BEIJING: Badan perundangan tertinggi China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), kini sedang meneliti dua rang undang-undang baru yang bertujuan memperkukuh perpaduan nasional melalui promosi kesatuan etnik dan penggunaan lebih meluas bahasa Mandarin standard di seluruh negara.
Langkah ini, menurut agensi berita rasmi Xinhua, dilihat sebagai “keperluan mendesak untuk membina rasa kebersamaan bangsa China dan memperkukuh pembinaan identiti nasional yang bersatu.”
Rang undang-undang pertama, “Undang-Undang Memajukan Kesatuan dan Kemajuan Etnik”, merangkumi tujuh bab yang menekankan identiti budaya bersama, integrasi sosial, pembangunan ekonomi serta tanggungjawab undang-undang. Antara lain, ia menekankan inisiatif pendidikan, pelancongan dan kebudayaan untuk menggalakkan pertukaran antara kumpulan etnik.
“Undang-undang ini penting bagi mengukuhkan rasa kebersamaan dan membina asas ideologi serta politik yang kukuh demi kesatuan etnik,” kata laporan Xinhua.
Rang undang-undang kedua pula, iaitu pindaan kepada “Undang-Undang Bahasa Cina Bertutur dan Bertulis Standard”, memperluas mandat penggunaan Mandarin di sekolah, perkhidmatan awam, komunikasi antarabangsa dan ruang digital.
Xinhua menegaskan: “Bahasa nasional standard, yang terbentuk melalui interaksi semua kumpulan etnik, adalah asas budaya China dan simbol utama negara, seumpama bendera, lagu kebangsaan dan lambang negara.”
Pakar minoriti etnik di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Encik Barry Sautman, berkata pindaan itu jelas menunjukkan hasrat Beijing untuk memastikan semua dokumen, papan tanda, bungkusan dan paparan awam menggunakan bahasa nasional.
“Namun, ia tidak menolak kemungkinan penggunaan dwibahasa di mana perlu, termasuk untuk pameran dan persidangan antarabangsa,” katanya kepada South China Morning Post.
Namun, langkah ini tidak terlepas daripada kritikan. Pengkritik berhujah bahawa paksaan penggunaan Mandarin boleh menjejaskan budaya tempatan, sebagaimana berlaku di Mongolia di mana pengajaran bahasa tempatan semakin digantikan dengan Mandarin.
Di wilayah Tibet dan Xinjiang pula, usaha integrasi etnik sering dikaitkan dengan sekatan terhadap seni, bahasa dan adat resam.
Langkah terbaharu ini dianggap sebahagian daripada strategi jangka panjang Presiden Xi Jinping, yang sejak 2014 memperkenalkan konsep “komuniti bangsa China” untuk memperkukuh identiti nasional.
Dalam mesyuarat Politburo yang dipengerusikan Xi pada Ogos, beliau menegaskan perlunya “memperkukuh asas ideologi dan politik kesatuan etnik, menegakkan kepimpinan parti, dan mengikuti jalan China dalam menyelesaikan isu etnik.”
Pakar menjelaskan bahawa walaupun lebih 80 peratus rakyat China kini boleh bertutur dalam Mandarin, cabaran kekal wujud, termasuk “promosi yang tidak seimbang”, “kekurangan kawal selia” dalam perkhidmatan awam dan dunia maya, serta keperluan menyesuaikan diri dengan pembangunan digital.
Undang-undang bahasa sedia ada diperkenalkan pada 2001. Kini, lebih 95 peratus orang dewasa celik huruf di China menggunakan aksara Cina standard, manakala kadar buta huruf telah menurun kepada kira-kira 2.7 peratus.
Walaupun angka ini dilihat sebagai kejayaan besar, laporan rasmi pada 8 September menyatakan masih terdapat cabaran, termasuk keperluan memperjelas tanggungjawab antara jabatan dan memperkukuh peranan bahasa nasional dalam era digital.
Rang pindaan baru turut menegaskan hak rakyat untuk belajar dan menggunakan Mandarin, dengan peruntukan jelas bahawa “tiada organisasi atau individu boleh menghalang rakyat daripada mempelajari dan menggunakan bahasa nasional standard.”
Penganalisis berpendapat, rang undang-undang ini adalah usaha Beijing untuk mengimbangi antara pembangunan ekonomi, integrasi sosial dan kawalan politik. “Bahasa adalah alat utama untuk menyatukan rakyat. Tetapi cabarannya ialah bagaimana memastikan usaha ini tidak menindas kepelbagaian budaya,” kata seorang penganalisis yang enggan dikenali di Beijing. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg