidmatan awam yang semakin merosot. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg