Singapura dan 16 negara lain termasuk Malaysia dan Australia, akan berganding bahu untuk melindungi infrastruktur di dalam laut yang kritikal, dengan tujuan melindungi kabel telekomunikasi dan tenaga daripada serangan.

Prinsip Panduan untuk Pertukaran Pertahanan Infrastruktur Dalam Laut (Guide) telah dilancarkan di luar acara Dialog Shangri-La ke-23 di Singapura pada 30 Mei.

Rangka kerja sukarela yang tidak mengikat dari segi undang-undang dan kewangan itu, akan memudahkan perkongsian maklumat untuk menyokong amaran awal bagi insiden keselamatan.

Ia juga membolehkan perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan teknikal, dan boleh meningkatkan tindak balas insiden dan krisis sekiranya perlu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata bahawa insiden baru-baru ini yang melibatkan pemotongan atau kerosakan pada kabel telekomunikasi atau tenaga dan saluran paip di dalam laut telah menggariskan kelemahan infrastruktur di dalam laut yang kritikal.

Insiden sedemikian juga menunjukkan kesukaran dalam bertindak balas di luar perairan wilayah, termasuk cabaran dalam bidang kuasa dan penguatkuasaan.

Terdapat insiden pemotongan kabel berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk yang melibatkan Taiwan dan dikaitkan dengan kapal yang dikendalikan kru dari China pada 2025.

Meskipun ini telah menimbulkan syak wasangka tentang taktik “zon kelabu” Beijing, namun China telah bertindak balas dengan meletakkan dirinya sebagai penyumbang penting kepada perlindungan kabel dalam laut.

Pada April, tiga kapal selam Russia dilaporkan menjalankan operasi rahsia yang melibatkan kabel dan saluran paip di perairan utara Britain.

Sebuah kapal perang dan pesawat Britain telah dikerahkan untuk tindakan pencegahan, tetapi tiada bukti sebarang kerosakan.

Kesemua 17 negara yang terlibat dalam Guide ialah Singapura, Australia, Brunei, Estonia, Finland, Perancis, Italy, Latvia, Lithuania, Malaysia, Belanda, New Zealand, Filipina, Qatar, Sweden, Thailand dan Britain.

Mindef berkata ia mengalu-alukan keprihatinan pihak pemerintah, industri swasta, dan organisasi antarabangsa serta pelbagai pihak yang semakin meningkat bagi membangunkan infrastruktur kritikal di dalam laut yang selamat, andal dan berdaya tahan, serta meningkatkan kerjasama dalam menangani insiden.

Walaupun usaha yang lebih luas ini dipimpin oleh orang awam dan industri, Mindef berkata terdapat peranan bagi pertubuhan pertahanan dan tentera untuk menyokong dan melengkapi usaha agensi awam kebangsaan dan sektor swasta dalam meningkatkan keselamatan infrastruktur dalam laut yang kritikal.

Berucap di majlis pelancaran Guide pada 30 Mei, Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata terdapat perbincangan serius di Dialog Shangri-La pada 2025 tentang peningkatan kepentingan infrastruktur di dalam laut yang genting.

Beliau berkata: “Jika kita jujur ​​dengan diri kita sendiri, kita akan tahu bahawa kita mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mewujudkan norma antarabangsa tentang bagaimana kita boleh memasang infrastruktur kritikal tersebut... tetapi, yang lebih penting, bagaimana untuk menyelenggaranya dan bagaimana untuk mencegah orang ramai daripada mengganggunya.

“Kita tidak mahu situasi di mana infrastruktur kritikal sedemikian terganggu, dan kita semua mendapat kesan negatif. Kerana seperti yang saya nyatakan (pada 2025)... sebarang serangan ke atas satu bahagian rangkaian adalah serangan ke atas keseluruhan rangkaian.”

Tambahnya, walaupun negara Guide mungkin tidak mempunyai semua jawapan, mereka ingin bekerjasama dalam isu ini untuk melihat bagaimana norma antarabangsa boleh diwujudkan untuk membina dan menyelenggara infrastruktur di dalam laut yang kritikal, dan melindunginya.

Beliau berkata terdapat negara lain yang ingin menyertai inisiatif ini, tetapi sedang menunggu kelulusan domestik.