JAKARTA: Pertumbuhan ekonomi Indonesia dijangka kekal sekitar 5 peratus tahun 2025 ini meskipun berdepan ketegangan perdagangan, kata Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, pada 24 April sambil menegaskan bahawa delegasi pemerintah masih berunding dengan pihak Washington untuk mengelakkan tarif tinggi dikenakan.
Unjuran tersebut hampir menyamai kadar pertumbuhan tahun 2024 sebanyak 5.03 peratus. Sasaran rasmi pemerintah bagi tahun 2025 ialah 5.2 peratus, manakala Presiden Prabowo Subianto telah berikrar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kepada 8 peratus menjelang tahun 2029.
Namun begitu, dalam laporan ekonomi dunia terbaru, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan anggaran pertumbuhan Indonesia bagi tahun 2025 kepada 4.7 peratus, daripada anggaran asal 5.1 peratus.
Kenyataan Cik Sri Mulyani dibuat semasa sidang media dalam talian bersama Lembaga Kestabilan Sistem Kewangan (KSSK), yang turut dianggotai oleh Gabenor Bank Indonesia, Ketua Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK) dan Ketua Lembaga Penjamin Simpanan.
Cik Sri Mulyani dan Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo kini berada di Washington untuk menghadiri mesyuarat tahunan IMF-Bank Dunia.
Dalam masa yang sama, delegasi yang diketuai oleh Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto, turut berada di ibu negara Amerika Syarikat untuk merundingkan perjanjian perdagangan dalam tempoh 60 hari selepas pertemuan dengan pegawai AS pada 17 April, termasuk Wakil Perdagangan Amerika (USTR).
Sepanjang rundingan tersebut, Indonesia telah menawarkan pembelian lebih banyak produk Amerika seperti gas petroleum cecair (LPG) dan gandum, di samping mengurangkan halangan bukan tarif domestik, bagi mengelakkan tarif sebanyak 32 peratus dikenakan ke atas eksport Indonesia seperti barangan elektronik, pakaian dan kasut.
“Pemerintah akan melaksanakan mitigasi awal secara aktif, termasuk meneruskan komunikasi dengan pentadbiran Amerika dan seperti diarahkan oleh Presiden, akan memperhebat usaha melonggarkan peraturan perdagangan untuk mengurangkan halangan perdagangan,” kata Cik Sri Mulyani.
Beliau turut menambah bahawa usaha akan diteruskan untuk melindungi permintaan dalam negara, yang kini menjadi tumpuan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Pasaran kewangan Indonesia telah menerima tekanan sejak pengumuman tarif tinggi oleh Presiden Donald Trump pada awal April, yang membawa kepada aliran keluar modal. Namun begitu, Cik Sri Mulyani menjelaskan bahawa pergerakan nilai rupiah dijangka kekal stabil berbanding dolar Amerika.
Dalam kenyataan berasingan, Encik Airlangga berkata bahawa pasukannya telah memulakan rundingan teknikal dengan rakan sejawat dari Amerika untuk merangka perjanjian kerangka tarif dan akan membincangkan isu-isu seperti akses pasaran dan anggaran tarif nasional.
“USTR telah menekankan kepentingan pakej akhir untuk pertimbangan Presiden Trump, sebagai pembuat keputusan terakhir,” kata Kementerian Ekonomi Indonesia.
Cik Sri Mulyani turut memaklumkan bahawa beliau dijadualkan bertemu Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent, dalam minggu ini. Sebelum itu, beliau telah bertemu Menteri Kewangan China, Lan Foan, semasa menghadiri mesyuarat IMF-Bank Dunia dan kedua-duanya bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Sri Mulyani sebelum ini menganggarkan bahawa jika tarif 32 peratus itu diteruskan, pertumbuhan ekonomi Indonesia boleh berkurang sebanyak 0.3 hingga 0.5 peratusan mata.
Walaupun eksport Indonesia ke Amerika hanya menyumbang sekitar 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pemerintah memberi amaran bahawa kesan sampingan daripada perang perdagangan itu boleh memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi secara keseluruhan.
Sepanjang lawatan mereka ke Washington, para menteri Indonesia juga telah bertemu penggiat perniagaan Amerika Syarikat, termasuk eksekutif syarikat perlombongan Freeport McMoRan dan Ketua Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika-Asean, Ted Osius, menurut catatan di media sosial mereka. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg