Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri pertahanan Asean tegas komitmen perdagangan bebas melalui koridor antarabangsa
Menteri pertahanan Asean tegas komitmen perdagangan bebas melalui koridor antarabangsa
Menteri pertahanan Asean tegas komitmen perdagangan bebas melalui koridor antarabangsa
Para menteri pertahanan Asean telah bertemu menjelang hari kedua Dialog Shangri-La pada 30 Mei dengan menzahirkan iltizam untuk memastikan aliran perdagangan dan bekalan yang bebas melalui koridor antarabangsa, termasuk Selat Melaka dan Singapura.
Di majlis sarapan pagi yang dianjurkan bersama oleh Menteri Pertahanan Encik Chan Chun Sing dan Setiausaha Pertahanan Filipina Encik Gilberto Teodoro Jr, para pemimpin lapan negara Asean menegaskan semula kepentingan undang-undang dan norma antarabangsa di rantau ini.
Khususnya, mereka menekankan bahawa hak laluan transit di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) perlu ditegakkan.
Sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, Teheran telah menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan seperlima bekalan minyak dan gas asli cecair global.
Menteri kewangan Indonesia pada April mengemukakan idea untuk mengenakan levi ke atas kapal yang melalui Selat Melaka dan Singapura, dengan hasilnya dibahagikan tiga.
Ini mendorong menteri-menteri luar Indonesia dan Malaysia tampil menegaskan semula bahawa tiada negara yang boleh menentukan akses ke Selat Melaka secara unilateral.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata para menteri pertahanan juga mengesahkan bagaimana Dialog Shangri-La, sidang puncak pertahanan tahunan, menyediakan platform untuk anggota Asean berinteraksi dengan pegawai pertahanan dan keselamatan daripada seluruh dunia.
Turut hadir mesyuarat sarapan pagi itu ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri Brunei merangkap Menteri Pertahanan II Encik Halbi Haji Mohd Yussof; Setiausaha Negara di Kementerian Pertahanan Kemboja, Encik Rath Dararoth; Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Encik Donny Ermawan Taufanto; Menteri Pertahanan Malaysia Encik Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan Thailand Encik Adul Boonthamcharoen; dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam Encik Phan Van Giang.
Mereka turut membincangkan cara Asean menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau, serta bagaimana tentera dari rantau ini dan negara-negara Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus) boleh mengadakan latihan bersama, terutamanya dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bencana alam.
ADMM-Plus ialah platform mesyuarat pertahanan yang diperluas untuk Asean dan negara-negara di luar rantau ini, dan terdiri daripada blok Asia Tenggara, serta Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Russia, Korea Selatan dan Amerika.
Secara berasingan, Encik Chan bertemu Menteri Angkatan Tentera dan Veteran Perancis Cik Catherine Vautrin di luar dialog, di mana kepentingan hak laluan transit di bawah Unclos sekali lagi dibincangkan.
Mereka turut mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang kukuh antara Singapura dengan Perancis. Encik Chan melahirkan penghargaannya atas sokongan Perancis terhadap latihan Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Cazaux di barat daya Perancis.
Berdasarkan perjanjian pertahanan yang ditandatangani pada Mei 2025, kedua-dua menteri bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam latihan ketenteraan, teknologi pertahanan dan perlindungan infrastruktur bawah air.
Encik Chan kemudian bertemu Menteri Pertahanan Italy Encik Guido Crosetto. Mereka membincangkan perkembangan geopolitik dan isu keselamatan.
Sebelum mesyuarat itu, Singapura dan Italy memeterai perjanjian mengenai daya tahan rantaian bekalan, yang menurut Mindef akan memperkukuh rantaian bekalan pertahanan kedua-dua negara.
Encik Chan kemudiannya bertemu rakan sejawat, Encik Khaled dari Malaysia. Mereka mengesahkan semula hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, dan membincangkan cara untuk mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman.
Menteri Malaysia itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

