Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Pembelian pesawat Boeing oleh M’sia bukan kerana tekanan tarif AS

Aug 4, 2025 | 3:47 PM
M’sia, tarif, Pembelian pesawat Boeing, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti armada yang bersifat jangka panjang serta bertahap.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pembelian pesawat Boeing oleh MAG bukanlah satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba atau kerana tekanan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

Tetapi pembelian itu berlandaskan pada keperluan untuk menggantikan pesawat B737-800 yang secara purata sudah beroperasi selama 14 tahun.

Beliau berkata ia juga demi menjamin keselamatan dan kemampanan operasi syarikat.

Tengku Zafrul ketika mengulas perkara itu berkata pada 2016, MAG membuat tempahan awal bagi 25 pesawat Boeing 737-8 MAX dan sejak November 2023, sebanyak 13 pesawat telah diterima, manakala selebihnya akan dihantar secara berperingkat sehingga 2027.

“Pada 20 Mac 2025 (sebelum tarif timbal balas diumumkan), MAG memuktamadkan tempahan tambahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 MAX, dengan tempoh penghantaran dijangka bermula 2025 hingga 2035.

“Selain itu, terdapat 30 pesawat lagi di bawah kategori ‘perancangan’ yang akan diputuskan berdasarkan strategi dan pelan pertumbuhan MAG pada masa depan.

“Nilai perolehan ini bukan sekadar harga pesawat, bahkan turut merangkumi kos enjin, latihan, penyelenggaraan serta sokongan jangka panjang,” katanya pada sesi penerangan Menteri mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan Amerika di Dewan Rakyat (Parlimen), pada 4 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Tambah Tengku Zafrul, perolehan itu juga antara usaha mengurangkan jurang defisit dagangan dua hala yang berpihak kepada Malaysia, dengan Amerika menggalak negara itu agar membuat perolehan dan pelaburan di negara itu di bawah Seksyen 6 perjanjian ini.

“Komitmen yang dibuat antara Malaysia dengan Amerika membabitkan perolehan kapal terbang Boeing oleh MAG bernilai AS$19 bilion (RM80.46 bilion/$24.46 bilion); perolehan barangan oleh syarikat berbilang negara (MNC) untuk sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bernilai AS$150 bilion bagi tempoh lima tahun.

“Perolehan Liquified Natural Gas (LNG) oleh Petronas bernilai AS$3.4 bilion setahun; perolehan produk telekomunikasi oleh Telekom Malaysia bernilai AS$119 juta; perolehan arang batu oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai AS$42.6 juta setahun; dan pelaburan rentas sempadan di Amerika AS$70 bilion bagi tempoh 10 tahun,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg