Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar faedah Akaun Khas, MediSave kekal 4% hingga akhir 2026

Ini akan terus beri kepastian di tengah-tengah keadaan kadar faedah yang menurun
Sep 22, 2025 | 2:12 PM
CPF, kadar, faedah
Kadar faedah asas 4 peratus bagi semua simpanan dalam Akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) di bawah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan memberi kepastian kepada pencarum CPF mengenai pulangan simpanan mereka. - Foto fail

Kadar faedah asas 4 peratus bagi semua simpanan dalam Akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) di bawah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dilanjutkan selama setahun lagi hingga akhir 2026.

Ini akan terus memberi kepastian kepada pencarum CPF mengenai pulangan simpanan CPF mereka di tengah-tengah keadaan kadar faedah yang menurun.

Demikian jelas Lembaga CPF dalam kenyataan bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 22 September.

Dari 1 Oktober hingga 31 Disember, kadar faedah bagi akaun berikut kekal tidak berubah: Akaun SMRA pada 4 peratus; Akaun Biasa (OA) pada 2.5 peratus; dan kadar konsesi bagi pinjaman perumahan HDB pada 2.6 peratus.

Ini kerana kadar yang disandarkan bagi kedua-dua SMRA dan OA adalah lebih rendah berbanding kadar faedah asas masing-masing, iaitu 4 peratus dan 2.5 peratus, lapor The Straits Times (ST).

Kadar faedah SMRA disandarkan kepada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) 10 tahun ditambah 1 peratus.

Menurut laman web CPF, purata hasil pendapatan dari Ogos 2024 hingga Julai 2025 adalah 2.64 peratus.

menurut laman web CPF, kadar faedah OA disandarkan pada purata tiga bulan kadar faedah bank-bank utama setempat, iaitu 0.45 peratus dari Mei hingga Julai.

Sementara itu, kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB disandarkan pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA untuk menampung kos pentadbiran pinjaman.

Pencarum CPF juga akan terus mendapat faedah tambahan bagi simpanan CPF mereka.

Mereka yang berusia di bawah 55 tahun akan menerima tambahan faedah 1 peratus bagi $60,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 untuk OA.

Mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas akan menerima tambahan faedah 2 peratus ke atas simpanan $30,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka, dengan had maksimum $20,000 untuk OA, serta tambahan 1 peratus ke atas $30,000 berikutnya.

Tambahan faedah yang diperoleh daripada simpanan OA pencarum CPF akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas (SA) atau Akaun Persaraan mereka.

Mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas yang menyertai  CPF LIFE tetap akan menerima faedah tambahan untuk baki akaun gabungan CPF mereka, termasuk simpanan yang digunakan untuk  CPF LIFE.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg