Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuaca buruk landa Kepulauan Riau jelang Tahun Baru Cina

Jan 16, 2025 | 12:53 PM
Pihak berkuasa Kepulauan Riau akan menyebarkan maklumat cuaca kepada pelancong agar mereka lebih waspada dalam musim cuaca buruk menjelang Tahun Baru Cina.
Pihak berkuasa Kepulauan Riau akan menyebarkan maklumat cuaca kepada pelancong agar mereka lebih waspada dalam musim cuaca buruk menjelang Tahun Baru Cina. - Fail foto

BATAM: Pemerintah wilayah Kepulauan Riau akan mengambil langkah mengurangkan kesan cuaca buruk terhadap pelancong yang bercuti di kepulauan Riau menjelang Tahun Baru Cina.

Salah satu langkah itu termasuklah memasyarakatkan keadaan cuaca semasa di kawasan Kepulauan Riau.

“Penyebaran cuaca ekstrem ini penting terutama bagi pelancong dan nelayan,” kata Setiausaha Wilayah Provinsi Kepulauan Riau, Encik Adi Prihantara, ketika menerima kunjungan Pengarah Operasi Ubah Suai Cuaca Badan Meteorologi Kepulauan Riau (BMKG), Encik Endarwin, di Pejabat Setiausaha Wilayah di Dompak, pada 14 Januari.

Selain itu, Encik Adi berkata pihaknya menyebarkan potensi risiko bencana kepada pelancong dan orang ramai supaya mereka lebih peka dan waspada dengan keadaan semasa.

“Penyebaran maklumat ini penting memandangkan peningkatan hujan yang melanda Kepulauan Riau sejak beberapa hari ini. Justeru kita semua perlu lebih berwaspada,” tegasnya.

Satu daripada kaedah penyebaran itu, tambah Encik Adi, adalah berkaitan aplikasi BMKG mengenai Maklumat Cuaca Indonesia bagi Perkapalan (INA-WIS), yang menyediakan data cuaca, iklim, kualiti udara, gempa bumi dan maklumat cuaca maritim.

“Kita juga meminta orang ramai agar supaya memantau ramalan cuaca melalui aplikasi berkenaan, terutama menjelang Tahun Baru Cina yang dijangka meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke Kepulauan Riau,” katanya.

Maklumat cuaca pada aplikasi boleh dipantau seminggu hingga tiga hari sebelum cuaca ekstrem berlaku.

Menurut Encik Endarwin pula, cuaca ekstrem dengan taburan hujan tinggi hingga sangat tinggi dijangka berterusan dari Mac hingga April 2025.

“Fenomena seperti lemahnya La Nina, Madden-Julian Oscillation (MJO) dan lonjakan sejuk juga memberi kesan kepada taburan hujan dan ombak yang tinggi di perairan Kepulauan Riau. Keadaan ini berpotensi menyebabkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh jika tidak diatasi dengan baik,” katanya lagi.

Sejak 11 Januari 2025, Kepulauan Riau telah mengalami keadaan cuaca yang melampau.

Beberapa daerah dan bandar telah dinaiki air.

Tanah runtuh telah mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk di Kota Batam dan ribuan keluarga terjejas akibat banjir di Kabupaten Bintan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg