LOS ANGELES: Terdapat sekurang-kurangnya 2.6 juta yang menghidapi penyakit, 26,000 dimasukkan ke hospital dan 1,600 kematian akibat selesema setakat musim ini di Amerika Syarikat, menurut anggaran terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika.
Jangkitan influenza bermusim terus meningkat di kebanyakan bahagian negara, dengan kawasan tenggara dan selatan-tengah negara melaporkan tahap jangkitan tertinggi, menurut semakan mingguan CDC.
Bilangan mereka yang dimasukkan ke hospital akibat selesema terus meningkat setiap minggu.
Empat kematian kanak-kanak yang berkaitan dengan influenza telah dilaporkan pada minggu yang berakhir pada 2 Disember, menjadikan jumlah kematian pada musim 2023-2024 kepada 12 kematian kanak-kanak, menurut CDC.
Kira-kira 7 peratus daripada ujian makmal klinikal untuk influenza adalah positif pada minggu yang berakhir pada 2 Disember – meningkat daripada hampir 6 peratus seminggu sebelumnya.
Data awal CDC yang diakses pada 8 Disember juga menunjukkan bahawa 15 negeri – kebanyakannya di selatan dan barat – mengalami tahap jangkitan penyakit seperti influenza yang “tinggi” atau lebih teruk pada minggu yang berakhir pada 2 Disember, dengan jangkitan di Louisiana dan Carolina Selatan disifatkan “sangat tinggi”.
Lapan negeri lagi mengalami jangkitan tahap “sederhana” mengikut CDC, manakala majoriti (27) mengalami tahap “minimum” atau “rendah”.
CDC mengesyorkan agar mereka yang berumur enam bulan ke atas mendapatkan suntikan selesema tahunan.
“Penyakit seperti influenza” merujuk kepada penyakit pernafasan yang disertai dengan demam serta batuk atau sakit tekak, yang boleh termasuk selesema serta penyakit yang serupa.
Musim selesema pada 2023 sekali lagi bermula di tengah-tengah kebimbangan tentang penyebaran virus sinsitium pernafasan (RSV) dan Covid-19 secara serentak.
Seiring dengan peningkatan influenza, CDC berkata dalam laporan pada 8 Disember bahawa jangkitan RSV “meningkat” terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, manakala kegiatan Covid-19 terus meningkat, terutamanya di kawasan Midwest dan Mid-Atlantik.
Untuk membantu mencegah penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian, CDC mengesyorkan agar orang ramai mendapatkan suntikan selesema. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg