WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menetapkan tempoh dua minggu bagi menilai rundingan damai antara Russia dengan Ukraine, ketika beliau meningkatkan usaha merundingkan penamatan perang.
“Saya akan katakan dalam masa dua minggu kita akan tahu satu cara atau yang lain,” katanya ketika ditanya pada 21 Ogos mengenai peluang perjanjian damai antara kedua-dua negara itu.
“Selepas itu, kita mungkin perlu mengambil langkah berbeza,” tambah Encik Trump tanpa memberikan butiran lanjut.
Pemimpin Republikan itu, yang telah berjanji semasa Pilihan Raya Presiden 2024 untuk menamatkan perang dalam satu hari, setakat ini gagal mencapai sebarang kejayaan besar – lebih tiga tahun sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Beliau telah bertemu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, pada 15 Ogos dalam sidang puncak di Alaska yang gagal mencapai persetujuan dan menyaksikan Encik Trump menggugurkan desakannya untuk gencatan senjata awal.
Encik Trump telah mengadakan perbincangan di Rumah Putih pada 18 Ogos, dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dan beberapa pemimpin sekutu Eropah.
Pertemuan itu menimbulkan harapan bahawa Encik Putin dan Encik Zelensky boleh bertemu secara langsung untuk rundingan damai.
Namun, Encik Zelensky pada 21 Ogos menuduh Russia “cuba mengelak keperluan untuk bertemu” dan mendakwa Russia enggan menamatkan perang.
Sementara itu, Russia pula berkata Ukraine nampaknya tidak berminat pada keamanan “jangka panjang”, selain menuduh Kyiv mencari jaminan keselamatan yang sama sekali tidak sejajar dengan tuntutan Moscow.
Pada akhir Mei, Encik Trump pernah berkata beliau akan menilai dalam tempoh dua minggu sama ada Encik Putin serius untuk mencapai perjanjian damai, di samping berjanji akan bertindak balas mengikut cara “berbeza” jika tidak.
Dalam pada itu, perancang tentera Amerika dan Eropah dilaporkan telah mula meneroka jaminan keselamatan pascakonflik bagi Ukraine, kata pegawai dan sumber Amerika pada 19 Ogos.
Langkah itu dibuat berikutan ikrar Encik Trump untuk membantu melindungi Ukraine di bawah sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Russia. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg