Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Rakyat AS perlu hadapi ‘keperitan’ akibat tarif baru, perang dagang

Turut beri bayangan tarif ke atas EU akan dilaksana pada masa depan
Feb 3, 2025 | 11:28 AM
Deretan kenderaan dilihat beratur panjang di pusat pemeriksaan sempadan Canada-Amerika Syarikat di Blackpool, Quebec, ketika ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara semakin memuncak.
Deretan kenderaan dilihat beratur panjang di pusat pemeriksaan sempadan Canada-Amerika Syarikat di Blackpool, Quebec, ketika ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara semakin memuncak. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menegaskan bahawa tarif besar yang dikenakan terhadap Mexico, Canada dan China akan tetap dilaksanakan, meskipun menerima kritikan meluas kerana kesannya terhadap ekonomi global dan harga barangan domestik.

Encik Trump mengakui bahawa langkah ini mungkin menyebabkan “keperitan jangka pendek” kepada rakyat Amerika tetapi menegaskan ia ‘berbaloi dengan nilai’  dan perlu untuk melindungi industri tempatan dan menangani isu imigresen serta penyeludupan dadah.

Langkah itu dibuat Encik Trump pada 1 Februari selepas berminggu-minggu dalam ketidaktentuan, dengan beliau menandatangani kadar tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Canada, walaupun terdapat pakatan perdagangan bebas serantau selain tarif 10 peratus kepada China sebagai tambahan kepada levi sedia ada.

Dalam satu sidang media sekembalinya dari Mar-a-Lago, Encik Trump berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Canada dan Mexico pada 3 Februari.

Namun, beliau merendahkan jangkaan bahawa perbualan itu akan mengubah keputusannya.

“Saya tidak menjangka sebarang perubahan drastik. Mereka berhutang banyak kepada kita dan saya pasti mereka akan membayarnya,” katanya.

Encik Trump turut menegaskan bahawa tarif terhadap Kesatuan Eropah (EU) akan “pasti berlaku”, namun tidak memberikan tempoh masa yang jelas.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam pasaran kewangan global, dengan pasaran saham Amerika menjunam sebaik sahaja pengumuman tarif dibuat.

Niaga hadapan Nasdaq jatuh 2.35 peratus, sementara S&P 500 turun 1.8 peratus.

Harga minyak mentah Amerika meningkat lebih AS$2 ($2.73) setong, manakala harga petrol melonjak lebih 3 peratus.

Penganalisis ING dalam satu nota menyebut bahawa tarif ini akan memberi kesan besar kerana ia meliputi hampir separuh daripada keseluruhan import Amerika.

Mereka juga meramalkan ia memerlukan pengeluaran domestik Amerika meningkat lebih dua kali ganda, sesuatu yang tidak realistik dalam jangka masa terdekat.

“Dari segi ekonomi, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat adalah situasi kalah-kalah bagi semua negara yang terlibat,” kata laporan itu.

Beberapa pakar ekonomi juga memberi amaran bahawa tarif ini boleh menyebabkan Canada dan Mexico mengalami kemelesetan ekonomi serta mencetuskan ‘stagflasi’ – keadaan di mana pertumbuhan ekonomi terhenti tetapi inflasi tetap tinggi.

Canada dan Mexico segera bertindak balas dengan mengumumkan tarif balas terhadap produk Amerika.

Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, menggesa rakyatnya supaya memboikot produk Amerika, sambil memfailkan aduan ke badan antarabangsa berkaitan tindakan Encik Trump.

Sementara itu, Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, dalam satu ucapan di luar ibu negara, menegaskan bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan tarif Amerika.

“Masalah fentanil adalah masalah Amerika, bukan Mexico...Mereka tidak boleh menyalahkan negara lain atas kegagalan mereka sendiri,” katanya.

China pula mengancam untuk mencabar tarif Encik Trump di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta mempertimbangkan langkah-langkah balas yang lebih keras.

Kementerian Luar Negeri China dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka telah mengambil langkah ketat untuk menangani isu penyeludupan fentanil dan menyalahkan Amerika kerana gagal menangani masalah itu di dalam negara mereka sendiri.

Tarif Encik Trump akan mula berkuat kuasa pada 4 Februari pada 12.01 pagi waktu tempatan.

Beberapa penganalisis melihat masih ada peluang untuk rundingan, khususnya dengan Canada dan China.

Menurut pakar ekonomi Goldman Sachs, tarif itu mungkin hanya bersifat sementara, tetapi ketidakjelasan syarat yang ditetapkan oleh Rumah Putih untuk pengecualiannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan syarikat.

Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan bahawa tarif ini akan kekal sehingga “darurat nasional” berkaitan penyeludupan fentanil dan imigresen haram dapat dikawal sepenuhnya.

Dalam kalangan ahli politik Amerika, keputusan Encik Trump menerima reaksi bercampur.

Ahli Demokrat mengecam tindakan ini sebagai penyalahgunaan kuasa eksekutif.

“Tidak kira bagaimana anda melihatnya, rakyat Amerika akan menanggung kos yang lebih tinggi akibat tarif ini,” kata Ketua Minoriti Senat, Encik Chuck Schumer.

Sebaliknya, ahli Republikan menyokong langkah Encik Trump, dengan ramai yang melihatnya sebagai langkah penting untuk melindungi industri domestik Amerika.

Satu tinjauan Reuters/Ipsos baru-baru ini menunjukkan rakyat Amerika terbahagi mengenai isu tarif, dengan 54 peratus menentang dan 43 peratus menyokong, manakala penyokong Demokrat lebih cenderung menolak tarif berbanding Republikan.

Sementara itu, pelabur kini memberi perhatian kepada kemungkinan tindakan lanjut Encik Trump, termasuk tarif terhadap produk minyak dan gas, keluli, aluminium, cip semikonduktor dan farmaseutikal.

Kesatuan Eropah juga memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas jika Amerika mengenakan tarif tambahan terhadap barangan dari blok tersebut.

“Ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu kerana dasar perdagangan yang agresif ini,” kata seorang penganalisis pasaran global.

“Amerika mungkin boleh menang dalam jangka pendek, tetapi kesannya kepada ekonomi global akan menjadi lebih besar dalam jangka panjang,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg