BEIJING: Diplomat tertinggi China, Wang Yi, mempertikaikan keberkesanan langkah tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat sambil menekankan bahawa kedua-dua kuasa besar itu mampu saling membantu dan berkembang bersama.
Ketika menjawab soalan mengenai pendekatan China terhadap AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, Encik Wang yang merupakan Menteri Luar China, mempersoalkan hasil sebenar tindakan Washington.
“Adakah defisit perdagangannya berkurang atau semakin besar? Adakah sektor pembuatan Amerika menjadi lebih kompetitif atau sebaliknya? Adakah inflasi di negara itu meningkat atau menurun? Adakah kehidupan rakyatnya menjadi lebih baik atau semakin sukar?” katanya dalam sidang media sempena mesyuarat tahunan Two Sessions di Beijing.
Dalam nada tegas, Encik Wang memberi amaran bahawa tiada negara boleh menekan China dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan baik dengannya.
“Tiada negara yang patut berfantasi bahawa mereka boleh menekan China sambil mengekalkan hubungan mesra. Sikap ‘dua wajah’ ini tidak baik untuk kestabilan hubungan dua hala atau usaha membina kepercayaan bersama,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa China tidak akan berdiam diri terhadap sebarang “tekanan sewenang-wenangnya” dan bersedia mengambil langkah balas terhadap tindakan Amerika dalam perang perdagangan yang semakin memuncak.
Sejak Januari, ketika Encik Trump kembali ke Rumah Putih, ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing terus meningkat. Kedua-dua negara mengenakan tarif balas-membalas ke atas produk masing-masing, dengan Encik Trump menuduh China gagal mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan dadah sintetik ke Amerika.
Sejak pentadbiran baru Amerika mula berkuasa pada Januari, persaingan antara Amerika dan China terus berlarutan dalam pelbagai isu, termasuk teknologi dan platform media sosial seperti TikTok. Pada 5 Mac lalu, pendakwa raya Amerika mengumumkan tuduhan jenayah terhadap 12 warga China atas dakwaan menggodam syarikat dan agensi kerajaan Amerika, sekali gus menambahkan lagi ketegangan dalam hubungan dua hala.
Walaupun hubungan kedua-dua negara semakin tegang, Encik Wang menegaskan bahawa China masih berharap dapat mencapai persefahaman dengan Amerika bagi mengelakkan kesan negatif yang lebih besar terhadap ekonomi China yang sedang perlahan.
“China dan AS adalah negara maju dan membangun terbesar di dunia. Kita harus mencari jalan untuk hidup bersama secara aman,” katanya.
Menurut Encik Wang, terdapat “kemungkinan” sepenuhnya bagi kedua-dua negara menjadi rakan strategik yang boleh membantu satu sama lain berjaya dan berkembang.
“AS sepatutnya melihat perkembangan China secara objektif dan rasional, bukannya melalui lensa konfrontasi,” tambahnya.
Sidang media Encik Wang adalah antara acara utama dalam Two Sessions, mesyuarat tahunan yang mempertemukan ribuan delegasi dari seluruh China bagi membincangkan dasar nasional.
Dalam sesi itu, selain hubungan Amerika-China, isu lain seperti perang di Ukraine serta hubungan Beijing dengan kuasa besar lain turut dibincangkan.
“China akan terus mempertahankan kepentingannya, tetapi kami tetap percaya bahawa kestabilan dan kerjasama adalah kunci kepada dunia yang lebih baik,” kata Encik Wang. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg