Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cathay Pacific beli 14 pesawat daripada Boeing selepas lebih sedekad

Aug 6, 2025 | 8:00 PM
Cathay Pacific, 777x, Boeing
Pembelian terkini Cathay menjadikannya salah satu pembeli terbesar 777X, selepas syarikat penerbangan Teluk, Emirates dan Qatar Airways. - Foto REUTERS

HONG KONG: Cathay Pacific Airways mengumumkan akan membeli 14 pesawat Boeing 777-9 bernilai AS$8.1 bilion ($10.4 bilion) dalam perjanjian pertama dengan pembuat pesawat Amerika Syarikat itu selepas 12 tahun.

Syarikat penerbangan yang berpusat di Hong Kong itu juga mempunyai hak untuk membeli tujuh pesawat lagi, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Pesawat tersebut dijangka diserahkan menjelang 2034.

Persekitaran tempahan pesawat terkini semakin dipolitikkan apabila Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengaitkan tempahan jet dengan perjanjian dagangan.

Tempahan terkini Cathay menjadikannya salah satu pembeli terbesar 777X, di belakang syarikat penerbangan dari Timur Tengah, Emirates dan Qatar Airways.

Pengumuman tersebut dibuat ketika Cathay melaporkan sedikit kenaikan dalam keuntungan separuh pertama 2025, didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap perjalanan udara. 

Syarikat itu melaporkan pendapatan bersih sekitar HK$3.7 bilion ($607 juta) bagi enam bulan pertama 2025 yang berakhir pada 30 Jun, meningkat 1.1 peratus berbanding 2024.

Pendapatan meningkat 9.5 peratus kepada HK$54.3 bilion.

Tempahan pesawat Boeing tambahan itu memberikan sokongan besar kepada program 777X, yang masih belum mendapat sijil dan tertangguh beberapa tahun untuk memulakan perkhidmatan. 

Kali terakhir Cathay membeli pesawat daripada Boeing adalah pada 2013.

Sejak itu, pembuat pesawat Amerika tersebut kalah kepada Airbus, yang memperoleh komitmen sekitar 150 pesawat.

Cathay merupakan salah sebuah syarikat penerbangan pertama yang komited pada program 777X apabila ia membuat tempahan pada Disember 2013 untuk 21 pesawat 777-9.

Pesawat baru itu akan membantu Cathay menggantikan pesawat Boeing 777 generasi lama yang ada dan menyokong pertumbuhan yang diramalkan berlaku akibat daripada peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Cathay Pacific, dengan pemegang saham utama seperti Swire Pacific dan Air China, mengendalikan 236 pesawat, termasuk 73 pesawat Boeing dan 163 pesawat Airbus. 

Syarikat itu juga telah menandatangani perjanjian untuk membeli lebih 110 pesawat baru, menurut laporan tahunan 2024. 

Sebelum ini, Airbus telah menerima beberapa tempahan berturut-turut daripada Cathay untuk pesawat berbadan lebar, pesawat lorong tunggal, dan pesawat kargo. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg