Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing gesa negara sehaluan tingkat kerjasama tangani konflik kian berubah
Chun Sing gesa negara sehaluan tingkat kerjasama tangani konflik kian berubah
Negara berfikiran sama boleh rapatkan jurang, uji idea, huraian dalam domain baru seperti AI
Chun Sing gesa negara sehaluan tingkat kerjasama tangani konflik kian berubah
Ketika konflik berkembang, terdapat keperluan untuk lebih banyak rangkaian pengaturan yang fleksibel dan berasaskan isu untuk melengkapi kerjasama pelbagai hala, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing.
Dalam ucapan di sesi pleno Dialog Shangri-La pada 31 Mei, beliau berkata bahawa meskipun institusi berbilang pihak merupakan tonggak kerjasama antarabangsa, namun negara tidak boleh dihambat oleh persetujuan yang mengambil masa lebih lama, apabila domain baharu berkembang pesat.
Sebaliknya, negara-negara harus membangunkan perkongsian fleksibel dengan negara yang berfikiran sama, membentuk “gabungan yang mampu dan sanggup melakukannya”.
“Ini berfungsi sebagai pancaran penghubung kerjasama kita untuk merapatkan jurang, menguji idea dan mencari jalan dalam domain baru dan belum dipetakan,” katanya.
Menurutnya, dengan rangkaian ini, negara boleh berusaha membina kepercayaan dalam bidang seperti siber dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau memberi contoh bagaimana Singapura telah bekerjasama dengan Belanda dan Korea Selatan untuk memulakan perbincangan global mengenai tadbir urus AI ketenteraan.
Dalam bidang siber, Singapura melancarkan Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean mengenai Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat pada 2023, bagi membolehkan pertukaran lebih baik antara pertubuhan pertahanan Asean terhadap ancaman serangan siber, maklumat palsu dan maklumat yang salah.
Encik Chan berkata Singapura juga melihat keperluan segera untuk mewujudkan rangka kerja bagi melindungi infrastruktur di bawah laut kritikalnya seperti kabel telekomunikasi dan tenaga.
Beliau menyatakan inisiatif melibatkan 17 negara telah dilancarkan baru-baru ini untuk melindungi sistem sedemikian, yang diterajui oleh Singapura.
Prinsip Panduan untuk Pertukaran Pertahanan Infrastruktur Dalam Laut (Guide), yang dilancarkan pada 30 Mei di luar Dialog Shangri-La, adalah yang pertama merentasi wilayah untuk menangani cabaran keselamatan di dalam laut.
Ia akan memudahkan perkongsian maklumat untuk menyokong amaran awal bagi insiden keselamatan.
Pada sesi pleno pada 31 Mei, bertajuk ‘Berkembangnya Perkongsian Keselamatan dalam Dunia yang Berpecah Belah’, Encik Chan turut menjawab soalan tentang fungsi rangka kerja baru ini.
Beliau menekankan kepentingan mewujudkan persefahaman bersama mengenai undang-undang dan norma antarabangsa bagi melindungi infrastruktur di dalam laut yang kritikal, dengan menyatakan penyertaan dari negara Baltik, Timur Tengah dan Oseania.
“Ini adalah perkara praktikal – bagaimana kita menetapkan norma untuk membolehkan perkara baik berlaku? Bagaimanakah kita mengesan bila perkara buruk berlaku? Dan akhirnya, bagaimana kita mengambil tindakan terhadap orang yang melakukan perkara buruk?” tambahnya.
Penceramah lain dalam sesi pleno itu ialah Setiausaha Pertahanan Negara Filipina, Encik Gilberto Teodoro Jr dan Laksamana Giuseppe Cavo Dragone, pengerusi jawatankuasa ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Dalam ucapannya, Encik Chan juga menekankan keperluan mengekalkan dan mengemas kini prinsip penting untuk keselamatan dan kemajuan, serta kepentingan mengurus politik domestik, ketika menangani konflik yang berkembang.
Menurutnya, konflik yang berlaku di Eropah Timur dan Timur Tengah telah menunjukkan bahawa pertikaian tidak lagi terasing secara geografi.
Ia telah mengganggu rantaian bekalan dan pengeluaran global jauh di luar kawasan tersebut.
Konflik masa kini juga mencerminkan interaksi pelbagai dimensi kuasa, termasuk menggunakan ekonomi sebagai senjata dan pertikaian naratif.
Encik Chan berkata konflik “bukan lagi sekadar pertengkaran semalam dan pertikaian hari ini”, tetapi juga mengenai “menetapkan rangka kerja untuk pertikaian esok”.
Ini mungkin melibatkan akses kepada talian hayat penting seperti sistem maklumat, grid tenaga dan sistem air.
Walaupun sistem antarabangsa semasa tidak sempurna dan perlu disegarkan dan diselaraskan dengan realiti semasa.
