SEOUL: Mahkamah Korea Selatan hari ini mengurangkan jumlah bayaran perceraian yang perlu dibayar Pengerusi SK Group, Chey Tae-won, kepada bekas isterinya daripada 1.38 trilion won kepada 944 bilion won ($834.4 juta), sekali gus mengurangkan nilai penyelesaian yang sebelum ini digelar media tempatan sebagai “perceraian abad ini”.

Encik Chey, 65 tahun, yang mengetuai konglomerat SK Group termasuk pengeluar cip memori terkemuka dunia, SK Hynix, sebelum ini diperintahkan Mahkamah Tinggi Seoul pada 2024 membayar 1.38 trilion won kepada bekas isterinya, Cik Roh Soh-yeong.

Cik Roh ialah anak kepada bekas Presiden Korea Selatan, Roh Tae-woo, yang memerintah negara itu dari 1988 hingga 1993.

Encik Chey kemudian merayu kepada Mahkamah Agung, yang mengarahkan Mahkamah Tinggi menilai semula keputusan berkenaan, sekali gus membawa kepada pengurangan jumlah pampasan.

Bagaimanapun, keputusan itu belum muktamad kerana kedua-dua pihak masih boleh mengemukakan rayuan semula kepada Mahkamah Agung.

Kes perceraian berprofil tinggi itu tertumpu kepada penentuan dan penilaian harta sepencarian pasangan terbabit, termasuk pegangan saham Encik Chey dalam SK Group yang nilainya meningkat mendadak sejak ledakan industri kecerdasan buatan (AI).

Dalam keputusannya Mahkamah Tinggi Seoul memutuskan Cik Roh berhak menerima bayaran tunai bersamaan satu pertiga daripada nilai harta yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

“Pegangan saham defendan meningkat dengan ketara sepanjang tempoh perkahwinan hasil aktiviti pengurusannya.

“Plaintif turut menyumbang kepada peningkatan itu melalui peranannya mengurus rumah tangga, membesarkan anak-anak serta melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan SK Group,” menurut kenyataan mahkamah.

Seorang peguam Encik Chey berkata anak guamnya “amat kesal terhadap kebimbangan yang timbul” akibat kes itu, namun belum memutuskan sama ada akan mengemukakan rayuan.

Pihak Cik Roh pula enggan mengulas.

Encik Chey dan Cik Roh berkahwin pada 1988, namun dipercayai hidup berasingan lebih 15 tahun.

Pada 2015, Encik Chey mengakui mempunyai seorang anak hasil hubungan dengan wanita lain, sekali gus mencetuskan perhatian meluas masyarakat Korea Selatan.

Encik Chey memfailkan perceraian pada 2017, tetapi usaha perdamaian gagal sebelum pertikaian itu dibawa ke mahkamah pada 2022.

SK Hynix kini menjadi pembekal utama cip memori kepada syarikat AI Amerika Syarikat, Nvidia, menyebabkan nilai pegangan saham Encik Chey melonjak kepada kira-kira AS$5.5 bilion ($7.1 bilion)

Cik Roh, 65 tahun, mempunyai tiga anak bersama Encik Chey dan kini aktif dalam bidang seni sebagai pengendali sebuah muzium seni digital.

Ketika keputusan asal dibuat pada 2024, mahkamah mengambil kira dakwaan bahawa bekas Presiden Roh Tae-woo pernah menyediakan dana rahsia sebanyak 30 bilion won untuk membantu perkembangan awal SK Group, dan menganggap sumbangan itu sebagai sebahagian daripada harta bersama pasangan terbabit.

Namun, Mahkamah Agung pada Oktober lalu membatalkan pertimbangan itu selepas memutuskan dana berkenaan dipercayai berpunca daripada rasuah dan tidak boleh dikira sebagai sumbangan sah kepada harta sepencarian.

Mahkamah turut mengambil kira peningkatan mendadak nilai SK Group sejak ledakan AI ketika menentukan kadar pembahagian harta.

Saham SK Group dilaporkan meningkat lebih tiga kali ganda sejak Disember 2015, iaitu ketika Encik Chey mendedahkan hubungan luar nikahnya kepada umum.

Selain pembahagian harta, Mahkamah Agung sebelum ini turut mengarahkan Encik Chey membayar nafkah sebanyak dua bilion won kepada Cik Roh. – AFP