Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zelensky mahu bincang dengan Putin ekoran usaha damai terbantut

Serangan dron Ukraine ke atas Russia cetuskan kebakaran di loji tenaga nuklear
Aug 25, 2025 | 1:49 PM
konflik Russia, Ukraine
Dengan perang masuk tahun keempat yang telah meragut puluhan ribu nyawa, Russia baru-baru ini telah menawan dua kampung di wilayah Ukraine. - Foto REUTERS

KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata satu pertemuan secara langsung dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, akan menjadi “cara ke depan paling berkesan” di tengah-tengah percubaan diplomatik yang terhenti untuk menamatkan perang antara dua negara itu.

Pada masa sama, Ukraine melancarkan serangan dron ke atas Russia, mencetuskan kebakaran di sebuah loji tenaga nuklear sedang rakyat Ukraine merayakan hari kemerdekaan mereka pada 24 Ogos.

Selepas desakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk menjadi perantara bagi sidang puncak Ukraine-Russia, harapan untuk keamanan menjadi malap apabila Russia pada 22 Ogos menolak sebarang pertemuan Encik Putin dengan Encik Zelensky.

Di sebalik penolakan itu, Encik Zelensky berkata pada 24 Ogos “format perbincangan antara pemimpin adalah cara yang paling berkesan ke hadapan”, memperbaharui seruan bagi sidang puncak dua hala dengan Encik Putin.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, sebelum ini menuduh negara Barat mencari “dalih untuk menyekat rundingan” dan menyelar Encik Zelensky kerana “mendesak mesyuarat segera diadakan dalam apa jua keadaan”.

Encik Zelensky berikrar untuk “mendorong Russia ke arah keamanan” ketika beliau bercakap di majlis yang dihadiri utusan Amerika, Encik Keith Kellogg.

Encik Kellogg dianugerahkan Darjah Kebesaran Ukraine di majlis tersebut.

Dengan perang masuk tahun keempat dan telah meragut puluhan ribu nyawa, Russia baru-baru ini telah menakluki dua kampung di wilayah timur Donetsk pada 23 Ogos.

Ketua komander Ukraine, Encik Oleksandr Syrsky, berkata pada 24 Ogos bahawa tiga kampung lain telah ditawan semula pihaknya daripada kekuasaan Russia di Donetsk.

Sementara itu, serangan dron sempena Hari Kemerdekaan Ukraine ke atas Russia termasuk satu dron ditembak jatuh di kawasan atas loji kuasa nuklear Kursk di barat Russia.

Pihak penguasa loji itu menyatakan kebakaran yang dicetuskan oleh dron berkenaan telah dapat dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa atau peningkatan tahap radiasi.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa telah berulang kali memberi amaran tentang risiko daripada pertempuran di sekitar loji nuklear berikutan pencerobohan berskala penuh Russia yang dilancarkan pada Februari 2022.

Pihak berkuasa Russia berkata dron Ukraine juga telah ditembak jatuh di kawasan yang jauh daripada kawasan peperangan, termasuk di St Petersburg di barat laut.

Sebanyak 10 dron ditembak jatuh di kawasan pelabuhan Ust-Luga di Teluk Finland, mencetuskan kebakaran di terminal bahan api milik kumpulan tenaga Russia Novatek, kata pihak berkuasa tempatan.

Tentera Ukraine banyak bergantung kepada dron untuk bertindak balas terhadap pencerobohan Russia, terutamanya menyasarkan prasarana minyak untuk menjejas sumber utama pendapatan Moscow.

Russia telah menyaksikan kenaikan harga bahan api sejak peperangan bermula.

Ukraine pula berkata Russia telah melancarkan serangan dengan peluru berpandu balistik dan 72 dron Shahed buatan Iran, 48 daripadanya ditembak jatuh, menurut tentera udara. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg