BEIJING: China menyasarkan pertumbuhan ekonominya kira-kira 5 peratus pada 2025, dan membuka lebih banyak kuasa fiskal untuk meningkatkan pertumbuhan apabila perang dagangnya dengan Amerika Syarikat semakin meningkat.
Sasaran tersebut terkandung dalam laporan kerja tahunan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Encik Li Qiang, pada sesi pembukaan badan perundangan China pada 5 Mac.
Ia secara amnya selaras dengan jangkaan pakar ekonomi – kekal tidak berubah dari dua tahun sebelumnya.
Namun, cita-cita itu melebihi apa yang diyakini oleh penganalisis sebagai realistik pada masa ini, memandangkan China masih bergelut dengan cabaran di peringkat dalam negara dan antarabangsa.
Bank Dunia mengunjurkan bahawa ekonomi China akan berkembang 4.5 peratus pada 2025, manakala Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan 4.6 peratus.
Yang penting, tarif yang telah dinaikkan oleh Amerika Syarikat mengancam eksport China.
Namun, ia menimbulkan titik terang bagi China, menyokong ekonomi yang telah merosot di bawah tekanan deflasi, permintaan dalam negeri yang lemah dan kemerosotan hartanah yang berlarutan.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah dua kali mengenakan tarif tambahan ke atas China sejak memegang jawatan pada Januari, dengan yang terkini – berkuat kuasa 4 Mac – menjadikan jumlah tarif mencapai 20 peratus.
China telah bertindak balas dengan tarif dan langkah lain yang tersendiri.
Semasa beliau menyampaikan laporan kerja, Encik Li merujuk kepada “persekitaran luaran yang buruk” dan peningkatan dalam perlindungan dan halangan tarif di peringkat sejagat yang boleh memberi kesan kepada China dalam perdagangan dan teknologi.
Asas bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi China yang mampan juga “tidak cukup kukuh” di dalam negara, katanya, memetik penggunaan lembap, tekanan pasaran pekerjaan dan kesukaran fiskal yang dihadapi oleh pemerintah tempatan.
Untuk meningkatkan pertumbuhan, pemerintah China akan dibenarkan untuk mencatatkan rekod defisit fiskal yang tinggi, iaitu sekitar 4 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
Ia menetapkan defisit untuk 2025 pada 5.66 trilion yuan ($1.04 trilion), meningkat 1.6 trilion yuan dari tahun sebelumnya.
Selain itu, China akan mengeluarkan 1.3 trilion yuan bon perbendaharaan jangka panjang, dan 4.4 trilion yuan bon tujuan khas pemerintah tempatan – masing-masing meningkat 300 bilion yuan dan 500 bilion yuan dari 2024 – untuk membolehkan lebih banyak perbelanjaan.
Pemerintah tempatan telah memperketat kawalan perbelanjaan mereka bagi mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg