Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kenakan tarif kereta sehingga 25% ke atas import

Mar 27, 2025 | 11:57 AM
Pakar industri kenderaan menjangka langkah terbaru Encik Trump menaikkan tarif kereta sehingga 25 peratus akan menaikkan harga dan menghalang pengeluaran.
Pakar industri kenderaan menjangka langkah terbaru Encik Trump menaikkan tarif kereta sehingga 25 peratus akan menaikkan harga dan menghalang pengeluaran. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump pada 26 Mac melancarkan tarif 25 peratus ke atas kereta import dan trak ringan mulai minggu depan, meluaskan perang perdagangan global yang dicetuskannya apabila dipilih semula ke Rumah Putih pada 2025.

Pakar industri kenderaan menjangka langkah terbaru Encik Trump akan menaikkan harga dan menghalang pengeluaran.

“Apa yang kami akan lakukan ialah tarif 25 peratus untuk semua kereta yang tidak dibuat di Amerika Syarikat,” kata Encik Trump pada satu acara di Pejabat Oval.

Beliau yang melihat tarif sebagai alat untuk meningkatkan hasil mahsul untuk mengimbangi pemotongan cukai yang dijanjikan dan memulihkan sektor perindustrian Amerika yang telah lama merosot, berkata pungutan tarif akan bermula pada 3 April, sehari selepas beliau merancang mengumumkan tarif timbal balik yang ditujukan kepada negara yang bertanggungjawab terhadap sebahagian besar defisit perdagangan Amerika.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, menyifatkan langkah itu sebagai “buruk untuk perniagaan, lebih teruk untuk pengguna”.

Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, melabelkannya sebagai “serangan langsung” ke atas pekerja Canada.

“Kami akan ertahankan pekerja kami, kami akan mempertahankan syarikat kami, kami akan mempertahankan negara kami, dan kami akan mempertahankannya bersama-sama,” kata Encik Carney kepada pemberita di Ottawa.

Kesatuan United Auto Workers (UAW), pengkritik lama perjanjian perdagangan bebas yang dikatakan telah memusnahkan pekerjaan Amerika, memuji langkah tersebut

“Tarif ini merupakan langkah utama ke arah yang betul untuk pekerja kereta dan komuniti kolar biru di seluruh negara, dan kini dikenakan terhadap pembuat kereta, daripada Tiga Besar kepada Volkswagen dan seterusnya, untuk membawa kembali pekerjaan kesatuan yang baik kepada Amerika,” kata Presiden UAW Encik Shawn Fain dalam satu kenyataan.

Saham pembuat kereta jatuh dalam dagangan selepas waktu kerja dan niaga hadapan indeks ekuiti Amerika merosot, menunjukkan saham menuju pembukaan lebih rendah pada 27 Mac.

Asas undang-undang untuk tindakan itu adalah penyiasatan keselamatan negara 2019 ke atas import auto yang dikendalikan oleh pentadbiran pertama Encik Trump.

Siasatan itu mendapati bahawa import kereta menjejas keselamatan negara Amerika, tetapi pada masa itu Encik Trump tidak mengambil tindakan untuk mengenakan tarif.

Sebagai tanda tergesa-gesa tarif baru dikenakan, arahan Encik Trump termasuk pengecualian sementara untuk alat ganti kereta.

Ia mengecualikan buat masa ini, sebagai contoh, alat ganti automotif yang mematuhi Perjanjian Amerika-Mexico-Canada (USMCA) mengenai perdagangan yang dirundingkan oleh Encik Trump semasa penggal pertamanya.

Encik Brad Setser, bekas pegawai Perbendaharaan Amerika kini dengan Majlis Perhubungan Luar Negara, berkata kira-kira empat juta kereta dari Canada dan Mexico kini menghadapi 25 peratus atau lebih tarif, yang berkemungkinan akan menaikkan harga dan melembapkan jualan kereta.

Beliau berkata tarif itu adalah “pelanggaran jelas” USMCA dan juga menimbulkan persoalan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Korea Selatan.

Amerika mengimport produk automotif bernilai AS$474 bilion ($636 bilion) pada 2024, termasuk kereta penumpang bernilai AS$220 bilion. Mexico, Jepun, Korea Selatan, Canada dan Jerman, semuanya sekutu rapat Amerika, adalah pembekal terbesar. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg