BOGOTA, Colombia: Sekurang-kurangnya 164 orang terkorban dan ratusan lagi masih hilang selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggegarkan Colombia, dalam bencana gempa paling kuat melanda negara itu sepanjang abad ini.

Menurut Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa pada 10 Ogos itu menyebabkan kemusnahan besar di beberapa bandar di bahagian barat negara berkenaan, termasuk Cali, Pereira, Quibdo dan Manizales.

Gegaran turut dirasakan di negara jiran Ecuador dan Panama, manakala sekurang-kurangnya 21 gegaran susulan direkodkan dalam tempoh beberapa jam.

Operasi mencari dan menyelamat kini tertumpu kepada bangunan yang runtuh, dengan pihak berkuasa bimbang angka korban akan terus meningkat kerana ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia, anggota penyelamat dan penduduk berganding bahu mengalihkan konkrit dan serpihan bangunan bagi mencari mangsa.

Sukarelawan membentuk rantaian manusia untuk memindahkan runtuhan, sementara pasukan penyelamat berusaha memasuki bangunan yang musnah.

Pihak berkuasa tempatan berkata sekurang-kurangnya 20 bangunan runtuh dan 380 lagi mengalami kerosakan di bandar itu.

Seorang penduduk, Encik Juan Carlos Osorio, berkata bunyi sebuah bangunan runtuh kedengaran “seperti letupan bom”.

“Kami semua, penduduk di sini, bekerjasama membentuk rantaian manusia.
“Kami memerlukan jentera berat. Ramai orang masih terperangkap,” katanya kepada Caracol Television.

Gempa itu berlaku hanya beberapa hari selepas Presiden Abelardo de La Espriella mengangkat sumpah jawatan, sekali gus meletakkan pemerintah baharunya berdepan krisis besar pertama.

Beliau mengisytiharkan darurat nasional dan berkata segala keupayaan pemerintah telah digerakkan untuk membantu kawasan terjejas.

“Pemerintah nasional telah mengerahkan segala keupayaan untuk melindungi nyawa, membantu masyarakat yang terjejas dan menghantar bantuan ke mana sahaja ia diperlukan.

“Keutamaan pertama ialah menyelamatkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya dalam ucapan kepada negara.

Angka awal pemerintah sebelum ini mencatatkan 111 kematian dan 87 orang cedera, tetapi jumlah korban terus meningkat apabila lebih banyak laporan diterima dari wilayah yang terjejas.

Persatuan Bandar Raya Colombia pula sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 132 orang terbunuh dan 570 cedera.

Di wilayah Risaralda, yang terletak dalam kawasan utama penanaman kopi Colombia, sekurang-kurangnya 40 orang dilaporkan maut.

Ibu kotanya, Pereira, mengalami kerosakan teruk dengan pasukan penyelamat terus memeriksa bangunan runtuh.

Datuk Bandar Pereira, Encik Mauricio Salazar, berkata sekurang-kurangnya 15 bangunan runtuh dan terdapat kebimbangan ramai mangsa masih terperangkap.

Rakaman media tempatan turut menunjukkan bahagian siling lapangan terbang Pereira jatuh ketika penumpang berlindung daripada gegaran. Sebuah bangunan empat tingkat juga dilihat runtuh.

Di Valle del Cauca, wilayah yang menempatkan Cali, sekurang-kurangnya 27 orang terkorban, termasuk tiga kanak-kanak.

Keadaan di Choco, berhampiran pusat gempa, lebih sukar dipastikan berikutan gangguan komunikasi.

Beberapa kawasan masih terputus daripada perkhidmatan telefon bimbit beberapa jam selepas gempa.

Gabenor Choco, Cik Nubia Carolina Cordoba, berkata sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 84 cedera di wilayah yang sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan luar bandar itu.

Pemimpin masyarakat di Quibdo, Encik Luis Gregorio Moreno, berkata jumlah orang hilang menjadi kebimbangan utama.

“Kami semua amat terkesan. Ketika ini terdapat laporan kematian dan puluhan yang cedera, tetapi jumlah paling ramai ialah mereka yang masih hilang,” katanya.

Menjelang petang Isnin, keluarga mula memasukkan nama saudara-mara yang tidak dapat dihubungi ke dalam pangkalan data digital.

Salah satu pangkalan data itu mengandungi lebih 1,400 nama, kebanyakannya dari Cali dan Pereira, dengan jumlah tersebut terus bertambah.

Di Manizales pula, rakaman menunjukkan salah sebuah menara sisi gereja besar neo-Gothic yang menjadi mercu tanda bandar itu runtuh, menyebabkan serpihan bertaburan di jalan berhampiran.

Pihak berkuasa penerbangan awam Colombia menggantung operasi di beberapa lapangan terbang di bahagian barat negara, termasuk Pereira, Manizales, Quibdo, Armenia, Cartago dan Buenaventura bagi membolehkan pemeriksaan struktur dilakukan.

Gempa kecil sering berlaku di Colombia kerana negara itu terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi.

Namun, gempa melebihi 6.0 magnitud jarang berlaku.

Pada 1999, gempa 6.2 magnitud berhampiran Armenia meragut lebih 1,100 nyawa.

Perkhidmatan Geologi Colombia menyifatkan gempa terbaru itu sebagai yang paling kuat direkodkan di negara tersebut pada abad ke-21.

Pakar seismologi Universiti Northwestern, Profesor Suzan van der Lee, berkata walaupun pusat gempa terletak jauh di bawah kerak bumi, kekuatan gegaran itu cukup besar untuk menyebabkan kerosakan meluas.

“Secara teori, gempa sedalam ini tidak seharusnya menghasilkan gegaran sehebat itu. Tetapi dengan magnitud sebesar ini, ia ternyata menghasilkan gegaran yang sangat kuat,” katanya.

Bantuan antarabangsa mula ditawarkan ketika operasi menyelamat diteruskan.

Amerika Syarikat mengumumkan bantuan AS$15.5 juta ($19.8 juta) bagi menyediakan tempat perlindungan kecemasan, makanan dan bantuan lain.

El Salvador, Mexico, Chile, Israel, Ecuador dan Perancis turut menawarkan bantuan.

Bagi penduduk di kawasan paling teruk terjejas, tumpuan ketika ini kekal kepada usaha mencari mereka yang masih hilang.

Pemandu teksi di Cali, Encik Jorge Moncayo, 64 tahun, berkata beliau melihat kepulan debu naik di beberapa bahagian bandar ketika bangunan runtuh.

“Seluruh rumah saya bergoncang. Saya tidak pernah mengalami gempa sekuat ini,” katanya.
“Kami bersyukur kepada Tuhan kerana masih hidup.” - Agensi berita