Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang tarif Trump jejas kilang-kilang kecil di China

Pengusaha kilang bimbang tempahan dibatalkan, pekerja takut hilang kerja
Apr 10, 2025 | 1:37 PM
Pekerja-pekerja kilang menjalankan tugas di barisan pengeluaran di sebuah kilang pakaian di daerah Panyu, Guangzhou, wilayah Guangdong, China pada 1 April 2025.
Pekerja-pekerja kilang menjalankan tugas di barisan pengeluaran di sebuah kilang pakaian di daerah Panyu, Guangzhou, wilayah Guangdong, China pada 1 April 2025. - Foto REUTERS

GUANGZHOU — Suasana di jalan-jalan berdebu dan kilang-kilang kecil di tenggara China semakin muram selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menaikkan tarif import barangan dari China kepada 125 peratus minggu ini.

Langkah terbaru itu memberi tamparan hebat kepada ribuan kilang kecil di sekitar Guangzhou — pusat perdagangan utama tenggara China — yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara itu.

Kilang-kilang kecil ini sebelum ini dikenali kerana mampu membekalkan pelbagai produk dengan harga murah, dan bergantung kepada jutaan pekerja migran dari seluruh China. Namun, kini mereka sedang berdepan detik sukar apabila banyak tempahan, terutama dari pelanggan Amerika, dibatalkan pada saat akhir.

Di Guangzhou, pusat perdagangan dan perindustrian penting di tenggara China, ribuan kilang kecil yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi negara itu kini terpaksa bergelut dalam keadaan yang penuh ketidaktentuan.

Kilang-kilang ini, yang terkenal kerana mampu menghasilkan hampir apa sahaja produk pada harga murah, bergantung kepada jutaan pekerja migran dari seluruh pelosok China. Namun, langkah terbaru Washington ini telah menjejaskan kelangsungan hidup mereka — bukan sahaja dari sudut kewangan, malah masa depan pekerja mereka juga terancam.

Bagi pengusaha kilang pakaian seperti Cik Ling Meilan, kesan perang dagang ini sudah mula dirasai secara langsung. Kilang miliknya yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan konkrit dalam kawasan perindustrian kini semakin sunyi apabila banyak kilang di sekelilingnya menggantung operasi. Jiran-jiran kilangnya yang bergantung kepada pelanggan dari Amerika.

“Perang dagang ini benar-benar beri kesan besar. Bila eksport tak boleh dibuat, tempahan pun kurang. Bila tak ada tempahan, kami tiada apa untuk dibuat,” katanya dalam nada kecewa sambil memerhati pekerja kilangnya yang masih setia menjahit baju di bawah cahaya lampu kalimantang.

Cik Ling memberitahu bahawa buat masa ini beliau masih bergantung kepada pasaran domestik di China, tetapi keadaan semakin mencabar apabila pengguna tempatan juga kini sangat berjimat cermat. Ramai rakyat China kehilangan simpanan hidup mereka akibat kejatuhan pasaran hartanah dalam negara.

“Ramai pengguna di China kini hanya beli barang bila benar-benar perlu. Mereka terlalu berjimat,” katanya.

Sementara itu, bagi pengusaha kilang yang bergantung kepada pelanggan dari Amerika Syarikat, tekanan yang dihadapi jauh lebih berat.
Seorang pengurus kilang di kawasan yang sama yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Yao, yang membekalkan produk ke platform e-dagang Amazon, mengakui tempahan dari pelanggan Amerika mula perlahan.

“Kalau tarif Amerika terlalu tinggi, kami memang tak mampu untuk teruskan perniagaan. Saya akan cari pasaran di negara lain,” katanya.

Masalah terbesar yang dihadapi oleh pengusaha kilang ialah pembatalan tempahan saat akhir oleh pembeli dari Amerika. Lazimnya, pelanggan dari Amerika membayar 50 peratus wang pendahuluan dan baki dibayar selepas penghantaran. Namun, dengan kenaikan tarif ini, ramai pembeli membatalkan pesanan bagi mengelak bayaran cukai tinggi kepada pemerintahan Trump.

Situasi ini menyebabkan kilang-kilang kecil terpaksa menanggung kerugian besar kerana barangan seperti pakaian, beg tangan dan aksesori sudah siap tetapi tidak dapat dijual. Wang pendahuluan yang diterima juga tidak cukup untuk menampung kos pengeluaran.

Namun, bagi pengusaha kilang mesin dan peralatan dapur seperti Encik Elon Li, cabaran ini masih boleh dihadapi. Ini kerana China masih mendominasi pasaran komponen elektrik murah yang tidak dapat disaingi oleh negara lain.

Encik Li, pemilik sebuah kilang kecil di Guangzhou yang menghasilkan peralatan memasak murah untuk restoran dan dapur rumah, berkata beliau tidak terlalu bimbang dengan tarif baharu Trump.
“Semua pesaing saya pun dari China juga. Kilang di Jepun, Korea atau Eropah memang ada buat produk sama, tetapi mereka guna bahan lebih mahal dan jual 10 kali ganda harga kami,” katanya.

Menurut Encik Li, kelebihan utama kilangnya ialah kos bahan mentah seperti keluli jauh lebih murah di China berbanding negara lain. Malah, krisis pasaran hartanah yang melanda China menyebabkan lebihan keluli dalam pasaran tempatan, sekali gus menurunkan harganya.

“Harga jualan peralatan memasak di Amerika memang sangat tinggi, kadang-kadang lapan kali ganda daripada kos pembuatan kami di sini,” jelas Encik Li kata Li yang menukar nama Inggerisnya daripada Dragon kepada Elon selepas membaca buku tentang Elon Musk pada tahun 2020.

Malah, Encik Li berkata tarif yang dikenakan oleh Amerika biasanya dikira berdasarkan kos pembuatan yang sangat rendah. Oleh itu, walaupun Trump menaikkan tarif kepada 125 peratus, harga di pasaran runcit Amerika tidak banyak berubah kerana perbezaan harga yang terlalu besar.

Namun, satu perkara yang tidak berubah ialah kos buruh. Menurut lima pengurus kilang yang ditemui di Guangzhou, pekerja kilang masih tidak mahu menerima gaji lebih rendah walaupun keadaan ekonomi mencabar.

Ini kerana kadar kelahiran yang rendah di China telah menyebabkan kekurangan pekerja kilang, terutama di kalangan generasi muda.
Situasi ini menambahkan lagi tekanan kepada pengusaha kilang kecil yang bergelut untuk terus beroperasi dalam suasana pasaran global yang tidak menentu.

Namun begitu, ramai pengusaha di China tetap optimis dan yakin mereka mampu mengharungi cabaran ini seperti sebelum-sebelum ini.
“Negara kami memang sedang menjadi lebih kuat. Ekonomi China pernah jatuh, tapi kami bangkit semula,” kata Cik Ling Meilan penuh keyakinan.
“Secara peribadi, saya cukup berpuas hati dan sangat yakin dengan masa depan China,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg