BERLIN: Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, menjelaskan beliau tidak akan berputus asa untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, meskipun terdapat perbalahan antara mereka mengenai konflik yang sedang berlaku di Iran.

“Saya tidak berputus asa untuk berusaha dalam hubungan merentas Atlantik,” kata Encik Merz kepada stesen penyiar awam, ARD, dalam satu temu bual yang disiarkan pada malam 3 Mei.

“Saya juga tidak berputus asa untuk bekerjasama dengan Encik Donald Trump,” tegasnya.

Encik Merz cuba memperkecilkan sebarang ketegangan dengan Encik Trump, dengan alasan, sebagai contoh, pengumuman bahawa Amerika akan mengundurkan 5,000 tentera dari pangkalan di Jerman tidak mengejutkan dan tidak boleh dilihat sebagai tindak balas.

“Ia mungkin dibesar-besarkan sedikit, tetapi ia bukan perkara baharu,” kata Encik Merz.

Kritikan terhadap perang Amerika-Israel menentang Iran oleh Encik Merz dan pemimpin Eropah lain jelas menyebabkan Encik Trump berasa jengkel.

Perbalahan terkini berlaku selepas Encik Merz berkata pada 27 April Iran “memalukan” Washington di meja rundingan.

Ini menimbulkan beberapa reaksi marah daripada Washington, termasuk komen Encik Trump bahawa Encik Merz melakukan tugas yang “teruk” sebagai canselor.

Menurut Encik Merz, keputusan Amerika mengenai pengunduran tenteranya “tiada kaitan” dengan perselisihan faham yang timbul baru-baru ini.

Canselor itu seolah-olah turut mengesahkan rancangan menempatkan peluru berpandu jelajah Tomahawk Amerika ke Jerman – yang diumumkan mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden – telah dibatalkan sekurang-kurangnya buat masa ini.

Beliau memetik masalah senjata yang semakin berkurangan kerana peperangan di Iran dan Ukraine sebagai sebabnya.

“Amerika sendiri tidak mempunyai cukup senjata pada masa ini,” katanya.

“Secara objektif, hampir tiada kemungkinan daripada Amerika untuk melepaskan sistem senjata seperti ini,” tambahnya.

Tetapi, beliau menegaskan “kereta api belum berlepas” untuk kemungkinan menjalin kerjasama pada masa depan, dan kuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah boleh terus menghalang Russia tanpa peluru berpandu atau tentera Amerika. – AFP.