Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump sedia lanjut tarikh akhir rundingan dagang

Jun 12, 2025 | 1:01 PM
Presiden amerika, donald trump
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa di Kennedy Center, Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 11 Jun.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pada 11 Jun bahawa beliau bersedia melanjutkan tarikh akhir 8 Julai bagi menyelesaikan rundingan perdagangan dengan negara sebelum tarif Amerika yang lebih tinggi dikuatkuasakan.

Namun beliau tidak menjangkakan langkah itu akan diperlukan.

Encik Trump memberitahu wartawan bahawa rundingan perdagangan sedang diteruskan dengan kira-kira 15 negara, termasuk Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah.

“Kami sedang mencapai kemajuan besar dalam rundingan perjanjian.

“Kami sedang berunding dengan beberapa negara, dan kesemuanya menunjukkan minat untuk memeterai perjanjian dengan kami,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak melihat keperluan melanjutkan tarikh akhir tersebut.

Encik Trump berkata Amerika akan menghantar surat dalam beberapa minggu akan datang yang memperincikan terma perjanjian perdagangan kepada puluhan negara lain, yang boleh mereka terima atau tolak.

“Pada satu tahap tertentu, kami hanya akan hantar surat… dengan mengatakan, ‘Inilah perjanjiannya. Anda boleh terima, atau tidak,’” kata Encik Trump.

“Jadi pada satu tahap kami akan lakukan itu. Kami belum bersedia lagi,” tambah beliau.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, memberitahu Anggota Parlimen sebelum ini bahawa pentadbiran Encik Trump mungkin akan melanjutkan tarikh akhir perjanjian perdagangan pada Julai atau “menggerakkan tarikh ke hadapan” bagi negara yang berunding dengan niat baik, dalam beberapa kes.

Penangguhan selama 90 hari terhadap tarif “timbal balas” Encik Trump yang paling meluas akan berakhir pada 8 Julai, dengan hanya satu perjanjian perdagangan dimeterai bersama Britain dan sekitar 17 lagi dalam pelbagai peringkat rundingan.

“Kemungkinan besar negara atau blok perdagangan seperti EU (Kesatuan Eropah) yang berunding dengan niat baik, kami akan gerakkan tarikh itu ke hadapan untuk teruskan rundingan.

“Jika ada pihak yang tidak berunding, maka kami tidak akan (lanjutkan),” kata Encik Bessent kepada sebuah jawatankuasa Dewan Perwakilan.

Kenyataan Encik Bessent itu menandakan kali pertama seorang pegawai pentadbiran Encik Trump menyatakan kelonggaran terhadap tarikh tamat tempoh penangguhan tersebut.

Encik Bessent mengulangi kemungkinan masa rundingan ditambah semasa satu lagi sesi persidangan di hadapan Jawatankuasa Peruntukan Senat pada 11 Jun, dengan berkata bahawa “saya percaya negara yang berunding dengan niat baik boleh dipanjangkan masa mereka”.

Beliau berkata bahawa EU sebelum ini lebih lambat mengemukakan cadangan kukuh, tetapi kini menunjukkan “niat yang lebih baik,” tanpa memberikan butiran lanjut.

Encik Trump turut menyatakan pandangan yang lebih positif pada 11 Jun, dengan berkata: “Mereka memang mahu berunding.”

Satu perjanjian yang dicapai pada 10 Jun di London dengan China bagi meredakan perang perdagangan dua hala itu sedang berlangsung mengikut landasan dan jadual berbeza, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 10 Ogos, seperti yang diumumkan pada Mei 2025.

Presiden merupakan pembuat keputusan utama dalam dasar tarif dan perdagangan pentadbirannya.

Namun pengaruh Encik Bessent semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan beliau kini dilihat oleh ramai rakan dagang sebagai suara yang lebih sederhana.

Encik Trump mengumumkan penangguhan itu pada 9 April, seminggu selepas melancarkan tarif “Hari Pembebasan” terhadap hampir semua rakan dagang Amerika yang begitu besar dan meluas sehingga menyebabkan pasaran kewangan sejagat hampir panik.

Indeks S&P 500 merosot lebih 12 peratus dalam tempoh empat hari, mencatat kejatuhan paling ketara sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada awal 2020.

Pelabur menjadi begitu cemas hingga menarik pelaburan sekuriti Perbendaharaan Amerika yang dianggap selamat, menyebabkan hasil bon melonjak.

Dolar turut jatuh.

Pasaran mula pulih pada 9 April apabila Encik Trump secara mengejut mengumumkan penangguhan itu.

Pemulihan berterusan pada awal Mei apabila pasukan Encik Trump bersetuju mengurangkan kadar tarif tiga angka yang dikenakan terhadap barangan dari China.

Peristiwa itu telah mencetuskan apa yang digelar oleh sesetengah pihak di Wall Street sebagai perdagangan ‘TACO’ – singkatan bagi Trump Always Chickens Out (Trump sentiasa mengalah pada saat akhir).

“Satu-satunya masa pasaran memberi reaksi positif ialah apabila pentadbiran menarik diri daripada dasar utamanya,” kata Ahli Kongres Demokrat, Encik Don Beyer, dari Virginia, kepada Encik Bessent sebelum mendesaknya mengenai jangkaan apabila tarikh akhir pada Julai berakhir.

“Seperti yang saya katakan berulang kali, terdapat 18 rakan dagang penting.

“Kami sedang berusaha ke arah perjanjian dengan mereka,” kata Encik Bessent sebelum menunjukkan kesediaan untuk menawarkan lanjutan kepada negara yang berunding dengan ikhlas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg