Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China ‘sedang timbang’ tawaran rundingan dagang dari AS

Washington mesti sedia batalkan tarif yang jejas pasaran dan rantaian bekalan sejagat sebelum mula perbincangan
May 2, 2025 | 9:06 PM
US, tariff, China
Kementerian Perdagangan China pada 2 Mei mengesahkan Amerika Syarikat telah menghubungi negara itu, dan ia sedang menimbangkan tawaran rundingan tarif daripada Amerika. - Foto REUTERS

BEIJING: China pada 2 Mei berkata ia sedang menimbangkan tawaran rundingan tarif daripada Amerika Syarikat, namun menegaskan Washington mesti bersedia membatalkan tarif yang telah menjejas pasaran dan rantaian bekalan sejagat, sebelum perbincangan boleh dimulakan.

Tarif Amerika yang membebankan ke atas banyak produk China mencapai 145 peratus, berkuat kuasa April.

Beijing kemudian bertindak balas dengan mengenakan cukai baru 125 peratus ke atas barang import dari Amerika.

Barangan berteknologi tinggi seperti telefon pintar, semikonduktor dan komputer telah diberi penangguhan sementara daripada tarif Amerika.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah berulang kali mendakwa China telah menghubungi Amerika untuk berbincang mengenai tarif.

Encik Trump pada 30 April mengulangi bahawa terdapat “peluang yang amat baik bagi China dan Amerika mencapai satu perjanjian”.

Kementerian Perdagangan China pada 2 Mei menyatakan pihak Amerika yang telah menghubungi negara itu, dan ia “sedang menimbangkan” tawaran rundingan tersebut.

Namun, ia berkata sebarang rundingan memerlukan konsesi daripada Amerika terlebih dahulu.

“Jika Amerika ingin berbincang, ia harus menunjukkan keikhlasan untuk berbuat demikian, bersedia membetulkan amalan salahnya dan membatalkan tarif sepihak.

“Dalam sebarang dialog atau perbincangan yang mungkin diadakan, jika pihak Amerika tidak membetulkan langkah tarif sepihak yang salah, ia bermakna pihak Amerika tidak ikhlas sama sekali, dan ia akan merosakkan lagi kepercayaan bersama antara kededua pihak.

“Mengatakan satu perkara dan melakukan perkara lain, atau cuba memaksa dan mengugut tetapi memaparkan ia sebagai satu rundingan, tidak akan berhasil,” kata kementerian itu.

Pengarah Pusat Pengajian Amerika di Universiti Fudan di Shanghai, Profesor Wu Xinbo, berkata Beijing mungkin mengambil pendirian tegas.

“Sudah tentu Amerika berharap dapat memulakan rundingan ini secepat mungkin, tetapi sikap kami adalah ‘anda mesti terlebih dahulu mengambil tindakan untuk menunjukkan keikhlasan’,” komen beliau.

Sebaik sahaja Amerika membatalkan tarif ke atas China, “kita boleh membincangkan keprihatinan masing-masing yang sah”, seperti keprihatinan Washington tentang perdagangan dua hala yang berat sebelah dan rungutan Beijing terhadap usaha Amerika menyekat pembangunan teknologi China, tambah Profesor Wu.

Berpuluh-puluh negara kini mempunyai tempoh selama 90 hari yang berakhir pada Julai untuk mencapai satu perjanjian dengan Washington bagi mengelakkan kadar tarif yang lebih tinggi berdasarkan negara.

Beijing telah menyatakan ia tidak akan gentar melawan perang dagangan hingga ke akhir, jika perlu.

Awal dari ini, satu video yang disiarkan di media sosial oleh Kementerian Luar China menyatakan ia “tidak akan melutut” dalam menghadapi tekanan ekonomi dan tarif Amerika. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg