Jumlah tokokan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) di bawah satu skim untuk meningkatkan simpanan persaraan mencapai rekod $6.7 bilion dalam tujuh bulan pertama 2025, dirangsang oleh sumbangan ke akaun pencarum lebih tua berusia 55 tahun ke atas.
Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding $4.8 bilion tokokan sedemikian bagi keseluruhan 2024.
Demikian menurut satu kenyataan Lembaga CPF pada 17 September.
Lembaga CPF menyatakan bahawa jumlah tokokan yang meningkat pada 2025 lebih ketara pada Januari, apabila $2.9 bilion ditokok ke akaun 105,000 pencarum.
Jumlah tersebut adalah lebih empat kali ganda daripada jumlah tokokan yang dicatat pada Januari 2024, tambah Lembaga CPF.
Daripada jumlah $2.9 bilion itu, lebih $2.6 bilion merupakan tokokan ke akaun lebih 70,000 pencarum berusia 55 tahun ke atas, lapor The Straits Times (ST).
Rekod tertinggi $6.7 bilion itu dimasukkan ke akaun 316,000 pencarum CPF melalui tokokan secara sukarela oleh mereka sendiri atau orang tersayang dalam tujuh bulan pertama 2025.
Di bawah Skim Tokokan Jumlah Persaraan (RSTU), pencarum CPF boleh menokok wang tunai atau membuat pemindahan wang CPF ke Akaun Khas (SA) atau Akaun Persaraan (RA) mereka sendiri atau orang tersayang, untuk meningkatkan simpanan persaraan.
Tokokan tersebut akan disalurkan ke SA bagi mereka yang berusia bawah 55 tahun, atau RA bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas.
Tokokan tunai dan pemindahan wang CPF ke SA atau RA tersebut akan berkembang pada kadar faedah sehingga 5 peratus setahun bagi mereka yang berusia bawah 55 tahun.
Kadar faedah lebih tinggi tersebut diberikan bagi $60,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka dalam Akaun Biasa (OA) dan SA, dihadkan pada $20,000 bagi OA.
Baki simpanan CPF mereka akan meraih kadar faedah 2.5 peratus setahun bagi OA, dan 4 peratus setahun bagi SA.
Bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas, mereka akan menerima sehingga 6 peratus setahun bagi $30,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka dalam OA dan RA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg