MAKKAH: Arab Saudi memberi amaran cuaca panas melampau dijangka melanda Makkah dan kawasan Tanah Suci sepanjang musim haji 2026 dengan suhu boleh mencecah sehingga 47 darjah Celsius ketika jutaan anggota jemaah mula berkumpul untuk menunaikan ibadah itu.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi berkata keadaan cuaca panas hingga sangat panas itu turut disertai angin berdebu dan ribut pasir terutama pada waktu siang.

Ketua Eksekutif NCM, Encik Ayman Ghulam, berkata suhu dari awal Zulhijah hingga Hari Tarwiyah (8 Zulhijah) dijangka berada antara 44 dengan 47 darjah Celsius pada waktu siang, manakala suhu minimum sekitar 28 hingga 31 darjah Celsius.

“Kelembapan udara dijangka antara 10 dengan 40 peratus dan tiupan angin barat daya hingga barat laut pada kelajuan 15 hingga 40 kilometer sejam,” katanya.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dijangka berterusan dari Hari Arafah hingga 13 Zulhijah dengan langit cerah hingga separa mendung serta pergerakan angin yang boleh menyebabkan debu dan pasir berterbangan.

Menurutnya, suhu sepanjang tempoh itu dijangka antara 42 dengan 44 darjah Celsius dan kelembapan boleh meningkat sehingga 55 peratus.

NCM turut memberi amaran kemungkinan berlaku ribut petir di kawasan tanah tinggi Taif yang boleh memberi kesan kepada kawasan Tanah Suci selain menghasilkan tiupan angin kuat yang membawa debu dan pasir.

“Pusat meteorologi telah melengkapkan persediaan operasi musim haji termasuk penggunaan radar cuaca, sistem satelit, stesen pemantauan tetap dan bergerak serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pihak berkuasa meningkatkan ketepatan ramalan cuaca,” katanya.

Jurucakap NCM, Encik Hussein Al-Qahtani, berkata pusat itu kini beroperasi 24 jam sehari menggunakan sistem pemantauan dan amaran awal yang canggih.

“Kami menggerakkan semua sumber teknikal dan tenaga kerja bagi memantau keadaan cuaca demi keselamatan jemaah serta membantu agensi berkaitan mengambil langkah operasi awal berdasarkan data tepat,” katanya.

Amaran cuaca panas itu menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan jemaah terutama selepas kira-kira 1,300 kematian dilaporkan semasa musim haji 2024, kebanyakannya dikaitkan dengan cuaca panas melampau dan keletihan haba.

Pakar kesihatan mengingatkan jemaah supaya sentiasa peka terhadap tanda awal dehidrasi seperti badan lemah, pening, sakit kepala, loya dan penglihatan kabur.

Perubahan warna air kencing juga boleh menjadi petunjuk awal kekurangan air dalam badan.

Jika tidak dirawat segera, keadaan itu boleh membawa kepada strok haba yang boleh mengancam nyawa.

Pada masa yang sama, syarikat Kidana Development Company, milik kerajaan Arab Saudi, meneruskan pelbagai projek prasarana dan penambahbaikan kemudahan di kawasan Tanah Suci bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan jemaah musim ini.

Syarikat itu memaklumkan fasa kedua kawasan rehat jemaah di laluan pejalan kaki kini siap sepenuhnya dengan tambahan kawasan seluas 36,000 meter persegi.

Kemudahan tersebut merangkumi tempat duduk, kiosk perkhidmatan, kanopi teduhan dengan kipas kabus serta lantai getah untuk memudahkan pergerakan jemaah antara kawasan ibadah.

Syarikat Kidana turut menanam lebih 60,000 pokok dalam projek penghijauan terbaharu selain menggantikan 400 tiang kipas kabus di kawasan Jambatan Jamarat.

Sistem penyejukan itu direka untuk menampung hampir 180,000 anggota jemaah sejam yang menuju untuk melontar jamrah.

Selain itu, projek pembangunan tandas di Mina kini melibatkan 79 kompleks dua tingkat dengan keseluruhan 7,838 tandas selepas 18 kompleks baharu ditambah.

Menurut syarikat Kidana, langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu bagi jemaah.

Untuk meningkatkan kelancaran pergerakan, projek eskalator tiga peringkat turut dilaksanakan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan eskalator di Mina meningkat kepada 74 unit termasuk 10 eskalator baharu di lapan lokasi.

Syarikat Kidana turut menyiapkan fasa kedua projek teduhan dan penyejukan di sekitar Jabal Arafah meliputi lebih 272,000 meter persegi.

Kemudahan itu merangkumi pemasangan 18 kanopi moden, 36 kipas kabus, tujuh unit penyejukan dan 107 tiang semburan tambahan.

Syarikat berkenaan berkata laluan pejalan kaki kini meliputi lebih 240,000 meter persegi dengan sokongan lantai getah seluas 150,000 meter persegi; kawasan hijau 25,000 meter persegi; 241 tiang kipas kabus dan 240 unit pengecas peranti pintar.

Di kawasan Al-Sha’ibayn, Mina pula, kerja teduhan laluan pejalan kaki seluas 103,000 meter persegi telah siap seiring operasi 990 kipas kabus dan tambahan 72 kipas baharu.

Menurut syarikat Kidana, lebih 6,000 tiang semburan kabus dan 25,000 pili air sejuk kini beroperasi di seluruh kawasan Tanah Suci.

Dalam sektor tenaga, syarikat itu turut mengesahkan penaiktarafan rangkaian elektrik berkapasiti 550 megavolt-amperes selesai dilaksanakan, selain pembangunan sistem kebakaran dan penyejukan membabitkan 188 blok penginapan dengan 565 khemah.

Sementara itu, Kementerian Perbandaran dan Perumahan Arab Saudi memaklumkan kerja penaiktarafan jalan raya dan prasarana di Makkah dan Tanah Suci turut selesai bagi membantu melancarkan pergerakan jutaan anggota jemaah sepanjang musim haji 2026. – Agensi berita.