Singapura akan mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara lain, bermula dengan jiran terdekat Malaysia dan Indonesia, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Amerika Syarikat mungkin beralih tumpuan kepada isu dalam negara mereka, tetapi negara lain tidak perlu mengikuti langkah tersebut.
Demikian dinyatakan Encik Wong dalam video empat minit mengenai hal ehwal luar, yang disiarkan di wadah media sosial beliau seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube pada 25 April.
Walaupun sedang sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Wong berkata beliau dan pasukannya tidak akan berhenti bekerja untuk Singapura.
Dalam video yang ditujukan kepada warga Singapura itu, Encik Wong berkata Singapura mungkin terlalu kecil untuk mempengaruhi perkembangan sejagat, tetapi ia bukannya tidak berdaya mengambil langkah aktif bagi membentuk nasib sendiri.
“Singapura hari ini jauh lebih berkebolehan dan lebih berhubung berbanding ketika baru bermula.
“Jenama Singapura dipandang baik dan kita menikmati hubungan muhibah yang mendalam di peringkat antarabangsa.
“Tambahan pula, kita tidak bersendirian. Banyak negara berkongsi hasrat yang sama dengan kita untuk menegakkan sistem sejagat yang terbuka, stabil dan berasaskan peraturan,” katanya.
Encik Wong berkata sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau telah mengadakan perbincangan yang berjalan lancar bersama pemimpin beberapa negara termasuk Malaysia, Jepun, New Zealand, Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK).
“Kita semua setuju walaupun Amerika kini mungkin memberi lebih tumpuan kepada isu domestiknya, kita yang lain tidak perlu ikut; sebaliknya, kita harus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain,” ujar Encik Wong.
“Kita akan bermula dengan jiran terdekat kita. Dengan Indonesia, kita mempunyai rancangan untuk melakukan lebih banyak lagi kerjasama berkaitan tenaga dan keselamatan makanan.
“Dengan Malaysia, kita mempunyai projek besar seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Malah, DPM (Timbalan Perdana Menteri), Encik Gan Kim Yong, baru sahaja menghadiri persidangan pelaburan untuk SEZ.
“Penyepaduan Asean juga akan diperkukuh,” tambah Encik Wong.
Asean akan dijadikan 100 peratus bebas tarif dan halangan bukan tarif akan direndahkan di rantau ini.
Perdagangan dan pelaburan antara negara Asean akan dikembangkan, manakala kerjasama dalam bidang baru seperti ekonomi digital akan dipertingkat.
Melalui Asean, Singapura akan mendampingi pemain utama lain, sama ada China, India, Korea, Jepun atau negara-negara Teluk di Timur Tengah, katanya.
Encik Wong menambah, EU ialah pemain utama dan kedua-dua rantau itu boleh melakukan lebih banyak lagi bersama.
Langkah konkrit juga boleh diambil ke arah Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) Asean-EU, katanya.
Encik Wong turut menyentuh tentang Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).
Perjanjian itu bermula sebagai FTA kecil melibatkan Singapura dan tiga negara lain sebelum diluaskan menjadi kerjasama rentas pasifik yang dipimpin Amerika.
Selepas Amerika menarik diri dan di bawah kepimpinan Jepun, CPTPP dibentuk.
“CPTPP telah berkembang, UK telah menyertainya dan beberapa ekonomi seperti Indonesia telah menyatakan minat untuk berbuat demikian.
“CPTPP boleh membentuk kerjasama dengan EU,” kata Encik Wong.
“Jika digabungkan, kita menyumbang 30 peratus GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) dunia, walaupun tanpa Amerika.
“Bersama-sama, kita boleh menegakkan sistem berasaskan peraturan dan memudahkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan,” ujar Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg