Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CPF raih gred A di Asia Pasifik dalam pemeringkatan sistem pencen sejagat

Oct 15, 2025 | 7:28 PM
Kedudukan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) meningkat daripada B+ pada 2023 dan 2024 untuk menyertai Belanda, Iceland, Denmark dan Israel dalam liga-A Indeks Pencen Sejagat Mercer Institut CFA 2025.
Kedudukan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) meningkat daripada B+ pada 2023 dan 2024 untuk menyertai Belanda, Iceland, Denmark dan Israel dalam liga-A Indeks Pencen Sejagat Mercer Institut CFA 2025. - Foto fail

Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Singapura tampil sebagai yang pertama di Asia-Pasifik memperoleh gred A dalam pemeringkatan tahunan sistem pencen sejagat.

Kedudukan CPF meningkat daripada B+ pada 2023 dan 2024 untuk menyertai Belanda, Iceland, Denmark dan Israel dalam liga-A Indeks Pencen Sejagat Mercer Institut CFA 2025, lapor The Straits Times.

Ini adalah kali pertama CPF meraih gred A dalam tempoh indeks 17 tahun itu.

Sistem pendapatan persaraan kelas pertama yang teguh, mampan, memberikan faedah yang baik dan mempunyai tahap integriti yang tinggi mendapat gred A daripada Mercer.

Pakar pencen itu, yang telah menjejak sistem pencen sejagat dengan Institut CFA sejak 2009, berkata pada 15 Oktober peningkatan taraf CPF boleh dikaitkan dengan kenaikan dalam sub-indeks kemampanan dan integriti.

Ini mengimbangi sedikit penurunan dalam sub-indeks kecukupan, yang mengukur sama ada sistem pencen menyediakan tahap pendapatan yang mencukupi untuk pesara mengekalkan taraf hidup yang baik.

Sub-indeks kemampanan menilai daya maju jangka panjang sistem pencen dan keupayaannya untuk memenuhi tanggungjawab pencen pada masa depan, manakala sub-indeks integriti menunjukkan tahap kepercayaan dalam sistem pencen.

Sebanyak 52 sistem pendapatan persaraan telah dinilai untuk indeks 2025, dengan lapan daripadanya, termasuk Singapura, Hong Kong dan Malaysia, menunjukkan peningkatan.

Mercer menyatakan tiada sistem pencen diturunkan taraf.

Ini menunjukkan peruntukan pendapatan persaraan bertambah baik pada skala sejagat, yang penting kerana orang ramai hidup lebih lama dan kadar kelahiran terus menurun, tambahnya.

Di Singapura, semua warga negara yang bekerja dan Penduduk Tetap (PR) dilindungi di bawah CPF.

Mereka boleh menggunakan simpanan CPF mereka untuk tujuan perumahan dan perubatan dan pada masa yang sama menyimpan untuk persaraan.

Apabila penduduk Singapura – warga negara dan PR – berumur 65 tahun, mereka menyertai CPF LIFE, skim anuiti insurans sepanjang hayat nasional.

Ini memberikan mereka aliran pendapatan bulanan yang stabil sepanjang hayat mereka, walaupun selepas simpanan dalam akaun persaraan mereka kehabisan.

Pengarang utama laporan dan rakan kongsi di Mercer, Encik Tim Jenkins, berkata penduduk Singapura boleh meningkatkan sumbangan CPF LIFE bulanan mereka jika mereka membuat caruman sukarela di bawah Skim Tambah Nilai Jumlah Persaraan.

Mereka boleh berbuat demikian secara tunai atau membuat pemindahan CPF ke Akaun Khas (SA) atau Akaun Persaraan (RA) mereka sendiri atau orang tersayang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg