BEIJING: Krisis perdagangan global yang dicetuskan oleh tarif besar-besaran Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump terus memanas apabila China dengan tegas menolak apa yang disifatkannya sebagai “ugut-mengugut” ekonomi oleh Washington.
Dalam satu kenyataan keras, Kementerian Perdagangan China menyatakan bahawa negara itu tidak akan tunduk kepada tekanan, malah bersedia untuk “berjuang hingga ke akhir” jika Amerika meneruskan pendekatan agresifnya.
Kenyataan Beijing dikeluarkan sehari selepas Encik Trump mengugut untuk menaikkan tarif ke atas import dari China kepada lebih 100 peratus, sebagai tindak balas terhadap tindakan balas Beijing minggu lalu. Menurut Kementerian Perdagangan China: “Ancaman Amerika untuk meningkatkan tarif terhadap China adalah kesilapan yang berganda, sekali lagi mendedahkan sifat ugutan ekonomi mereka.”
Walaupun pasaran saham antarabangsa mula menunjukkan sedikit kestabilan selepas kejatuhan mendadak, tekanan terhadap pengeluar dan pelabur masih tinggi. Banyak pengeluar China, termasuk dalam sektor barangan rumah seperti peralatan makan dan lantai, kini berhadapan dengan amaran keuntungan, ketidakpastian harga, serta rancangan untuk membuka kilang di luar negara.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) turut mengumumkan cadangan tarif balas ke atas produk Amerika seperti kacang soya, kekacang dan sosej, sebagai reaksi kepada tindakan unilateral Trump. Suruhanjaya Eropah turut membuka ruang untuk perundingan: “Lambat laun, kami akan duduk semeja dengan AS dan mencari kompromi yang boleh diterima bersama,” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic.
Encik Trump bagaimanapun kekal bertegas bahawa pendekatan tarif adalah satu-satunya cara untuk “merombak semula sistem perdagangan” yang menurutnya telah melemahkan asas perindustrian negara itu selama beberapa dekad.
“Ini satu-satunya peluang untuk negara kita menetapkan semula kedudukannya. Tiada presiden lain berani lakukan apa yang saya sedang buat sekarang,” kata Encik Trump di Rumah Putih.
Sokongan terhadap Trump dalam kalangan pemimpin korporat mula goyah. Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan Chase, Encik Jamie Dimon memberi amaran bahawa tarif ini boleh memberi kesan negatif jangka panjang kepada ekonomi Amerika. Sementara itu, pengurus dana terkenal Encik Bill Ackman menyifatkan langkah ini sebagai berisiko mencetuskan “musim sejuk ekonomi nuklear”.
Tokoh usahawan terkenal, Elon Musk, turut menyuarakan kebimbangan terhadap dasar tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Trump. Beliau menggesa agar tarif antara Amerika Syarikat dan Eropah dihapuskan sepenuhnya, dan dilaporkan telah merayu secara langsung kepada Trump supaya membatalkan langkah tersebut.
Namun, respons daripada penasihat perdagangan Trump, Peter Navarro, dilihat meremehkan pandangan Musk apabila beliau menyindir Musk sebagai “sekadar pembuat kereta,” sekali gus memperkecilkan peranannya dalam perdebatan dasar perdagangan negara.
Pasaran saham utama dunia yang sebelum ini mengalami kejatuhan mendadak kini sedikit pulih. Indeks Nikkei Jepun meningkat 6 peratus selepas mencapai paras terendah dalam 18 bulan. Indeks saham utama di Hong Kong turut melonjak 2 peratus selepas mengalami kejatuhan terburuk sejak 1997.
Namun, pasaran Indonesia mengalami kerugian besar apabila bursa sahamnya jatuh 9 peratus dan mata wang rupiah mencatatkan paras terendah dalam sejarah. Bank pusat negara itu berjanji akan campur tangan untuk menstabilkan pasaran.
Di Amerika, pentadbiran Trump terus mempertahankan tindakan tarif ini sebagai janji politik yang ditepati. Ekonomi Rumah Putih, Encik Kevin Hassett berkata:
“Presiden sedang menggandakan tindakan yang beliau tahu berkesan. Tapi beliau juga bersedia mendengar jika ada tawaran perjanjian yang menguntungkan pekerja dan petani Amerika.”
Sementara itu, Vietnam yang dijangka terjejas akibat tarif turut meminta penangguhan selama 45 hari dan menawarkan untuk membeli lebih banyak produk pertahanan dan keselamatan dari Amerika sebagai usaha untuk mengimbangi perdagangan.
Beberapa pegawai kanan pemerintahan Amerika mengesahkan bahawa mereka telah menerima puluhan permintaan dari negara-negara lain untuk menangguhkan atau mengecualikan diri daripada tarif yang bakal dikuatkuasakan.
Di sebalik ketegangan ini, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent dilaporkan telah bertemu Encik Trump di Florida bagi mendesak presiden menunjukkan “hala tuju akhir” dasar perdagangan agar dapat menenangkan pasaran.
“Jika Amerika terus memaksa kehendaknya, China tidak akan tunduk. Kami bersedia untuk mempertahankan kepentingan kami sampai bila-bila,” tegas Kementerian Perdagangan China. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg