BEIJING: Menunjukkan perpaduan dengan penceroboh perang terburuk di Eropah dalam tempoh 80 tahun, Presiden China, Encik Xi Jinping, bertemu rakan sejawatannya dari Russia dan Korea Utara buat kali pertama sambil diperhatikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pemimpin Barat lain.
Perhimpunan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, di Beijing pada awal September adalah bukti pengaruh Encik Xi ke atas rejim autoritarian yang berhasrat mentakrif semula pentas sejagat yang diterajui Barat.
Bagi penganalisis geopolitik, ancaman, sekatan dan diplomasi yang dipacu oleh tarif tinggi Encik Trump membebankan perikatan Amerika yang telah lama wujud.
Pertemuan penting para pemimpin di ibu negara China itu turut meningkatkan prospek pembinaan paksi tiga hala baru pada pakatan pertahanan bersama yang ditandatangani antara Russia dengan Korea Utara pada Jun 2024.
Pakatan serupa antara Beijing dengan Pyongyang turut ditandatangani – sesuatu yang boleh mengubah kuasa ketenteraan di rantau Asia-Pasifik.
“Kita mesti terus mengambil pendirian yang jelas menentang hegemonisme (pengaruh sesebuah negara atas negara-negara lain) dan politik kuasa, serta mengamalkan pendekatan pelbagai hala yang sebenar,” kata Encik Xi pada 1 September sebagai peringatan kepada pesaing geopolitiknya di seberang Pasifik.
Selepas sidang puncak di Tianjin pada 1 September tatkala beliau dan Encik Putin melontarkan visi mereka untuk keselamatan sejagat dan ekonomi baru kepada lebih 20 pemimpin negara bukan Barat, pertemuan mereka dengan Encik Kim adalah langkah yang ditetapkan seterusnya menjelang perarakan tentera besar-besaran pada 3 September sempena berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Encik Xi telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, semasa lawatan pertamanya ke China dalam tempoh tujuh tahun, menjalin semula hubungan dua hala yang tegang, sedang tarif Encik Trump ke atas barangan India membimbangkan New Delhi.
Meskipun pemimpin Amerika itu menggembar-gemburkan usaha perdamaiannya dan menetapkan perhatiannya kepada Hadiah Keamanan Nobel, sebarang penumpuan kuasa tentera baru di Timur yang merangkumi Russia perang akan menimbulkan rasa bimbang pihak Barat.
“Latihan ketenteraan tiga hala melibatkan Russia, China dan Korea Utara nampaknya hampir tidak dapat dielakkan,” tulis Profesor Youngjun Kim, penganalisis di Biro Nasional bagi Penyelidikan Asia yang berpangkalan di Amerika.
“Hingga beberapa tahun lalu, China dan Russia adalah rakan kongsi penting dalam mengenakan sekatan antarabangsa ke atas Korea Utara kerana ujian nuklear dan peluru berpandunya.
“Mereka kini berpotensi menjadi rakan kongsi tentera Republik Rakyat Demokratik Korea semasa krisis di semenanjung Korea,” tambah Profesor Kim. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg