Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China balas tarif baru Trump dengan naikkan tarif import AS

Cukai import ke atas pelbagai produk pertanian, makanan dari Amerika dinaikkan 10-15%
Mar 4, 2025 | 7:26 PM
China akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 hingga 15 peratus ke atas beberapa barangan import dari Amerika Syarikat mulai 10 Mac.
China akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 hingga 15 peratus ke atas beberapa barangan import dari Amerika Syarikat mulai 10 Mac. - Foto REUTERS

BEIJING: China pada 4 Mac bertindak balas dengan pantas terhadap tarif terbaru yang dikenakan Amerika Syarikat, dengan menaikkan cukai import sebanyak 10 hingga 15 peratus ke atas pelbagai produk pertanian dan makanan dari Amerika, sekali gus membawa kededua ekonomi terbesar dunia itu menghampiri perang perdagangan besar-besaran.

Beijing juga mengenakan sekatan eksport dan pelaburan terhadap 25 firma Amerika atas alasan keselamatan negara, namun menahan diri daripada mengambil tindakan terhadap syarikat terkenal, seperti yang dilakukannya ketika membalas tarif pentadbiran Encik Trump pada 4 Februari.

China menyasarkan 10 daripada 25 firma Amerika itu kerana mereka telah menjual senjata kepada Taiwan.

China menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, namun tuntutan tersebut ditolak Taiwan, lapor Reuters.

Tarif timbal balas terbaru China itu diumumkan ketika cukai tambahan 10 peratus yang dirancang Presiden Amerika, Encik Donald Trump, minggu lalu, berkuat kuasa pada sekitar 5 pagi GMT (1 petang waktu Singapura), pada 4 Mac.

Langkah itu membawa tarif yang dikenakan terhadap China kepada 20 peratus.

Ia dilakukan sebagai respons terhadap dakwaan Rumah Putih bahawa China gagal menangani aliran dadah.

Menurut kenyataan jurucakap Kementerian Luar China, Encik Lin Jian, pada 28 Februari, “isu fentanyl hanyalah alasan yang digunakan Amerika untuk mengenakan tarif, memberi tekanan, dan mengugut China”, sedangkan negara itu mempunyai antara dasar anti-dadah yang paling ketat di dunia. 

Fentanyl adalah dadah sintetik kuat yang digunakan untuk merawat kesakitan teruk, namun sering disalahgunakan sehingga menyebabkan pengambilan dos berlebihan.

Penganalisis berkata Beijing masih berharap dapat membuat rundingan dengan pentadbiran Encik Trump, namun tarif timbal balas yang berterusan itu berpotensi membesar sehingga menjadi perang perdagangan penuh antara dua gergasi ekonomi dunia ini.

Tarif baru Amerika itu merupakan tambahan kepada cukai sedia ada yang telah dikenakan ke atas ribuan barangan dari China.

Beberapa produk itu menanggung kesan tarif Amerika yang meningkat secara mendadak di bawah pentadbiran mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada 2024.

Ini termasuk penggandaan tarif ke atas produk semikonduktor China kepada 50 peratus dan peningkatan tarif ke atas kenderaan elektrik China sebanyak empat kali ganda kepada lebih 100 peratus. 

Tarif 20 peratus itu akan dikenakan ke atas beberapa barangan elektronik pengguna utama Amerika yang diimport dari China – termasuk telefon pintar, komputer riba, konsol permainan video, jam tangan pintar, pembesar suara, dan peranti Bluetooth.

Apabila tarif itu berkuat kuasa, China segera memberi tindak balas dengan mengumumkan ia akan mengenakan tarif tambahan 15 peratus ke atas ayam, gandum, jagung, dan kapas dari Amerika. 

Ia juga mengenakan cukai tambahan 10 peratus ke atas beberapa produk import dari Amerika, antaranya soya, betari, produk akuatik, buah-buahan, sayur-sayuran, dan tenusu, bermula 10 Mac, menurut kenyataan Kementerian Kewangan China.

“Kadar tarif sebelah pihak Amerika ini telah melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia secara serius dan merosakkan asas kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Amerika,” kata Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan berasingan.

“China akan mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah, dengan tegas,” tambah kenyataan itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg