Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China pecat dua bekas menteri pertahanan kerana rasuah

Jun 28, 2024 | 4:53 PM
Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu (kiri) dan pendahulunya, Wei Fenghe, telah dipecat.
Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu (kiri) dan pendahulunya, Wei Fenghe, telah dipecat. - Foto REUTERS

BEIJING: Parti Komunis China yang memerintah telah memecat dua bekas menteri pertahanannya kerana rasuah, satu perkembangan yang mendedahkan bagaimana rasuah telah melanda pegawai tertinggi pasukan tentera terbesar di Asia itu.

Li Shangfu, 66 tahun, yang tidak dilihat di khalayak awam pada 2023, sekali gus mencetuskan spekulasi, didapati menerima rasuah.

Begitu juga dengan pendahulunya, Wei Fenghe, 70 tahun, menurut laporan media negara China pada 27 Jun.

Kedua-dua pemimpin tentera itu telah “mencemar usaha parti” bagi pembangunan pertahanan dan imej pemimpin kanan, kata laporan Suruhanjaya Tentera Pusat (CMC), badan tentera tertinggi China, dalam penjelasan rasmi pertama mengenai penyingkiran secara mengejut Li.

Wei adalah menteri pertahanan dari 2018 hingga 2023, manakala Li dipecat daripada tugasnya pada Oktober 2023 selepas hanya tujuh bulan, menjadikannya menteri pertahanan paling singkat di China, lapor The Straits Times.

Wei sebelum ini mengetuai Pasukan Roket Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), yang ditubuhkan oleh Presiden Xi Jinping pada 2015, untuk mengawal peluru berpandu konvensional dan nuklear.

China berbangga dengan membangunkan peluru berpandu antara benua yang boleh sampai hingga ke Amerika Syarikat, dan peluru berpandu hipersonik yang mampu menangkis tindak balas pertahanan Washington.

Sebelum Li menjadi menteri pertahanan, beliau bertanggungjawab ke atas jabatan PLA untuk mendapatkan dan membangunkan peralatan ketenteraan.

China telah melabur banyak untuk menaik taraf peralatannya, dalam usaha memodenkan pasukan tempurnya.

Tindakan Li, yang didapati memberi rasuah untuk kemajuan kerjayanya sendiri, “mencemarkan persekitaran politik sektor peralatan dalam tentera dan etika industri berkaitan dengan teruk”, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Suruhanjaya itu tidak menyatakan sama ada kes kedua-dua pegawai itu berkaitan atau menyatakan kuantum rasuah, walaupun sejumlah besar wang dikatakan terlibat.

Kes mereka akan dibicarakan oleh mahkamah tentera dan butiran lanjut mungkin dimaklumkan selepas perbicaraan.

Tentera China telah menjalani pembersihan antirasuah menyeluruh sejak 2023, dengan 11 jeneral PLA dan segelintir eksekutif industri pertahanan aeroangkasa disingkirkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg