Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump perkenal ‘tarif sekunder’ sebagai senjata dagangan terbaru

Mar 25, 2025 | 2:30 PM
Ahli keluarga warga Venezuela yang kini ditahan di sebuah penjara dengan kawalan keselamatan tinggi di El Salvador selepas dihantar pulang dari Amerika Syarikat, memegang plakad dan gambar insan tersayang semasa tunjuk perasaan bagi menuntut pembebasan mereka, di Caracas, Venezuela, 24 Mac 2025.
Ahli keluarga warga Venezuela yang kini ditahan di sebuah penjara dengan kawalan keselamatan tinggi di El Salvador selepas dihantar pulang dari Amerika Syarikat, memegang plakad dan gambar insan tersayang semasa tunjuk perasaan bagi menuntut pembebasan mereka, di Caracas, Venezuela, 24 Mac 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperkenalkan senjata baharu dalam dasar luar ekonominya apabila mengancam akan mengenakan “tarif sekunder” sebanyak 25 peratus ke atas negara yang membeli minyak atau gas dari Venezuela.

Tindakan ini dilihat sebagai usaha terkini untuk menekan Venezuela yang didakwanya menghantar “puluhan ribu penjenayah berprofil tinggi” ke Amerika.

Arahan tersebut diumumkan melalui platform Truth Social dan disahkan dalam satu perintah eksekutif pada 24 Mac.

Encik Trump menyifatkan langkah itu sebagai usaha untuk memperkukuhkan kepentingan keselamatan dan imigrasi Amerika, selain memperluas penggunaan kuasa ekonomi negara bagi mencapai matlamat dasar luar.

“Ini adalah satu bentuk peperangan ekonomi baru,” kata Encik Francisco Monaldi, Pengarah Dasar Tenaga Amerika Latin di Baker Institute, Universiti Rice, Houston. “Bagaimana ia akan dikuatkuasakan? Itu masih belum jelas,” ujarnya.

Langkah Encik Trump ini menggabungkan dua instrumen utama: tarif dan sekatan sekunder. Tarif sekunder ialah denda ekonomi yang dikenakan ke atas negara pihak ketiga yang menjalankan perniagaan dengan entiti yang dikenakan sekatan oleh Amerika.

Dalam kes ini, negara seperti China, India, dan Sepanyol yang membeli minyak Venezuela mungkin menjadi sasaran.

Encik Trump juga memberi kuasa kepada Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, untuk menentukan mulai 2 April sama ada sesuatu negara layak dikenakan tarif sekunder. Perintah eksekutif itu turut menyebut bahawa tarif ini akan melibatkan Hong Kong dan Macau jika dikenakan terhadap China.

“China adalah sasaran utama. Tanpa China, pasaran gelap minyak Venezuela tidak akan seaktif sekarang,” ujar Encik Monaldi.

Chevron (Amerika), Repsol (Sepanyol), dan Reliance Industries (India) kini memiliki lesen khas untuk membeli minyak Venezuela. Namun, sebahagian besar urus niaga minyak Venezuela berlaku melalui saluran tidak rasmi ke China.

Encik Trump sebelum ini menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan sekatan kewangan, yang menurutnya boleh melemahkan dominasi dolar Amerika. Beliau melihat tarif sebagai alternatif lebih fleksibel – bukan sahaja sebagai alat rundingan, tetapi juga sebagai sumber pendapatan negara.

“Kadang-kadang beliau melihat tarif sebagai bentuk sekatan,” kata Encik Josh Lipsky, pengarah kanan Pusat Geoekonomi di Majlis Atlantik. “Trump percaya sekatan kewangan akan mempercepatkan peralihan ekonomi global daripada kebergantungan kepada dolar Amerika,” ujarnya.

Menurut Peter Harrell, bekas pengarah kanan ekonomi antarabangsa di Majlis Keselamatan Negara, Encik Trump melihat tarif sebagai pendekatan “menang-menang” kerana hasil tetap diperoleh walaupun sasaran enggan tunduk.

“Dalam pemikiran Trump, walaupun negara sasaran tidak menyerah, sekurang-kurangnya Amerika memperoleh hasil kewangan melalui tarif,” kata Encik Harrell.

Taktik ini bukanlah yang pertama. Pada awal penggal kedua pentadbirannya, Encik Trump pernah mengugut Colombia dengan tarif dan sekatan kerana enggan menerima semula warga Colombia yang dihantar pulang dari Amerika.

Pemerintah Colombia akhirnya akur, mengelakkan kemungkinan perang perdagangan dengan kuasa besar dunia itu.

Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, pernah menyatakan bahawa pendekatan tarif Trump merangkumi tiga matlamat: sebagai alat rundingan, sumber pendapatan negara, dan usaha mengimbangi semula perdagangan global yang menguntungkan Amerika.

Dengan Venezuela sebagai medan terbaru tekanan ekonomi, banyak pihak menjangkakan bahawa ketegangan diplomatik dengan negara-negara Amerika Latin bakal meningkat.

“Trump tidak hanya mencipta sekatan ekonomi baru – beliau sedang membentuk semula bagaimana kuasa besar dunia menggunakan kekuatan ekonominya untuk mendominasi arena antarabangsa,” kata Encik Monaldi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg